30 June 2015

Bila semua orang pun buat business

Pagi tadi masa bersahur, kami cuba nak habiskan beberapa ketul kuih yang berbaki dari semalam. Ada 3 ketul kuih 'burger malaysia' (saya pun tak tahu apa nama sebenar kuih tu) yang biasanya sangat digemari suami. Suami ambil seketul dan jamah.

"Ni nini beli bila?"

-"Semalam. Masa balik kerja. Ada orang jual sebelah LRT. Kesian tengok takde orang beli. Nini belilah. Macamana, sedap?"

"Tak. Keras sangat. Patutnya lembut je kan." Balasnya berterus-terang dengan muka yang seksa nak habiskan seketul kuih tu.

-"Hurm.... Banyak tepunglah tu.." Saya komen ringkas dengan rasa hampa.

Selalunya waktu sahur, sambil makan kami akan berbincang untuk segarkan mata yang susah nak celik baru bangun tidur. Kenapa saya panggil berbincang dan bukan bersembang, sebab tajuk-tajuk yang jadi pilihan secara tak sedar selalunya berat-berat. Sepanjang bulan puasa ni dah banyak topik yang membuka minda yang jadi penghubung kami berdua waktu bersahur. Tentang gst, kenaikan minyak, skandal MARA, sistem kerajaan, dan berita-berita semasa yang lain. Berat-berat kan topiknya. Tapi itulah gayanya kalau saya bercakap dengan suami. Awal-awal dulu rasalah jugak macam susahnya la hai nak masuk bila suami asyik nak bincang topik macamni. Tapi makin lama saya makin suka. Tambah pulak bila bercakap masa sahur, mata akan terus celik sebab kepala akan mula berputar ligat, dan terus hilang mengantuk nak tidur semula (Tapi selalunya tidur jugak sekejap walaupun mengantuk dah hilang. Heh.) 

Berbalik hal kuih tadi, maka mulalah kami termasuk bercakap tentang fenomena sekarang. Fenomena buat business di kalangan orang ramai, tak kira peringkat umur. 

"Tahu tak kenapa kuih ni tak sedap? Sebab orang sekarang berniaga kuih untuk dapatkan extra income. Kalau orang dulu-dulu jual kuih, selalunya yang kita beli tepi jalan, memang sedap. Sebab orang dulu jual kuih sebab suka buat kuih. Bukan sebab nak buat business sangat, nak dapatkan extra income." Suamiku memulakan bebelannya macam selalu. Saya mendengar penuh minat.

Saya tak dapat nafikan kenyataan suami saya ni, sebab saya pun berkongsi pandangan yang sama. Sekarang ni rasanya semua sedar, dengan penggunaan FB dan IG yang sangat luas, semua orang pun buat business. Semua orang pun nak berniaga. Kalau saya scroll timeline, memang penuh dengan orang menjual produk, tak kisah produk sendiri atau produk orang. 

Tapi masalahnya bukan pada semua orang nak buat business tu. Saya bagitahu suami, sekarang ni gelombang entrepreneurship ni sangat hebat, especially di kalangan generasi muda. Suami saya sampai sekarang tak mahu ada akaun FB atau IG, jadi dia tak berapa in tune dengan dunia media sosial. It's not a bad thing, at all, that everyone starts doing business. In fact itu satu kebaikan yang besar. Satu sebab dituntut dalam Islam, dalam perniagaanlah terletak 9/10 punca rezeki. Saya tak ingat sangat macamana ayat betulnya tapi lebih kurang begitulah. Lagi satu, bila makin ramai berniaga, kita saling membeli, duit semakin bertukar tangan, ekonomi akan meningkat. Saya rasa inilah konsep asas ekonomi yang suami saya pernah terangkan dulu. Kalau masing-masing jenis simpan duit dekat rumah masing-masing, taknak berbelanja, then ekonomi akan down. Betulkanlah, kalau saya salah atau tak tepat.

