22 April 2014

Al-Fatihah buat Anakku

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

Pagi ini, Rabu 23 April 2014, dengan berat hatinya saya kembali semula ke tempat kerja. Ya Allah, terasa berselut bumi yang dipijak, lemahnya kaki mengatur langkah. Apatah lagi mengenangkan hari ini genap seminggu buah hati saya, Armand, pulang kepada Pencipta dan tinggalkan kami di dunia dengan tiba-tiba. Sangat tiba-tiba, tanpa sebarang tanda.

Ramai yang sudah tahu. Tapi di blog ini saya maklumkanlah sekali lagi. Buat pengetahuan, anak kedua saya, Mas Armand Saiff bin Mas Aidiff telah pulang ke rahmatullah pada minggu lepas, Rabu 16 April 2014, genap sebulan selepas kami pulang dari France. Perginya Armand pada usianya 94 hari, dalam jagaan pengasuhnya Hana, yang telah saya amanahkan. Takdir Allah mengkehendaki, tiada seorang pun tahu pukul berapa dan bagaimana jiwa Armand dijemput pulang kepada Allah oleh malaikat Izrael. Ketika ditemui jam 11 pagi, Armand sudah kaku tak bernyawa.

Sampai ke hari ni, saya masih dalam keadaan terpana. Seolah-olah kepala dipukul oleh gendang yang sangat kuat, dengungannya buat saya tenggelam dan timbul dalam realiti. Kadang-kadang hati terasa kuat dan tabah, adakala terasa sangat-sangat lemah. Masih cuba menerima hakikat bahawa Armand yang setiap hari saya peluk, cium dan susukan dah tak ada lagi di sisi saya. Takkan dapat lagi saya cium pipinya di dunia. Tak mungkin lagi untuk kelihatan wajah manjanya yang baru pandai mengukir senyum manis buat kami. Semua itu dah menjadi mustahil untuk saya harapkan di dunia. Cuma di akhirat, di syurga sajalah yang tinggal untuk saya harapkan pertemuan dengan Armand.

Inilah kali pertama saya merasa sangat-sangat dekat dengan kematian. Sebelum ni, seumur hidup, tak pernah sekalipun saya berhadapan dengan kematian. Yang paling dekat adalah kematian tok ayah saya di Kelantan, 13 tahun lepas. Waktu tu saya baru 14 tahun, baru nak menginjak dewasa. Jiwa masih belum sensitif akan hal-hal begini. Tak sangka, pengalaman pertama berdepan dengan kematian Allah takdirkan pada saya adalah dengan anak kandung sendiri. Masih jelas lagi dalam ingatan sewaktu saya meriba Armand yang telah tak bernyawa, kaku dalam pelukan saya, dalam perjalanan ke hospital Ampang Rabu lepas. Waktu itu, tamparlah pipi seribu kalipun, tidur dan bangun berkali-kalipun, masih sukar untuk saya percaya dengan minda yang sedar, bahawa anak yang sedang tak bernyawa itu adalah anak yang saya kandung dan lahirkan ke dunia.

Sangat perit menanggung rindu buatmu Armand. Rindu ini akan saya tanggung sampai mati. Tapi rasa rindu inilah yang akan terus mengingatkan saya bahawa Armand sedang menanti di syurga. Mujur masih ada 3 pasang baju Armand yang masih melekat kuat bau badannya. Saya asingkan dan tak akan basuh sampai bila-bila. Itu sajalah yang tinggal untuk kami. Kali pertama pulang ke rumah sewa kami hari Sabtu lepas Armand pergi, saya terus meluru ke bakul baju mencari semula baju terakhir Armand yang belum dibasuh. Saya cium dan temui bau Armand. Luluh semula hati saya yang sedang cuba untuk tabah. Terketar-ketar saya menangis memanggil-manggil nama Armand berulang kali. Kalau bukan suami yang sedang memeluk kuat, memang saya sudah jatuh rebah tak berdaya menanggung sedih dan rindu. Longlai rasa lutut, sepertimana saya rasa sewaktu tiba di perkarangan hospital Ampang, sambil memeluk tubuh Armand yang sudah kaku.

Syukur tak terhingga pada Allah yang meminjamkan kami seorang ahli syurga yang amat dikasihiNya. Walaupun 3 bulan, tapi kenangan dan saat-saat bersama Armand akan kekal sampai saya mati. Syukur pada Allah kerana memilih kami untuk diuji sebegini. Tak sangka, dalam keadaan kami yang sangat lalai dan leka dengan nikmat dunia, solat hujung-hujung waktu, doa lepas solat pun cuma sekadar di bibir dan tak bersungguh, rupanya Allah tak tinggalkan kami. Rupanya selama ini Allah memerhati. Bertuahnya rasa diri, kerana dipilih untuk mengandungkan dan melahirkan seorang penghuni syurga dari rahim sendiri. Kalau mengenangkan kejahilan dan kelalaian diri, siapalah saya untuk mengharapkan syurga. Langsung tak layak. Tapi sekarang, saya terasa ujian ini sebagai hadiah dari Tuhan. Untuk dia janjikan syurga kalau saya bersabar dan redha. Bukan mudah.

Alhamdulillah, makin hari saya rasa makin kuat. Setiap kali terpandang tempat Armand selalu baring atas katil kami, hati saya berbisik, ‘Armand masih ada. Armand ada dengan Allah. Jangan sedih. Armand selamat dan bahagia di sana.’ Saya sangat hargai setiap doa dan kata-kata semangat yang banyak saya terima di FB dan Whatsapp. Hampir kesemuanya menyebut syurga dan setiap kali itulah saya aminkan doa itu, semoga kami disatukan dalam syurga Allah nanti. Kepada mereka yang menghadiahkan saya dengan mesej-mesej begitu, please know that saya sangat berterima kasih kerana kata-kata kalian sangat membantu memujuk hati saya yang sangat sedih dan rindukan Armand. Saya akan balas personally satu-persatu bila ada kelapangan.

