8 July 2015

Cara saya turunkan berat badan dalam tak sedar (Last Part)

Disebabkan entri yang ini bersambung-sambung, patutnya nak habiskan cepat-cepat.
Tapi bila dah datang weekend, memang tak sempat langsunglah nak buka blog. Tambah-tambah lagi bulan puasa ni, tak ada hujung minggu yang free sebab mesti akan penuh dengan agenda keluarga. 

Haritu saya tuliskan 5 cara pertama dan utama kan. Jadi ini saya kongsikan lagi 8 cara yang saya amalkan selama ni, yang sama pentingnya untuk turunkan berat badan dengan sihat. Memandangkan 2 entri lepas dah penuh dengan gambar, jadi yang ini saya fokus pada tulisan sajalah ye.

6. Ikut instict untuk indulge dalam dessert

Bila dah bertekad untuk amalkan gaya hidup sihat, selain junk food benda yang wajib ditinggalkan adalah gula. Gula ni memang part paling tricky, sebab dalam budaya kita memang dari kecil dah dibiasakan dengan gula. Gula untuk buat air, gula untuk sedapkan masakan, gula jugalah untuk buat kuih dan semua dessert. Rasanya tak ada dessert yang tak ada unsur gula. Yang lagi mencabar bila gula jugalah komponen terbesar dalam nasi yang kita makan hari-hari sampai berkali-kali.

Macam yang saya cerita dalam entri yang lepas, so far pengambilan gula saya dikawal melalui masakan dan minuman. Maknanya air manis memang jarang beli kecuali jus yang berkualiti, yang 100% pure juice,Not From Concentrated (NFC), dan no added sugar. Air teh, kopi pun dah lama saya amalkan tanpa gula, sampai hari ni saya dah tak boleh telan air teh yang manis sebab hari-hari saya minum air teh tanpa gula (green tea). Air teh yang manis sekarang rasanya buatkan pening kepala dan sedikit loya untuk saya.

Tapi lain pula bab dessert. Sebagai perempuan memang susah untuk berpisah dengan dessert. Sampai sekarang saya masih gagal untuk tinggalkan sepenuhnya. Cuma lebih baiklah dari tahun-tahun sebelum ni. Kalau dulu, dalam 5 tahun lepas waktu saya masih belajar di France, saya boleh habiskan sekotak donat Big Apple yang sedozen tu sorang-sorang. Biasalah kan, balik Malaysia pun setahun sekali dan selama 2 bulan saja. Memang setiap tahun waktu cuti summer tulah saya akan dessert hunting pusing satu Penang dan KL. Selalu favourite saya waktu tu, kalau tak Big Apple, mesti cheese cake Secret Recipe. Dua brand ini memang tak pernah miss.

Sekarang ni, alhamdulillah saya belum lagi sentuh kedua-kedua brand favourite ni dulu. Sejak balik Malaysia for good tahun lepas, selera macam tiba-tiba hilang pada dua-dua ni, dan terus tak beli sampai ke sudah. Sekarang saya cuma suka beli Chatime dan Auntie Annes punya pretzel. Boleh katakan seminggu sekali juga mesti pekena satu dos. Tapi sejak puasa ni alhamdulillah sangat-sangatlah kurang beli. Maybe sebab bila puasa tekak lagi teringinkan kuih-muih macam seri muka, onde-onde dan tepung pelita.

Apa yang saya amalkan sekarang, setiap kali terlintas niat nak beli dessert, saya akan persoalkan niat tu habis-habisan dalam hati. Macam bertubi-tubi soalan saya tembak pada diri sendiri. Kenapa nak beli? Betul ke teringin? Teringin sangat ke? Tak boleh tahan ke teringin tu? Macamtulah kaedahnya saya soal-jawab diri sendiri. Bila dah diri sendiri kena jawab dengan jujur, at last saya akan ikut kata hati. Makna kata, kalau hujung tu saya memang rasa teringin sangat, dah lama dah simpan teringin ni dan tak boleh tahan sangat dah, saya akan belilah dessert yang diinginkan tu. Itupun bersyarat, janji dengan diri sendiri takkan habiskan semuanya. Lagi separuh tu kongsi dengan officemate ataupun Abgmas (part ni Abgmas selalu rasa saya sabotaj weight loss dia). Tapi saya selalu guna alasan, "Alaa..kita kan nak gemuk sama-sama kurus sama-sama. Kongsi-kongsilah kalori ni.."

Selain stay komited dengan cara hidup sihat, at the same time tak bolehlah terlalu rigid dengan diri sendiri. Alah, diri sendiri je pun. Kita yang kawal diri sendiri, kitalah yang paling tahu macamana nak manage. Tak perlukan campur tangan orang lain pun. Kalau hari ni terlebih makan dessert, kita boleh make it up dengan berjalan lebih sikit, atau workout lebih sikit untuk bakar semula kalori-kalori tu. Lagipun dari awal kita dah set mind, komitmen untuk kurus dan hidup sihat ni untuk lifetime. Jadi setakat makan 3-4 sudu cheesecake is no big deal lah. Won't do any harm to your overall journey.

Waktu habis pantang Armand, saya lepaskan gian di cafe favourite di bandar Besancon.
Brownies atas pinggan tu sepanjang mengandung Armand saya akan makan seminggu sekali. Macam belanja diri sendiri sebab berjaya habiskan minggu yang penuh kelas di samping bawa baby dalam perut yang makin sarat.
Tengok Armand tidur macam mulut anak burung. 
Oh Armand... Rindu sangat dah ibu ni.

7.  Jaga portion makan

Yang ini kena apply untuk semua jenis makanan. Tak kira dessert ke, nasi ke, lauk-pauk protein, hatta buah sekalipun, kena perhatikan portion pengambilan kita dalam satu-satu masa. Apa-apa pun tak elok kalau berlebihan. Apatah lagi yang tak sihat dan sarat gula macam nasi dan dessert, lagilah kena jaga. Buah sekalipun sihat, kalau makan malam sampai 4 biji epal, tanpa apa-apa protein, dan zat lain, jadi tak sihat juga akhirnya.

Dalam nak jaga portion, saya pentingkan variety and quantity. Maknanya dalam sepinggan hidangan makan malam, make sure ada semua zat; karbo, protein, lemak (yang sihat), dan vitamin yang sarat dalam sayur dan buah-buahan. Kalau buah pula memang kami lebihkan yang berserat, sebab akan buatkan perut selalu rasa full. Contoh buah berserat yang jadi favourite ; pisang, dan prune. 