Cumanya bila buat business ni, kunci utamanya adalah ilmu. Saya bukan orang business, tapi saya tahu dunia business bukan seindah yang kita nampak dari mata kasar. Perlu minat dan komitmen, tapi tak akan menjadi kalau tak berbekalkan ilmu. Ilmunya pula sangat luas, dari semua aspek kena belajar. Teknik marketing, ilmu tentang produk tu sendiri, teknik menjaga pelanggan, nak uruskan pekerja, kualiti, semuanyalah. Orang yang berniaga dengan ilmu, dia takkan jual benda yang tak berkualiti. Macam kuih yang saya beli tu, keras kejung sebab banyak guna tepung. Tepung murah,  memang boleh kurangkan kos, banyakkan kuantiti kuih yang dihasilkan, dan banyaklah untung kalau terjual. Tapi yang keras macamtu, orang beli sekali saja sebab tak tahu. Lepas tu orang tak beli dah. Daripada nak kejar untung, end up rugi sebab kuih tak terjual.

Bila suami cakap pasal extra income, itu sangatlah bertepatan dengan realiti hidup di Malaysia sekarang. Cakap saja siapa yang tak terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, dengan gst yang dikenakan baru-baru ni? Even seorang presiden universiti yang bergaji besar pun terasa kesannya. Dalam keadaan macamni, bukan lagi satu kesalahan kalau orang berniaga sebab nak cari pendapatan tambahan yang terutamanya. Sebab kita tak tahu kesusahan orang, struggle orang nak teruskan hidup, nak besarkan anak, nak bagi sikit keselesaan pada keluarga. Berniaga memang jalan yang terbaik. Dikira satu kebaikanlah mereka yang berniaga ni berusaha untuk ubah nasib dengan cara yang halal kan.

But again, berniagalah dengan ilmu. Supaya yang membeli akan happy dan puas hati, dan mahu terus membeli. Supaya business boleh hidup, maju dan berkembang, seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara. 

Saya suka tengok perkembangan orang berniaga di sekeliling, dalam cycle of friends saya dan juga orang-orang yang meniaga di tepi jalan. Business kecil atau besar, semuanya saya kagum. Sebab saya macam tak ada darah business, atau kata orang business-minded. Suami saya pun sama. Mungkin sebab kami cepat kesian pada orang. Diibaratkan kalau dibagi 30 peket keropok pada kami untuk dijual pada budak-budak sekolah, rasanya kurang-kurang pun 10 peket daripada 30 tu akan habis dibagi free sebagai sedekah je dekat budak-budak yang takde duit nak beli tapi teringin. Tambah lagi kalau buat muka kesian, sah-sahlah saya bagi free je. Kalau apply macamni dalam business yang lagi besar, tak tahulah boleh jalan ke tak business saya.

Sebenarnya saya juga sudah pasang impian untuk venture dalam dunia perniagaan. Tapi mungkin bukanlah dalam masa terdekat. Buat masa ni saya mahu kumpul ilmu, cedok pengalaman orang dan bina modal yang stabil dulu. Dalam masa yang sama nak menyumbang kepada kewangan keluarga juga. Rasanya ini keutamaan saya sekarang, nak sama-sama bantu suami untuk beri keselesaan pada keluarga. 

Bukan kemewahan yang saya mahukan, tapi a proper life. Saya tak jumpa pula macamana nak definisikan proper dalam bahasa melayu. Makna 'proper' yang saya maksudkan ni sangat luas dan merangkumi sekecil-kecil perkara. Proper dari segi, anak-anak saya ada cukup baju basahan dan baju tidur, dan tak perlu pakai baju basahan untuk dipakai tidur sebab tak cukup baju tidur. Macam Aliff yang kulitnya sangat sensitif dan cuma boleh terima sabun mandi Sebamed dan krim pelembab Cetaphil untuk kulitnya. Sejak Aliff lahir dah bermacam produk kami cuba, dan cuma dua ini yang betul-betul berkesan. Tapi kedua-duanya bukanlah murah, tambah lagi kalau kena beli setiap bulan. Inilah proper life yang saya idamkan, supaya saya dan suami terus mampu untuk belikan kedua-dua produk ini untuk kebaikan Aliff tanpa kami rasa terbeban. Simple saja.

Pasal kuih burger malaysia yang keras boleh habis satu entri. Actually saya taklah rasa ralat sangat pun, sebab brother yang jual tu jual tak mahal sangat. 3 ketul untuk seringgit. Sekarang ni standard dekat pasar ramadhan pun seketul 40 sen. Lagipun niat saya membeli tu memang sebab nak tolong. Kesian tengok tak ada siapa beli. Sedap ke tak saya tak fikir dah. Cuma rugilah pulak pagi tadi bila tak dapat habis sebab keras sangat untuk ditelan. Rasanya lain kali maybe saya boleh beli dan sedekah saja pada pak guard di pagar belakang apartment saya, yang berjaga tak kira hujan panas. Pak guard ni selalunya taklah berkira sangat, semuanya pun akan dimakan. Barulah tak membazir. Pak guard pun happy, brother jual kuih pun happy, diri sendiri pun lagi happy. Insha Allah.