Walaupun masih sedih, saya percaya Armand pergi dengan meninggalkan banyak hikmah dan kebaikan buat kami sekeluarga. Sangatlah tak pernah saya sangka, selama ini saya sedang menjaga dan mengasuh seorang ahli syurga yang amat suci. Mesti Allah sangat sayang dan rindukan Armand, maka dipanggil semula Armand pulang. Kalau begini perasaan sayang dan rindu seorang ibu kepada anak, macamanalah kasih sayang Allah pada dia. Sangat tak terbayangkan oleh akal manusia. Untuk kuatkan diri, setiap saat saya ulangkan pada diri, betapa saya patut bersyukur kerana sekarang Armand sudah bahagia dan selamat di sisi Allah. Armand tak akan menangis lapar lagi. Tak akan rimas dengan pampers yang lambat bertukar lagi. Armand mesti sedang nyenyak tidur dan sentiasa senyum. Armand sedang dijaga dalam sebaik-baik asuhan, di tempat yang terbaik. Tenanglah hati, redhalah hati, demi Allah yang Maha Memiliki, saya relakan Armand pergi.

Di saat ini, saya cuma mahu meneruskan kehidupan dengan sebaik-baiknya, walaupun dalam hati ini akan tinggal lompong yang kekal sampai saya mati. Buat sementara waktu, saya masih takut untuk merancang apa-apa. Allah ambil Armand di saat saya sedang asyik merangka perancangan buat kami sekeluarga. Saya rasa cukup sempurna dengan adanya 2 orang cahayamata. Macam-macam yang selalu saya bincangkan dengan suami. Lepas ini mahu kerja 3-4 tahun, kemudian kita sambung belajar di France semula. Waktu tu kita tambah anak lagi seorang. Lepas tu kita tutup kilang. Maka sempurnalah keluarga kecil kami, kerana kami memang berhajatkan anak 3 orang saja.

Terlupa. Sangat terlupa bahawa dalam keasyikan kami merancang, ada Allah yang Maha Menentukan dan sebaik-baik Perancang. Pemergian Armand menyentak hati kami, terus kami jatuh terduduk ke tanah semula. Barulah tersedar, selama ini kami langsung lupakan Allah dan akhirat dalam setiap rancangan dan impian. Terasa cukup dan sempurna dengan nikmat keluarga, sehingga hilang rasa mengharap dan mahu meminta pada Allah. Sekarang ini, seolah-olah Allah menempelak kami, ‘Nah, apa pula perancangan kau sekarang?’

Allah Maha Baik. Tak ada sesuatu pun yang Dia jadikan sia-sia. Bila Allah ambil anak kami Armand, hati ini seolah-olah sudah diikat dengan akhirat. Semoga simpulan itu takkan terlerai lagi sampai kami pula yang pulang kepada Dia. Sekarang ini, hanya syurga yang kami mahukan. Hanya syurga yang menjadi motivasi hidup kami di dunia. Sebab hanya di syurga kami dapat bertemu Armand semula, dan hidup kekal bahagia sekeluarga, seperti apa yang kami impikan sebelum ini. Kalau inilah caranya untuk kami sentiasa ingat Allah dan sedar bahawa bahagia di dunia ini hanya sementara, kami akur dengan kehendak dan ketentuanNya.

Ramai yang bertanya apa yang sebenarnya berlaku. Banyak juga fakta yang kurang tepat yang tersebar. Saya mohon ditangguhkan cerita itu sampai saya betul-betul dapat tenang dan lapang hati. Mungkin memerlukan beberapa hari lagi. Saya akan cerita, memang akan diabadikan kisahnya di sini. Ini janji saya. Tapi sebelum saya ceritakan hal sebenar, mohon juga janganlah dibuat apa-apa spekulasi yang tidak baik tentang pemergian Armand. Memang Armand pergi dalam jagaan pengasuhnya Hana, tapi naluri saya meyakini bukan salah Hana. Malah hari ini, saya dan suami, dengan restu orang tua kami, setuju untuk terus menghantar Aliff bersama Hana. Saya yakin Allah telah temukan kami dengan seorang pengasuh yang baik buat anak-anak saya. Cuma kehendak Allah mengatasi segalanya. Nantilah saya cerita ya.

Buat anakku Mas Armand Saiff, si kunang-kunang syurga,
Ibu dan abah redha Armand pulang kepada Allah,
Ampunkan salah dan silap ibu selama setahun Armand bersama ibu,
Ibu bersyukur memiliki anugerah terindah sepertimu,
Walau sementara cuma,
Kenangan bersama Armand menjadi penguat ibu selama-lamanya.

Tunggu ibu, abah dan abang Aliff di syurga Allah ya sayang,
Bantu kami di akhirat nanti sayang,
Ibu akan sabar menanti saat itu,
Saat bertemu semula dengan Armand,
Berbahagialah wahai anakku bersama Allah,
Sesungguhnya Dialah sebaik-baik pelindung dan penjaga buatmu.

Al-Fatihah untukmu sayang,
Kekallah Armand hidup di hati ibu,
Hingga bertemu di pintu syurga wahai anakku,
Amin Ya Rabbal Alamin..

Dalam kenangan..
13 Januari 2014 - 16 April 2014