Waktu mula-mula saya bereksperimentasi dengan portion untuk makan malam.
variety dah ada, cuma dari segi quantity terlebih pulak. Sampai terlebih kenyang makan sepinggan ni.
Jadi lepas tu saya kurangkan portion ayam, potong separuh lagi dan kongsi makan dua orang.
Sayur hijau banyak-banyak tak apa.

8. Dapatkan sokongan pasangan

Satu benda penting saya nak kongsikan, yang kita mudah nak terlepas pandang. Bila kita commit untuk makan dengan sihat, tak semua orang akan sokong kita. Kadang-kadang, orang paling dekat macam ahli keluarga pun kita akan nampak susah nak terima perubahan kita ni. Dekat sini pentingnya untuk kita dapatkan sokongan pasangan sendiri. Bila suami atau isteri kita sokong, orang lain tak sokong tak jadi masalah besar.

Lagi baik lagi, bukan setakat harapkan sokongan, tapi ajak mereka untuk join in sekali dalam perubahan ini. Yang ini kalau dapat, memang terbaik. Semua benda jadi sangat-sangat mudah. Kelajuan perjalanan kita akan double up, perjalanan pun jadi sangat menyeronokkan. Macam dari segi tinggalkan makan junk food, kurang makan dessert, kurang makan nasi. Semua tu akan jadi bermasalah sikit kalau pasangan hidup kita sendiri pun tak setuju. Bayangkan kalau kita dah taknak minum manis-manis, tapi suami suka sangat minum benda-benda manis, lama-lama tidak ke kita mudah goyah untuk minum manis semula. Sama macam makanan hari-hari, kalau suami tak gemar makan buah dan sayur, suka makan nasi penuh pinggan dan lauk-lauk berat macam kari ayam, hari-hari kita kena masak kegemaran dan permintaan suami dulu. Nak masak untuk diri sendiri dah letih. Last-last kita pun makan nasi dan kari ayam jugalah untuk dinner. 

Dalam hal ni, saya sangat berterima kasih dengan Abgmas, sebab dia yang memulakan idea untuk tukar gaya hidup ke arah lebih sihat. Dia yang lebih health-conscious daripada saya, dan selalu come up dengan idea apa untuk dimasak for dinner, yang mudah, ringkas cepat dan sihat. Mahal tak apa, sebab barang masakan yang sihat memang selalunya mahal. Jadi lama-lama saya jadi bersemangat nak berinovasi dan bereksperimentasi tentang apa yang nak dimasak, sebab saya tahu masakan saya akan dihabis-licinkan oleh suami. Sama juga macam work out, kami sama-sama bertekad untuk stay active dengan amalkan work-out yang konsisten setiap 2 hari. Investment besar dah pun dibuat bila kami beli treadmill untuk letak di rumah tahun lepas. Untuk bulan puasa ni program workout tergendala sebentar sebab risau jatuh dalam fasaburnout, dengan puasa, kerja, semuanya pun satu masa nak dibuat. Lebih baik fokus pada yang lebih utama dulu.

9. Amalkan healthy snacking

Salah satu prinsip untuk turunkan berat dengan cepat adalah kerapkan makan. Bukan banyakkan makan ye, tapi kerapkan. Maknanya sekali makan tak payah banyak, hence the point of control portion. Tapi kerapkan. Selang 2-3 jam make sure ada makanan yang masuk dalam badan. Of course, makanan tu make sure yang sihat-sihatlah.

Pointnya, untuk cepat turun badan, selalulah makan supaya tak lapar. Dengarnya macam counter-intuitive kan? Di sini yang orang selalu salah faham. Kita mudah nak percaya, nak turun badan, kena limitkan makan. Kita cenderung untuk berlapar. Bila kita rasa lapar sebenarnya otak akan terus bagi signal pada badan untuk conserve energy. Metabolisme akan turun, pembakaran lemak untuk hasilkan tenaga akan turun juga. Macamana nak turun berat kalau macamtu kan? Jadinya supaya badan terus-terusan bekerja membakar lemak, kita isilah makanan (sikit sja) setiap beberapa jam.

Makanan yang paling senang untuk dijadikan regular snacking ni of course lah buah. Sebaik-baiknya kalau kerja, bawa buah 2-3 biji hari-hari ke tempat kerja. Apa yang saya amalkan, saya akan bawa sebiji pisang, 2 biji pear/epal, 2 peket biskut coklat oat yang brand munchy's tu. Dekat meja office memang saya dah letak siap-siap sebalang prune kering. Hari-hari, sampai saja office saya akan makan sebiji pisang dan sepeket biskut. Pukul 11 pagi, sejam sebelum makan tengahari, makan sebiji epal. Pukul 3 makan lagi sebiji epal. Pukul 5 sebelum balik, saya makan sikit prune. Makan malam kami pula selalunya pukul 7 malam. Macamtulah rutin saya hari-hari kalau tak busy sangat dengan kerja. Saya akan make sure 2 jam interval between every snacking. Susah jugalah nak maintain begini sebenarnya, tapi kena pandailah manage kerja supaya plan snacking kita tak lari selalu sangat.

10. Kawal tahap stress kerja

Yang ini bersambung dari point di atas. Tak mudah sangat, sebab bukan setiap masa kita ada control over our own work kan. Kadang-kadang datang projek yang tiba-tiba, atau urusan penting yang tak jangka, dengan tight deadline, itu yang selalu bikin stress.

Kalau nak cerita macamana nak handle stress, bukan bidang saya. Saya sendiri pun tak pandai. Tapi saya boleh cakap, kesannya hebat bila tak jaga stress. Kita cenderung untuk makan berlebihan, sebab nak hilangkan stress. Perasan tak, bila tengah stresslah, kepala kita asyik terfikir nak makan dessert, nak makan burger lah, nak pergi pasar malamlah. More often than not, sebab kita dah terlalu terbawa-bawa dengan stress, kita akan mudah sangat terikut dengan kemahuan hati. Dan sangat mudahlah untuk kita makan ikut nafsu seperti yang diidam-idamkan tu. Yang lagi teruk, sekali kita terjebak untuk makan ikut nafsu semula, untuk kembali ke pangkal jalan semula sangatlah mencabar. Macam kena retune semula mindset, macam step awal-awal dulu.