Sekianlah kisah kuih burger malaysia. Salam 1 July untuk semua. Bulan ini tersangat-sangat istimewa untuk saya. Nanti saya tuliskan. Semoga 1 july hari ini menjadi permulaan kepada separuh tahun kedua yang lebih bermakna, lebih berjaya, lebih terisi dan lebih membina untuk semua.


Belanja satu gambar. Tak ada kena-mengena dengan entri.
Kenangan raya tahun lepas.

29 June 2015

Berbuka : masak sendiri atau beli

Macam tak percaya hari ni dah masuk 13 Ramadhan. Lagu raya dah semakin kedengaran di shopping mall. Biskut raya pun dah mula memunculkan diri. Sememangnya biskut rayalah yang saya paling nantikan setiap tahun bila nak raya. Tak ada baju raya pun tak apa, asalkan dekat rumah ada bermacam biskut raya. 

Alhamdulillah, sepanjang berpuasa 13 hari ni, semuanya tenang saja untuk kami satu family. Di tempat kerja saya pun memang tengah tak ada projek, appointment pun sikit sangat, meeting lagilah sengaja dilewatkan sampai selepas raya. So basically now is a downtime. Maka banyaklah masa dapat saya lebihkan untuk diri sendiri dan keluarga. Macam memenuhi hasrat suami untuk lebih banyak makan homecooked meal. 

Setakat ni masih hari-hari berbuka dengan masak sendiri. Selain nak memenuhi azam suami supaya dapat lebih berjimat dan lebih terjamin kesihatan dan kebersihan makanan, saya sendiri rasa lebih berguna dan lebih puas setiap hari bila dapat preparekan makanan berbuka. Perasaan dia macam, kepuasan berganda-ganda, bermacam perasaan datang pada lain-lain masa. Rasa lega bila dah selesai memasak lebih kurang pukul 7, dan melihatkan suami pun hanya beli kuih-muih yang tak sampai RM 5 sebagai pemanis mulut, automatik rasa nak bagi pat on the back sebab menyumbang kepada penjimatan dan ekonomi bersama. Jimat banyak pulak tu kalau nak difikirkan. Sekarang ni dengan duduk di tengah-tengah KL nya, makan kami 3 beranak tak sahlah kalau tak mencecah RM40. Itu baru saja sekali makan, untuk satu hari.

Bila dah berbuka, tengok suami kita makan dengan berselera siap bertambah, di situ datang bertambah rasa seronoknya. Syukur sebab Allah gerakkan hati dan badan yang memanglah letih kalau balik kerja naik LRT untuk tetap masak juga satu dua lauk. Kalau sedap suami akan puji. Kalau tak sedap dia akan cakap juga terima kasih. Tapi setakat ni suami saya hari-hari without fail akan puji cakap sedapnya lauk walaupun simple saja. Satu lauk protein, satu lauk sayur, sepinggan nasi, dan air sirap. Simple sangat, tapi kenyangnya tetap sama macam makan buffet Ramadhan.

Tahun ni sebenarnya kali pertama saya memasak hari-hari untuk bulan puasa. Cuma akan makan di luar bila ada jemputan berbuka saja. Itu pun cuma sekali seminggu. Minggu lepas dapat berbuka di Royal Chulan dengan teman sepejabat suami, ada kawan belanja katanya. Minggu ni pula baru berbuka semalam di De Palma Ampang dengan family mertua. Alhamdulillah besar sungguh nikmat. Dapat makan bersama, sedap-sedap dan macam jenis pula dan dengan percuma. Hanya dapat berterima-kasih dan mendoakan semoga mereka digandakan rezeki oleh Allah swt.


 Berbuka di Royal Chulan. Banyak sangat makanan sampai 1000 juadah.
Rambang mata sampai tak sempat ambil gambar satu pun. Sempat selfie je.