Ini berdasarkan pengalaman sendiri. Sebab selepas balik dari umrah bulan April lepas, saya dilambakkan dengan timbunan kerja untuk prepare business trip ke Paris bulan Mei. Dalam masa yang sama, tersangat banyak 'ketahian' yang berlaku di office, dengan rakan sekerja. Saya tak cukup masa untuk manage semuanya. Hari-hari balik tak pernah lagi awal dari 6.30 petang. Hari-hari balik dengan stress, dengan hari-hari juga makan malam di luar sebab tak sempat nak balik rumah awal. Maka makanlah ikut suka hati dan nafsu selama bulan April dan May. Makan suami pun saya dah lost control. 

Akhirnya, saya naik berat sampai 51kg semula di hujung bulan May. Bila dah habis semua projek di Paris, barulah saya kembali tenang dan normal semula, dan boleh regulate semuanya seperti mula-mula. Alhamdulillah, walaupun susah untuk get back on track, tapi dengan bantuan bulan puasa ni juga, sekarang berat saya turun ke 49kg semula. Dan saya masih dalam proses untuk turun lagi sampai 48kg, kalau tak dapat lagi rendah.

11. Amalkan supplement

Ini bukan kemestian, tapi sangatlah membantu semua usaha kita untuk amalkan makan dan hidup dengan sihat. Ambil supplement bukan semestinya untuk kurus, tapi untuk sihat. Sebab kadang-kadang kita pun tak dapat nak pastikan samada badan cukup semua zat yang diperlukan. Tapi perlu diingatkan juga, jangan sampai terlalu bergantung pada supplement, dan ambil secara berlebihan. Takut-takut ada masalah kesihatan yang lebih teruk pula bila ambil dengan berlebihan dan jauh melebihi keperluan.

Pilihan saya sendiri, saya make sure dekat rumah ada supplement Vitamin C, Calcium, dan Fish Oil. itu komponen utama supplement saya. Saya ambil berselang-seli, taklah semuanya masuk dalam badan sekaligus dan hari-hari. Sekarang saya baru amalkan ESP Shaklee semula, sebab saya perlukan protein untuk kesihatan rambut. Dan tak lupa minyak kepala dara (VCO) yang saya amalkan telan sesudu setiap pagi. 

Kalau nak dicerita tentang khasiat satu-satu supplement ni memang tersangatlah banyak. Dalam setiap fungsi badan pun ada peranannya. Boleh google saja dan baca di internet, kita akan sedar yang walaupun fungsi utama bukan untuk kuruskan badan tapi lebih kepada kesihatan, kesihatan yang dibaiki oleh kebanyakan supplement itu pun menyumbang kepada penurunan berat badan juga akhirnya.

12. Banyakkan dan luaskan pembacaan

Supaya ilmu selalu berkembang, luaskanlah pembacaan kita hari-hari. Sebab kita sendiri pun sangat baru dalam bidang ni, masih banyak tips & trick yang kita tak tahu. Nak buat apa-apa pun memang kena ada ilmu. Bila tak ada ilmu itulah yang akan jadi hasil ke laut.

Saya subscribe beberapa page yang banyak tips dan informasi berguna di FB. Jadi hari-hari bila buka FB memang banyak topik-tipik menarik yang keluar di timeline. Tentang khasiat makanan yang saya belum tahu, khasiat apa yang paling penting untuk kesihatan kulit dan rambut, etc. Melalui pembacaan jugalah saya dapat tahu tentang bahaya olive oil kalau diguna untuk masak dengan api yang kuat, dan juga green tea seeloknya tak diminum sekali semasa makan. Pendek kata, benda-benda macamni kalau tak baca memang kita takkan tahu. Yang tahu olive oil dan green tea tu bagus untuk turunkan berat badan.

13. Stay active

Last but not least, bila dah dapat buat semua di atas, usahalah untuk selalu bergerak sepanjang hari. Jangan selalu malas, duduk setempat saja di office atau melingkar atas katil di rumah. Saya tak advocate buat workout untuk semua orang, sebab tahu nak workout ni perlukan determination yang sangat tinggi. Kalau nak sepenuh hati nak buat, akan berhenti tengah jalan je. Tapi saya menyeru semua untuk selalu bergerak, supaya badan sentiasa dalam mode active.

Kalau nak ikutkan tak susah manapun nak buat. Kalau di office, make sure dalam sejam kita akan bergerak, pergi ke meja kawan ke, turun production ke, pergi pantry isi air ke. Alang-alang dah berjalan, jalanlah dengan semangat ye. Jangan jalan malas-malas. Balik rumah pula boleh stay active dengan mengemas rumah, basuh baju dan memasak. Yang ni tak perlu bagitahu semua perempuan pandai buat.

Saya akui, dekat Malaysia ni mencabar sikit nak stay active dan banyak berjalan. Satu sebab cuaca tak mengizinkan. Dengan panas berbahang sekarang, saya pun fikir 2-3 kali untuk keluar lunch makan di luar. Alih-alih memang lebih suka beli di luar dan makan dalam office saja. Cakap dekat diri sendiri, kira okeylah, sebab berjalan juga untuk beli makanan pergi dan balik.

Kalau di Perancis dulu memang dah terbiasa dengan banyak berjalan ni. Sebab rumah di tengah-tengah bandar, pergi ke mana-mana pun naik bas atau jalan kaki saja. Naik bas pun, bas takkan berhenti dekat-dekat dengan rumah. Boleh kata dulu, setiap hari saya dan Abgmas jalan-jalan pusing bandar sambil tolak Aliff dalam stroller. Sehari kalau tak keluar boleh tak keruan. Tapi cuaca di sana sangatlah sesuai nak buat macamtu, especially bila masuk musim bunga dan musim luruh. Ya Allah sedap sangat cuacanya, bila keluar tak rasa nak balik rumah. Sampai sekarang kami rindukan saat-saat macamtu semula.

Memories....

Habis juga perkongsian saya. Lega rasanya. Semoga dapat bagi kebaikan pada sesiapa yang termasuk blog ini bila-bila. Tak banyak sikit pun tak apalah. Kalau ada yang serius mahu mencuba apa-apa cara yang saya kongsikan di atas, saya doakan semoga turut berhasil untuk anda juga. Apa-apa pun, semua yang baik itu dari Allah taala semata-mata. Segala kekurangan dari diri kita sendiri.

2 July 2015

Cara saya turunkan berat badan dalam tak sedar (Part 2)

Untuk Part 1 boleh rujuk entri sebelum ni di sini.

Seperti yang dijanjikan, di sini saya kongsikan 13 cara yang saya amalkan selama sudah 2 tahun untuk turunkan berat badan, dapat dan kekalkan berat badan ideal. Tapi sebelum tu nak ingatkan siap-siap, ini cuma cara saya, dan terbukti berkesan untuk diri sendiri. Saya tak beranilah nak panggil ini tips sebab hanya berpandukan pengalaman sendiri saya. Kalau cara-cara ini turut berkesan untuk banyak orang lain, then waktu tu kita boleh panggil tips.

1. Betulkan mindset

Saya letak ini nombor satu, sebab bagi saya ini benda pertama kena buat sebelum buat yang lain. Perkara paling penting dalam semua 13 cara ni. Kalau skip yang ini, saya tak jamin cara-cara yang menyusul selepas ini akan berkesan untuk turunkan berat badan. Mungkin berkesan, tapi tak tahan lama. Perjalanan dalam menjaga, mengawal dan menurunkan berat badan ni adalah satu nafas panjang. Kata kuncinya adalah sustainable, supaya kesannya menjadi durable, tahan lama sampai ke hujung usia.

Mindset shit yang saya maksudkan adalah, mulai hari ini bagitahu diri sendiri, goal kita adalah untuk sihat. Bukan untuk kurus, bukan untuk turunkan berat semata. Nak kurus dan turunkan berat saja ada banyak jalan singkat - pil kurus, minuman pelangsing, krim pelangsing. Tapi tak terbukti menjamin kesihatan. Kebanyakkannya lagi menambah-burukkan keadaan dan memperjudikan keadaan kesihatan. Kurus tapi tak sihat, tak ada gunanya. Buat apa ada badan kurus tapi tubuh badan tak cukup zat, muka cengkung, rambut gugur, kulit kering dan macam-macam lagi.

Bila kita letak goal untuk sihat, apa-apa yang kita amalkan, kita akan make sure semuanya menyumbang kepada kesihatan yang lebih baik. Segala amalan dalam 12 langkah-langkah yang saya kongsikan selepas ni kita akan jadikan sebagai lifestyle, dan commit untuk teruskan sampai bila-bila. Bukan sekadar usaha untuk kurus semata-mata. Percayalah, bila kita letak sihat nombor 1, automatik badan kita akan melalui proses-proses yang sepatutnya untuk menyahkan lemak yang tak sepatutnya berada dalam badan, berat akan berkurangan sedikit demi sedikit dan akhirnya kita akan semakin kurus, kalau itu yang diinginkan. 

Senang cakap, weight loss akan terhasil bila kita jaga kesihatan. Tapi memang kena bersabar. Tak boleh hari-hari timbang badan dan stress bila tengok angka tak turun-turun. Tak boleh juga hari ini mulakan cara hidup sihat tapi bulan depan sudah kecewa dan putus asa bila tak nampak perubahan. Proses mengutamakan kesihatan dalam menurunkan berat badan memang akan mengambil masa yang lama tapi hasilnya memang terjamin.

2. Jaga pemakanan

Kalau mindset sudah betul, baru boleh embark dalam amalan-amalan praktikal. Dari pengalaman saya, jaga makan adalah tiang paling utama kepada semua amalan lain. Pernah dengar tak orang putih selalu sebut, weight loss starts in the kitchen, not in the gym? Ini yang jadi pegangan saya dan Abgmas waktu kami mula mendapat hidayah tentang betapa teruknya cara kami makan selama ni dan mula bertekad dan commit untuk jaga pemakanan pada awal tahun 2013.

Perkara yang paling kami utamakan dalam nak menjaga pemakanan ni adalah khasiat dan zat yang saya banyak belajar melalui pembacaan. Kalau dulu selalu makan nasi pagi, tengahari dan malam, sekarang makan nasi cuma sekali sehari. Ambil nasi pun tak banyak, sesenduk seorang. Lauk pula kami pay attention kepada cara masak. Lauk yang jenis kena masak dengan lama, macam rendang, memang kami tak pernah masak dan kalau dihidangkan pun jarang ambil. Masakan bersantan pun Abgmas sendiri minta dikurangkan, macam masak lemak, masak kari. Kalau bersambal pun tak selalu juga. Saya suka lauk bersambal, Abgmas kurang gemar tapi tetap makan kalau saya masak. Jadi apa yang saya buat, saya make sure setiap kali buat sambal, saya gunakan minyak paling sedikit yang mungkin, dan kurangkan garam. Garam pun kami cuma pakai garam kasar saja, yang tak diproses dan rasanya pun lagi mild dan kurang perit.

Gula memang kami letak tepi. Saya dan Abgmas dah lama ban gula dari dapur memasak kami. Pernah awal-awal balik Malaysia tahun lepas, 4 bulan rumah kami tak ada gula. Mak saya datang nak memasak sambal pun jenuh punggah satu dapur sebab tak jumpa gula. Saya cuma tergelak dan cakap, "sorrylah mak, kami memang dah lama tak beli gula". Mak orang kelantan, jadi saya faham kenapa Mak susah nak berpisah dengan gula. Sampailah satu hari tetamu datang rumah, dan saya pun panik sebab nak buat air teh tapi tak ada gula. Takkanlah nak hidangkan air tak bergula dekat tetamu. Nasib baik ada air milo 3in1 yang pernah dibeli lama dulu, saya pun bancuhkan satu-satu peket dalam setiap cawan. Sejak hari tu rumah kami sudah ada gula, tapi untuk kegunaan buat air tetamu saja. Dan itupun, kami pakai gula merah.

Kebanyakan lauk lain, kami masak dengan cara panggang, grill dan goreng tanpa atau dengan sedikit minyak saja. Sebelum balik dari Perancis, kami pun sempat beli Actifry keluaran Tefal, alat untuk menggoreng tanpa minyak yang sangat banyak membantu memudahkan saya sediakan makanan terutamanya makan malam. Sayur selalu buat samada sup, rebus, celur, steam atau goreng dengan sikit minyak ikut jenis sayur. 

Jenis yang saya selalu masak dulu.
Deep fry is a big NO.

 Sekarang, ayam memang masak secara goreng tanpa minyak saja dengan Actifry.
Harga memang mahal sikit tapi sangat convenient dan berbaloi.

Hasil ayam Actifry, dengan proses memasak tak sampai 15 minit.

 Jenis makan malam yang Abgmas suka.
Simple dan mudah nak dibuat.

Semua ini kami mula praktikkan pada awal tahun 2013, dan mula amalkan secara serius sebagai lifestyle sejak saya disahkan mengandungkan Armand bulan Mei 2013. Selepas bersalinkan Armand bulan Januari 2014, proses berpantang pun saya jalani dengan lancar. Abgmas yang sediakan semua makanan berpantang, dan saya tak rasa terseksa pun dengan makanan pantang. Sebab tak banyak lainnya dengan makanan hari-hari kami sebelum ni.