Tahun lepas, rasanya tak ada sehari pun saya memasak untuk berbuka. Sebab keadaan kerja lain. Waktu tu saya tengah praktikal, pergi balik ofis memang berhantar dan berjemput oleh suami. Bila petang-petang balik dengan dia, sampai rumah pun dah pukul 6 lebih, memang tak sempat dah lah saya baru nak memula masak. Sebenarnya sempat je kalau betul-betul cekap dan rajin di dapur. But that was not my case. 

Alhamdulillah tahun ni dah berubah banyak. Hari-hari boss bagi balik seawal 4 petang lagi. Memandangkan saya commute dengan LRT, dalam pukul 4.30 dah selamat sampai rumah. Rehat sekejap, solat asar. By pukul 6 dah boleh cergas memasak. Pasar ramadhan yang dah glamour dengan panggilan Param tu baru sekali saya jejak tahun ni, tapi berakhir dengan pembelian kuih-muih semata-mata yang tak sampai pun 5 ringgit. Ingat lagi tahun lepas, hampir hari-hari membeli di pasar ramadhan. Hari-hari resah dan pening kepala taktahu nak beli apa. Lauk kena beli 2 jenis, satu untuk berbuka satu untuk sahur. Beli kuih tu pasti. Air lagi. Murtabak atau lain-lain sampingan, sehari mesti ada sejenis dua. 

Dalam bab ni saya berterima kasih sangat dekat suami yang sangat bersabar menunggu dan tak pernah tegur secara direct bila hari-hari saya tak mampu memasak bila balik kerja (sebelum bulan puasa). Semuanya dia doakan dalam diam saja, semoga saya dilapangkan sedikit masa untuk keluarga. Bila bulan puasa ni Allah makbulkan doa dia, nampak sangat dia happy hari-hari. Selain suami, mak lah orang yang saya terhutang budi sampai sekarang, yang ajar saya bab memasak ni sejak kecil. Walaupun bukan kategori anak dara yang rajin masuk dapur, tapi sejak sekolah rendah mak dah mula ajar siang ikan, potong ayam, sotong dan haiwan-haiwan yang lain. Memasak mak yang buat. Saya betul-betul belajar memasak pun waktu duduk di France dululah. Rasanya ini skill yang semua student luar negara sangat handal, tak kira lelaki atau perempuan.

All in all, saya rasa bulan puasa ni sesuai sangat jadi turning point atau medan untuk isteri-isteri dan ibu-ibu kembali aktif memasak semula. Office hour pun ada adjustment, masuk awal boleh balik awal. Of course nak memasak hari-hari sepanjang bulan macam impossible untuk kita yang bekerja. Sesekali pun mesti rasa teringin nak rasa makanan luar, sama-sama rasa kemeriahan pasar ramadhan dan juadah-juadah yang dijual. Apa yang saya boleh suggest, a better option to pasar ramadhan is going to restaurant. Kedai-kedai yang kita dah biasa pergi, yang turut sediakan juadah berbuka, yang kita yakini masakan dia dari segi kebersihan dan kesedapan. Limited option, but that is the key. Kita akan ambil setakat apa yang ada sajalah. Kalau pergi ke pasar ramadhan yang ada selautan juadah, kuih-muih sampai berpuluh gerai yang jual, mesti susah nak mengekang nafsu dari tak membeli. Tapi lagi satu, beli di restoran atau gerai pun bukan untuk makan di sana. Tapaulah bawa balik makan di rumah. Jimat air tak payah order. Nak makan dengan gaya free style pun boleh. Dan yang paling penting, cepat untuk selesai dan terus ready untuk solat dan terawih. Settle.

Harapan saya tak sebesar mana. Cuma mendoakan kita terus berpeluang menjalani puasa di tahun-tahun lepas ni, dan semoga Ramadhan kita semakin matang seiring usia. 


Majlis berbuka dengan kawan-kawan sekolah menengah tahun lepas. Tahun ni punya masih dalam perancangan. Tema tahun lepas warna biru, ada seorang saja tersasar pakai hijau.


23 June 2015

Kembali ke dapur

Dua minggu sebelum datang bulan puasa, saya dan suami dah mula saling berpesan tentang azam yang nak ditanam kuat-kuat untuk Ramadhan tahun ini. Untuk suami senang saja, dia cuma berharap untuk sangat kurangkan makan di luar atau membeli makanan luar. Dalam erti kata mudahnya, dia teringin untuk lihat saya ligat memasak semula, terutama lagi di bulan puasa yang benda tak pernah teringin nak makan pun terasa ringannya tangan nak membeli.