3. Cintai air putih

Saya tak cakap banyakkan minum air putih, tapi saya tekankan cintailah air putih. Tak kisah samada air mineral, air masak, air tapis, air minuman dalam botol, atau air paip (yang selamat diminum), asalkan airnya jernih. Sebab bila dah cinta, tak perlu disuruh memang akan selalu minum sepanjang hari, sampai akan rasa tak boleh berpisah dengan air putih walaupun sesaat. Sungguh tak tipu, ini bukan propa, sebab ini yang terjadi pada saya.

Saya kongsikan sikit pengalaman saya dengan air putih ni. Sejak kecil saya cukup tak suka, dan boleh dikatakan benci air putih. Memang tak pernah dibiasakan minum. Tekak saya cuma boleh telan air yang berperisa. Air sirap, air limau, air laici, air tin/botol, atau air gas. Kalau minum air putih, sekali teguk pun rasa nak muntah. Dan benda ni berlanjutan sampai saya habis sekolah.

Sampailah saya kenal Abgmas, seorang pencinta air putih. Tak suka minum air berperisa, lagi-lagi air gas. Kalau minum air putih boleh diteguk sampai nak habis sebotol satu masa. Sejak mula berkenalan, umur saya 18 tahun, sampailah dah kahwin dengan Abgmas waktu saya 23 tahun, Abgmas selalu sangat minta saya minum air masak. Selalu pujuk saya, minumlah air masak. Saya kata tak boleh, tak sedap, nak muntah lah rasa dia. Tapi saya selalu mengadu, muka banyak jerawat lah, kulit kering lah. Abgmas kata, kalau minum air masak semua tu settle. Saya tak percaya, rasa macam semua tu propaganda semata. Saya teruskan macam biasa habit minum air manis walaupun selepas setahun kawin.

Sampailah saya mengandungkan anak pertama, Aliff. Waktu tu di Perancis, doktor sendiri cakap, saya kena banyakkan minum air putih. Entah kenapa sekian lama hidup di dunia, di usia 24 tahunlah saya baru tergerak untuk mula paksa diri minum air putih. Paksa okey, memang paksa diri. Mungkin hati jadi lembut sebab mengenangkan anak yang dikandung. Waktu mengandungkan Aliff pulak, Abgmas jauh dekat Malaysia. Saya masih belajar, jaga diri dan kandungan sorang-sorang saja. Bila diri kita berada di luar comfort zone, dengan suami tak ada di sisi, kekuatan untuk survive akan datang dan tiba-tiba kita boleh jadi luar biasa kuat untuk buat sesuatu yang tak biasa.

Jadi bermula dari waktu itulah, sebab selalu paksa diri minum, lama-lama saya rasa terbiasa. Satu hari pergi kelas macam tak keruan kalau tak dapat minum air mineral. Oh lupa nak bagitahu, saya mula paksa minum air putih dengan air mineral. Nasib saya baik, sebab air mineral dekat France murah-murah dan sedap-sedap. Kandungan calcium dan magnesium air mineral di sana sangat tinggi, buatkan airnya rasa berlemak dan sungguh sedap diteguk berulang-ulang. Saya ingat lagi jenama air tu Contrex. Sejak mengandungkan Aliff saya mula minum air Contrex tu, sampailah kami balik ke Malaysia for good lepas saya lahirkan Armand, saya dan Abgmas minum air Contrex secara konsisten hari-hari. Sehari 2 botol untuk saya, 2 botol untuk Abgmas. Dua botol bersamaan 3 liter. Kadang-kadang saya minum sampai 4.5 liter sehari. Sebotol bawa pergi kelas itu wajib, sampai pensyarah jokingly mengusik saya bila saya masuk kelas,"Haaa sampai dah Marini dan botol susunya." Sebab hari-hari pun kepit botol pergi mana-mana. Botol besar pulak tu, tak muat nak simpan dalam beg.

Air mineral jenama Contrex yang saya maksudkan.
Sekali beli memang berpeket-peket 6 botol terus.
Ini yang kawan saya hadiahkan waktu saya mengandungkan Aliff. 
Dia tahu favourite saya, belikan dan hantar sampai ke bilik. Dengan buah delima itu, elok dimakan masa mengandung.
Thanks Ana. :)

Inilah buktinya saya tak boleh berenggang dengan air putih walau sesaat.
Gambar masa saya ke Paris untuk business trip bulan Januari lepas.
Benda pertama saya buat selepas saja check-in hotel, jom pergi kedai cari Contrex!
Terlepaslah sudah segala kerinduan. Semoga dapat kita berjumpa lagi sayang.

Macam saya cakap dalam entri yang lepas, saya tak sedar macamana berat saya boleh turun sampai mencecah angka yang saya tak pernah jangka. Daripada 57kg selepas lahirkan Aliff sampai 48kg sekarang. Tapi saya yakin sangat, amalan saya minum air putih ni antara penyumbang terbesar. Oh tak lupa juga kepada green tea yang saya minum setiap hari sampai hari ini. Sehari segelas tak pernah tinggal walaupun travel.

4. Buang tabiat makan junk food

Yang ini, memang saya maksudkan buang. Bukan kurangkan, tapi memang tinggalkan terus dan jangan pandang ke belakang lagi. Sebab junk food ni memang tak ada kebaikan langsung pada badan, malah merosakkan kesihatan. 

Saya pengamal junk food yang tegar dulu. Benda yang paling saya suka adalah gula-gula kenyal jenama Yupi tu. Yang ada bentuk burger, hot dog, pizza, binatang, buah-buahan. Suka amat sangat, sampaikan setiap kali Abgmas atau Mak nak poskan parcel pada saya dari Malaysia ke Perancis, saya minta selitkan sekali sepeket besar Yupi burger. Dan saya tetap amalkan makan gula-gula kenyal di walaupun tengah mengandungkan Aliff dulu. Dekat France tak ada Yupi, tapi ada brand Haribo yang halal. Sedap boleh tahan juga. Saya beli sekotak besar, letak tepi katil. Sebelum tidur makan sebiji dua, macam makan supplement Abgmas cukuplah marah dan tak berkenan tengok saya makan benda alah tu waktu mengandung. Saya guna alasan, nak hilangkan loya, dan teruskan membeli dan makan senyap-senyap belakang Abgmas. Ya Allah punyalah keras kepala saya waktu tu.

Sekarang alhamdulillah, saya boleh kata badan saya free from junk food, sejak dapat hidayah waktu mengandungkan Armand. Sekarang bila tengok Yupi, kadang-kadang godaan terasa kuat, goyah juga saya nak merasa sikit. Satu hari saya pun beli senyap-senyap, simpan dalam almari baju. Makan sebiji konon nak rasa sikit je, tapi end up saya luahkan balik. Ergh tak boleh telan. Rasa sungguh semua bahan artificialnya, macam makan plastik. Sampai ke sudah sebelah mata pun saya tak pandang sekarang. 

5. Jaga berat badan semasa mengandung

Saya letak nombor 5 sebab mungkin tak boleh diaplikasikan oleh semua orang. Walaupun nombor 5, saya rasa ini antara yang memainkan peranan terbesar juga dalam perjalanan weight loss saya.

Waktu mengandung Aliff saya memang tak jaga berat langsung. Makan pun tak terjaga macamanalah berat nak terkawal. Saya makan apa saja, mungkin sebab anak pertama, ilmu masih kurang, manja pun terlebih banyak. Semuanya saya izinkan masuk ke tekak. Coklat sebalang memang tersedia atas meja study. Makanan harian pun saya selalunya tak sempat nak masak sebab jadual penuh. Jadi samada saya makan kebab yang sangatlah tinggi minyak, lemak dan kalori itu, ataupun saya pergi menumpang di rumah adik-adik. Memang tebalkan muka jemput diri sendiri dan tumpang makan apa-apa lebihan yang ada. Macam tak senonoh juga perangai macamni, tapi waktu ni saya memang tak ada pilihan lain. Nak menjaga diri sendiri yang mengandung satu hal, dengan study lagi. Tapi syukur sangat adik-adik semuanya memahami dan selalu juga ajak saya tidur di rumah, makan tengahari dan malam mereka siapkan masak. Sampai hari ini saya terhutang budi dan sangat sayangkan mereka walaupun dah lama tak jumpa.

Bukti sebalang coklat yang setia menanti di meja study.
Asal habis isinya saya akan topap. Tambah pula coklat sangatlah murah di sana.

Masa mengandungkan Armand, alhamdulillah dah dapat hidayah dan dah mulakan perubahan cara hidup ke arah yang lebih sihat. Faktor paling penting, waktu tu Abgmas dah ada tinggal dengan saya di Perancis. Jadi Abgmas lah yang banyak memasak bila saya tak larat dan pastikan saya makan dengan sihat. Pengambilan coklat sangatlah kurang, beli dessert pun bila dah teringin sangat-sangat saja. Itupun saya boleh kira dengan jari berapa kali beli dessert yang semuanya menggiurkan di France. Satu perubahan yang saya amalkan sampai hari ini, setiap kali ada sweet tooth, saya akan makan buah. Maka bekalan buah-buahan di rumah memang selalu penuh dan banyak variety. Selalunya saya akan makan pisang, epal, pear, strawberry atau buah plum.

Waktu ni saya dan Abgmas selalu rajin ke pasar. Sebab pasar cuma belakang rumah.
Beli buah-buahan dan sayur-sayur segar untuk bekalan di rumah. 

 Nasi goreng daging yang Abgmas masakkan untuk bekalan saya ke kelas.

 Hidangan makan tengahari kami. Satu nasi, satu protein, satu sayur dan satu buah.
Macam inilah sampai sekarang, walaupun waktu berbuka puasa.

Kalau kelas penuh dan saya tak sempat balik ke rumah, akan makan di restoran universiti.
Beginilah pattern makanannya hari-hari. Sihat dan seimbang.  

Selalunya untuk dinner, saya akan buatkan salad campur dengan tuna. 
Kemudian makan dengan roti Perancis yang panjang tu (baguette). Memang fulfilling.

Sebab sangat menjaga makan, sepanjang mengandungkan Armand saya cuma mengalami kenaikan badan sebanyak 11kg. Berbanding waktu Aliff, berat saya naik sampai 16kg. Sudahlah kenaikan pun tak banyak, berat badan saya pun cepat turun selepas lahirkan Armand. Sebab dah mulakan lebih awal gaya makan begini, masa berpantang jadi mudah. Abgmas jugalah yang masakkan makanan berpantang saya, dan saya pun tak rasa terseksa sebulan lebih makan makanan berpantang. Sebab tak banyak bezanya pun dengan makanan seharian sebelum bersalin.

 Sebelum bersalinkan Armand. 
Pregnant 9 months.

 3 bulan selepas lahirkan Armand.
Gambar diambil di tempat praktikal saya, 2 minggu sebelum Armand pulang kepada Allah.

Memandangkan saya dah lama menulis dengan panjang lebar untuk entri ini, yang selanjutnya akan bersambung di Part 3. Tinggal sikit saja lagi, tapi saya dah hilang fokus sikit.

Terima kasih sudi membaca.

1 July 2015

Cara saya turunkan berat badan dalam tak sedar (Part 1)

Hari-hari pun sempat tulis entri baru. Nampak sangat banyak masa terluang sekarang. Ini kira nak qadha balik semua benda yang saya rasa dah lama nak share tapi tak diizinkan oleh rentak kerja beberapa bulan sebelum ni yang terlampau hectic. Sampai rasa malu sangat bila masuk blog sendiri bila dah lama terbiar. Ada rasa macam nak tutup saja. Tapi saya sayang sangat. Antara penyebab sayang tu sebab di sinilah saya abadikan cerita arwah Armand. Memang hajatnya nak ditulis semua tentang Armand di sini, bila-bila saya ada masa. Supaya jadi kenangan sampai bila-bila. Supaya nama Armand terus disebut-disebut, selalu hidup dan subur dalam hati sesiapa yang membaca. Dan bolehlah juga jadi rujukan buat ibu-ibu terpilih yang ditakdirkan melalui ujian yang sama, kalau tulisan saya ada bagi kebaikan.

Lagi satu sebab sayang, blog inilah yang menjalinkan semua banyak silaturrahim yang terputus kerana faktor jarak dan masa antara banyak jiwa. Terutamanya selepas hari Armand pergi, bila saya tuliskan cerita tentang hari kejadian dengan panjang lebar. Alhamdulillah entri tersebut banyak dikongsi orang ramai. Saya sendiri terkejut sangat dan tak sangka, sebab waktu tu jumlah pembaca mencecah sejuta dalam beberapa hari. Untuk seseorang yang tulis blog sekadar nak berkongsi cerita dan tak ada apa-apa kepentingan dan keuntungan lain, sejuta pembaca tu memang perkara yang terpaling jauh dari fikiran.