Betul juga, dah hampir 3 bulan saya kurang memasak. Tambah lagi lepas balik dari umrah di hujung April, saya terus disibukkan dengan persiapan untuk projek di Paris yang dah selesai hujung bulan Mei lepas. Sebelum tu, hari-hari balik rumah tak pernah lebih awal dari pukul 6 pm. Sebab kami dua-dua pun bekerja, habis kerja dah lapar, jadi hampir setiap harilah kami berjumpa di luar untuk selesaikan dinner ikut selera, kemudian barulah balik rumah. By the time sampai rumah, mesti dah pukul 9 malam. Nak kemas rumah, nak spend masa main dengan Aliff lagi, nak prepare barang-barang untuk esoknya, semuanya nak kena diselesaikan sebelum pukul 11 malam. Macam itulah hari-hari sejak 2 bulan ni. Terasa kosong dan flatnya hidup. 

Jadi bila suami luahkan hasrat nak merasa airtangan saya semula hari-hari, I am overjoyed. Surprisingly, tak terasa hati ataupun tertekan langsung. Mungkin sebab saya sendiri pun dah rasa bosan makan di luar, dengan harga yang makin menekan, rasa tak setara mana, cara masak pun kita tak tahu, kesihatan tak terjamin, kepuasan pun hilang. 

Maka keluarlah kami pergi beli barang-barang dapur yang dah berbulan tak berganti. Minyak dah habis. Garam gula, tepung nak diganti. Dalam peti jangan cakaplah. Kerja-kerja pemulihan yang intensif sangat diperlukan. Nak shopping barang pun satu hal. Walaupun pergi ke dua tempat, pasar dan tesco, kepala saya sungguh jammed memikirkan nak beli apa. Rasa tak cekap sungguh, macam baru semalam je jadi isteri tiba-tiba hari ni nak kena memasak untuk suami. Memang inilah akibatnya bila dah lama tak memasak. 

Saya tanya suami, nak beli apa ek? Suami kata, okey Nini nak masak apa? Entah, blurlah. Padahal dalam kepala dah bersusun idea lauk. Cuma tak boleh nak organise yang mana nak dimasak dulu. Bulan puasa kan ada 30 hari. Takkan nak beli saja semuanya dulu then stock up. Kalau tiba-tiba tak jadi masak, kan rugi saja semuanya rosak.

Akhirnya berbekalkan konsep beli saja sesedap rasa nanti baru fikir nak masak apa, dapatlah restock kali pertama setelah sekian lamanya. Bila dah ada barang, saya pun mula overhaul dapur yang dah lama ibarat tak berpenghuni. Masuk keluar dapur untuk buat air saja selama ni. Alhamdulillah, mungkin azam tu sangat kuat kali ni, maka siaplah dapur kami yang dah bersedia untuk dikerahkan sepanjang bulan puasa. Senyum panjang ke telinga setiap kali suami masuk dapur. Macam dapat dapur baru katanya. Saya pun sama, sikit-sikit pergi dapur.




Beginilah dapur kecil kami. Keluarga pun kecil saja, terasa cukup semuanya. Lapang hati saya setiap kali masuk dapur, nak masak pun hati jadi senang. Cuma silap saya tak sempat ambil gambar sebelum kemas. Kalau letak sebelah-menyebelah mesti lagi senang nak nampak berbezanya keadaan sebelum dan selepas. Betapa serabutnya dapur waktu dua-dua sibuk dengan kerja dan alhamdulillah sekarang saya lapang selama 3 bulan dan boleh fokus kepada hal-hal rumahtangga.





Masakan pertama selepas 2 bulan. Mee goreng dan sambal sotong petai. Tak senonoh sikit ambil gambar tengah dalam kuali lagi. Gambar ni saya hantar pada suami yang waktu tu tengah outstation di Istanbul, dengan ucapan, "nah my cooking after so long. Come back fast. Can't wait to cook for you"

Okey tiba-tiba terliur tengok gambar sambal sotong petai ni. Lagi 3 jam nak berbuka. Rasanya confirm dah esok ni menu berbuka seperti gambar di atas.