Alhamdulillah, dengan perkongsian orang ramai, banyak kawan-kawan Abgmas terutamanya, mula berhubung semula untuk mencari contact dengan dia. Semua pun sebab blog inilah. Sebab nama dia kan macam aneh sikit, rasanya sepanjang percarian saya di Google sebelum ni, dia seorang saja yang bernama Mas Aidiff di Malaysia ni, dan juga di dunia. Selain kawan-kawan lama Abgmas, saudara mara pun banyak menghubungi semula mama baba saya untuk ucapkan takziah dan berkongsi rasa simpati dengan pemergian Armand. Semuanya pun sebab recognize nama Abgmas yang unik tu. Begitulah besarnya kesan yang kami terima selepas saya tulis tentang arwah anakanda Armand, dan besar jugalah sayang saya pada blog ini.

Kembali kepada tajuk di atas.

Semalam saja saya tengok balik gambar-gambar lama. Nostalgik sungguh rasa, bila tengok gambar Aliff waktu baby, zaman dia toddler, waktu saya dan suami tinggal sekeluarga di Perancis dulu. Lagi menyentuh hati bila tengok semula gambar Armand sejak dia dilahirkan. Dah tengok gambar anak-anak, mestilah tengok juga macamana diri sendiri waktu zaman 2-3 tahun lepas. Tersenyum saya sorang-sorang, macam tembam sangat. Bila terkenang balik, entah apalah yang saya buat sampai jadi ke tahap tu. Tak sempat nak menjaga diri mungkin, sebab dulu fokus memang study dan keluarga saja. Nak besarkan Aliff waktu tengah belajar, dengan segala cabaran menyusu, buat stok susu, prepare solid food, dan segala hal mak-mak yang lain, sangatlah tak mudah. Apatah lagi waktu tu saya letak target untuk score setiap subjek sampai dapat nombor 1 dalam kelas. Tambah pula Abgmas pun sama-sama belajar waktu tu.

Saya kongsikan sikit gambar-gambar zaman badan saya tengah berkembang, yang bermula selepas saya lahirkan Aliff pada bulan Mac 2012.

 Jun 2012. Aliff 3 bulan waktu ni.
Di airport Paris tengah tunggu flight untuk balik Malaysia cuti summer. 

 Julai 2012.
Majlis Akikah Aliff yang diadakan oleh Mak Bapak di Penang

 Selepas majlis akikah Aliff, dengan Mak dan Bapak 

Bulan September 2012.
Di KLIA tunggu flight nak balik Perancis semula.
(Macam tak percaya, rasa nak pitam tengok gambar ni.)

Nah sikit lagi gambar. Semuanya sekitar bulan September - Oktober tahun 2012. Waktu ni baru nak bermulanya fasa kehidupan yang mencabar untuk kami suami isteri. Saya dan suami memulakan tahun pertama pengajian Master waktu ni. 


 Nampak bahagia sungguh ya kak? 
Siap beratur nak beli burger lagi. Patutlah bahagia.

 Sambutan Raya Haji.
Pakai baju kurung lagilah nampak kembangnya.

 Beli perabot sikit untuk rumah, tunggu transporter nak angkat kotak.

Dalam banyak-banyak, inilah gambar terpaliiiiing favourite untuk saya.
Paling jelas dan ketara 'bahagia'nya. Syukur sangat sebab ada gambar macamni. 
Gambar ni akan jadi rujukan saya untuk transformasi diri sendiri di tahun-tahun akan datang.

Semua gambar ni, saya tak pernah share di mana-mana akaun FB atau IG saya. Siapalah yang suka nak share gambar tengah gemuk kan? Mestilah nak letak yang nampak cantik dan kurus saja. Waktu ni, berat saya 55-57kg. Sebelum mengandung Aliff berat saya 53-54 kg. Nak dapatkan pre-pregnancy weight pun gagal. 

Waktu ni, bukanlah saya tak sedar diri saya sangat mengembang. Rasa sangat. Tapi jujur cakap, saya tak stress dan fikir langsung pasal berat badan dan bentuk badan waktu tu. Sebab masih excited baru dapat anak pertama kan. Perhatian saya banyak tertumpu untuk perhatikan perkembangan Aliff pada setiap fasa. Dengan berdebar nak masuk tahun Master lagi. Abgmas pun tak ada komen apa-apa. Kawan-kawan dan adik-adik apatah lagi. Tak ada seorang pun komen "ehhh kak nini kenapa kembang sangat nii?" (Eh tapi berani ke orang nak komen terang-terangan macamtu? Haha.) Disebabkan tak ada apa-apa isu berbangkit mengenai hal ini, saya anggap tak adalah masalahnya, teruskanlah hidup seperti biasa, dan tumpukan perhatian pada yang sepatutnya.

Bila dah mula pengajian Master, jadual teramat-amatlah penuh dan agak kejam. Saya dengan Abgmas kena pandai-pandai atur giliran untuk hantar Aliff ke rumah Nounou (pengasuh) di awal-awal pagi, mengikut jadual kelas masing-masing. Saya waktu ni fully breastfeed lagi, dengan nak perah susu, asal susu sikit mesti stress sampai menangis. Study pun sambil susukan Aliff atas riba. Nak tambah lagi haru, Aliff struggle nak sesuaikan diri dengan Nounou, asyiklah menangis setiap kali saya hantar selama 2 bulan pertama. Menyusu dengan botol pun dia refuse, sampaikan Nounou kena ambil masa sejam untuk make sure Aliff habiskan juga susu dalam botol yang cuma ada 2-3 oz susu perahan. Memang sangat mencabar waktu ni bila fikir balik.

Disebabkan hari-hari pun rentaknya begitu, dalam tak sedar, berat saya makin berkurang. Saya tak monitor pun berat, penimbang pun tak beli waktu ni. Cuma saya perasan melalui gambar. Bila Aliff makin menginjak setahun, badan saya makin lama makin kecut. Sampailah bila Aliff setahun, saya sempat timbang, berat saya jatuh sampai 51-52 kg. Memang berkesan betul faktor kesibukan untuk turunkan berat badan. Saya sendiri tak perasan bila masa berat turun sampailah adik-adik sekeliling mula tegur tentang kurus semula.

Ini gambar-gambar bukti badan semakin menyusut sepanjang sibuk belajar, dari bulan November 2012 sampailah April 2013.

November 2012. Cuti All-Saints. 

 Pagi-pagi sebelum pergi kelas. Abah tak ada kelas, tinggal Aliff dengan Abgmas.
Rindunya tengok background rumah kami dulu, tempat pertama kami mulakan hidup berkeluarga.

 Bulan November lagi.
Mak Bapak datang ke France sebab rindu yang dah tak terbendung nak jumpa Aliff.
Penangan cucu pertamalah katakan.

 Dalam train, trip to Dijon.
Bawa Mak Bapak jumpa kenalan mereka yang dikenali sewaktu buat Haji di Mekah.

 Disember 2012, Aliff 9 bulan.
Cuti Krismas di Strasbourg.

Bulan Februari 2013. 
Dating dengan Abgmas selepas habis kelas. 

Bulan Mac 2013.
Di kedai gambar, nak ambil gambar passport Aliff sempena cukup setahun.

Ralat sangat tengok gambar ni.
Kalaulah Aliff boleh duduk diam sikit, mesti dah jadi potret family gambar ni. 

 Bulan April 2013.


Dan akhirnya, bulan Mei 2013.
Berat saya kembali normal, 51 kg.
Disclaimer : Saya minum air Raspberry.

Okey, proses flashback gambar kena berhenti sampai bulan Mei saja. Sebabnya, pada hujung bulan Mei 2013 lah saya disahkan mengandung sekali lagi. Aliff waktu ni setahun 2 bulan, dan si kunang-kunang syurga Armand sudah hadir dalam rahim saya. Alhamdulillah, berita yang sangat-sangat menggembirakan saya dan suami. Disebabkan dah pregnant lagi, makanya dah tak payah berharap lagilah untuk turunkan berat lagi. Sebab sah-sah akan naik balik, cumanya kali ini saya sangat mengawal berat badan. Jujur saya cakap, apa yang saya buat sepanjang pregnancy kedua inilah yang menjadi titik permulaan dan sangat banyak main peranan untuk saya mudah turun berat semula dan dapat berat sekarang.

Saya tak berniat nak tulis entri yang panjang, jadi saya akan ceritakan semuanya di bahagian kedua nanti.

*****************************************************

Bila tengok betapa kembangnya diri sendiri waktu dulu, memang patutlah sekarang saya asyik terima komen dari kawan-kawan yang dah lama tak jumpa buat beberapa tempoh masa. Semuanya komen sama saja, kurusnya sekaranggg. Mula-mula saya sangatlah clueless, eh apalah yang kurus sangatnya. Sebab saya bukannya jenis monitor berat badan sangat. Saya pun tak ada buat apa-apa regime yang khas untuk kuruskan badan. Diri sendiri rasa sama je. Jujurnya saya adalah terasa susut sedikit, terutamanya selepas Armand pergi. Tapi taklah sampai tahap setiap kali jumpa kawan dan adik-adik yang sama-sama belajar di France dulu, tak pernah terlepas komen tentang kenapa kurus sangat, macamana boleh kurus, etc. 

Ada juga tahun lepas sekali sekala saya timbang berat badan. Tapi semuanya macam menghampakan. Asyik-asyik 50-51 kg je, tak naik tak turun. Entahkan penimbang tu rosak, mungkin juga. Saya minta Abgmas timbang diri dia sekali, macam ada perubahan. Memang bertepatan dengan berat dia. Maknanya penimbang tu berfungsilah. Sebab tulah bila orang komen saya kurus, saya confuse samada nak rasa happy ke tak. Sebab diri sendiri je yang tahu berat sama je macam dulu. Dulu sebelum mengandungkan Armand berat saya 51 kg. So sekarang dah dapat baliklah berat pre-pregnancy. Which is normal untuk ibu-ibu yang lain juga.

Sampailah bulan Mac baru-baru ni, Abgmas saja beli penimbang digital canggih yang berkualiti sikit. Canggih sebab boleh calculate peratusan lemak, kandungan air, muscle mass, dan BMI sekali semuanya. Saya tak teruja sangat masa mula-mula beli. Sebab macam malaslah nak timbang-timbang ni, balik-balik sama jugak beratnya. Berkali-kali Abgmas ajak timbang pun saya macam bo layan. Dah dua minggu beli baru saya tergerak hati nak cuba penimbang tu. Waktu tu barulah saya terbuka mata dan terkejut, bila angka penimbang tu appear untuk tunjukkan berat saya.

"What??? 48.1 kg?? Biaq benaq?" (Kalau terkejut sampai lupa diri memang terus keluar slang Penang)

Disebabkan penimbang tu baru sangat beli, beli mahal pulak tu, saya rasa lebih yakin nak percaya. Barulah saya pun tergerak hati nak cuba timbang guna penimbang di rumah Mama, dan memang betul 48 kg jugalah yang ditunjukkan. Tapi 48 kg, apa lagi yang boleh katakan selain alhamdulillah.... Barulah nampak logiknya kenapa orang asyik komen kurus. 

Kalau nak tahu, kali terakhir saya dapat berat 48kg ni adalah waktu tingkatan 5, maknanya 11 tahun yang lepas. Habis saja sekolah, lepas SPM saya kenal Abgmas, masuk zaman bercinta yang semuanya indah belaka, makan tak ingat dunia, sambung belajar dekat negara impian pulak, berat saya selepas tu tak pernah kurang dari 50kg. Tapi taklah berlebih sangat juga, sebab usia awal 20-an dulu, makan macamana pun, dengan tak exercice pun, berat susah juga nak naik. Metabolisme pun tengah tinggi. Paling-paling hebat pun 52kg.

Bila dah dapat berat 48 kg yang kali pertama berjaya cecah selepas 11 tahun lamanya, saya rasa perlulah saya kongsikan pada sesiapa yang berminat nak tahu cara berkesan untuk turunkan berat badan. Ini masalah yang dihadapi oleh semua perempuan, terutamanya yang dah masuk hujung 20-an, dan dah melalui fasa mengandung dan beranak semuanya. Saya sendiri melalui fasa ini dua kali, dan harus diakui benda ni sangatlah bukan mudah. Perlukan usaha, determination dan perubahan cara hidup yang sangat besar. Insha Allah saya kongsikan cara saya di bahagian kedua saja. Entri ni dah cukup panjang sebab banyak gambar.

Sebagai teaser, ini gambar saya paling latest, pada hujung Mei 2015. Taklah latest sangat. Susah nak jumpa gambar terbaru yang elok sebab lately ni jarang sangat dapat ambil gambar.


Sekianlah dahulu, terima kasih sudi membaca.