14 September 2014

The final push

Assalamualaikum wbt.

Tiba juga 13 September 2014 yang amat dinanti-nantikan sejak berbulan lalu. Hari saya dijadualkan tiba di bumi Malaysia dari Perancis dengan status baru. Masih pulang sebagai isteri dan ibu kepada 2 cahaya mata seperti pada bulan Mac lepas, cuma kali ni, bukan lagi sebagai student. I am no longer a student! Sangat susah untuk diri sendiri percaya statement ini tetapi itulah hakikatnya. Alhamdulillah dunia sebagai pelajar telah berakhir pada 10 September 2014 dengan gilang gemilang dan seperti yang dirancang. Syukur pada Allah yang telah merestui perancangan saya malah memberikan hasil yang jauh lebih hebat dari jangkaan.

Rancangnya bila tiba di KLIA saya akan ambil KLIA Ekspress ke KL Sentral di mana Abgmas dan Aliff akan tunggu di sana. Masih pagi sangat untuk susah payah angkut Aliff yang masih tidur semata-mata mahu ambil saya di KLIA. Tapi bila keluar di pintu ketibaan, dah nampak Abgmas melambai sambil Aliff masih mamai2 di atas stroller. Ahah, ada orang nak buat surprise rupanya! Padahal Abgmas yang beria-ia suruh saya ambil KLIA Ekspress. Surprise menjadi, memang saya tak sangka. Berlari saya mahu peluk Abgmas dan Aliff yang saya tinggalkan genap 16 hari. Ucapan tahniah yang suami bisikkan cukup bermakna. Sangat-sangat bermakna, walaupun tanpa hadiah atau sejambak bunga.


Nampak Aliff rindu sangat kan?
Sebenarnya Aliff agak merajuk dengan saya waktu saya mula-mula dukung dan peluk dia.
Mungkin sebab ini kali pertama saya tinggalkan dia dengan sangat lama.


Proses memujuk buah hatiku Aliff yang alhamdulillah sangat mudah.
Merajuk-merajuk pun bukan main kuat dia peluk bahu saya.


Allah saja yang tahu macamana lapang dan leganya hati saya sekarang. Mengenang kembali beberapa bulan yang lepas sewaktu saya sedang dalam tempoh praktikal untuk menamatkan Master, sudah 3 kali saya menangis hampir putus asa dan mahu abandon saja semuanya. Terlalu sukar untuk saya teruskan kerja di tempat praktikal, sebab di situ saya kehilangan Armand, dan waktu praktikal juga Armand tinggalkan saya dengan tiba-tiba. Dah tak terbilang dengan jari betapa banyak kalinya saya mengadap komputer sambil buat kerja tapi airmata mengalir-ngalir. Prestasi kerja merosot tanpa perlu saya explain lagi kenapa. Ditambah dengan Aliff yang banyak kali jatuh sakit (setiap 2 minggu) selepas adiknya meninggal, dan saya perlu ambil off berhari-hari. Akhirnya saya dipanggil Manager yang menyatakan ketidakpuasan hati nya pada prestasi kehadiran saya. Memang, boss mana yang suka kalau kita baru saja masuk kerja kemudian ambil cuti banyak hari. Apatah lagi sebagai budak praktikal saja, walaupun dah tak budak sangat sebenarnya.

Waktu tu saya surrender, saya kata pada Manager, it's ok, saya abandon saja praktikal ni. Saya tak mahu korbankan Aliff dan kesihatannya semata-mata mahu meneruskan misi saya untuk tamatkan studies. Bayangkan sukarnya situasi waktu tu, tak sampai 2 bulan kehilangan anak, dan saya dihadapkan dengan pilihan untuk memilih samada kerja atau anak. Dah tentu-tentunya saya pilih anak dan tak perlu dijelaskan lagi kenapa. No way saya nak teruskan semua ni kalau perlu korbankan Aliff! Saya admit, waktu tu saya emosi. Tapi alhamdulillah masih ada ruang untuk rasional. Akhirnya saya tarik balik kata saya untuk berhenti, dan mahu teruskan hingga selesai seperti dalam kontrak.

Apa yang buat saya ubah fikiran, cuma 3 perkara. Tiga perkara ini yang betul-betul motivate saya untuk habiskan praktikal dengan sehabis baik yang mampu saya lakukan, dengan segala sumber yang saya ada.

Pertama, saya fikirkan kontrak saya dengan JPA. Sudah 9 tahun saya menerima biasiswa kerajaan untuk belajar di sana dan sekarang, despite segala cabaran dan kesusahan bertahun-tahun dahulu, I've made it to my final year of Master. To abandon my internship means I will abandon my Master studies which I was doing very good in terms of results alhamdulillah. Memang rasanya kalau saya quit, tak ada siapa berhak marah dan pertikaikan keputusan saya sebab tak ada siapa mampu menanggung peritnya kehilangan anak di saat-saat genting ni. Tapi memikirkan jumlah yang saya perlu berhutang dan bayar pada JPA untuk biayaan selama 9 tahun yang tak dapat disempurnakan akhirnya, buat emosional saya hilang dan berganti rasional. Kalau ada kalkulator di tangan boleh kira sendiri : RM 4000 (elaun) x 12 (bulan) x 9 (tahun). Entah-entah sampai dah bercucu pun saya masih tak habis bayar.

Kedua, bila saya abandon Master, maknanya results Master tahun pertama saya sudah tak valid dan tak boleh dijual, walaupun results itu sangat bernilai sebab saya dapat keputusan terbaik keseluruhan dan mendapat title the highest scorer. Maknanya juga, yang tinggal adalah bachelor degree sebagai kelayakan untuk saya jual bagi mendapat kerja. Results degree saya adalah complete opposite results Master saya. Dan saya tak sanggup menebalkan muka menghadiri temuduga dengan keputusan yang mediocre itu. Untuk tinggal di rumah menjadi stay-at-home-mom (SAHM) adalah sangat jauh dari fikiran sebab sampai sekarang pun saya tak berjaya visualise diri sendiri menjadi SAHM. Tabik hormat buat semua SAHM di luar sana yang sedang membaca, saya yakin Allah menciptakan setiap diri kita dengan kemampuan dan kecenderungan yang berbeza. Dan setakat yang saya kenal dengan diri sendiri, saya yakin saya perlu keluar rumah untuk mengekalkan kewarasan diri. Wallahu'alam, apa-apa pun Allah lebih tahu.

Ketiga, dan yang ini motivasi terkuat dan terbesar, sebab saya fikirkan Armand. Bila fikir dari sudut pendek akal, kalau saya berhenti praktikal ini, seolah-olah saya rasa Armand pergi dengan sia-sia. Saya tahu kita semua kena fikir dengan panjang akal dan tak boleh sama sekali fikir macamtu. Hakikatnya sampai ke hari ini keyakinan saya bertambah kuat yang Armand pergi tidak sia-sia dan tepat pada masanya yang telah Allah takdirkan. Cuma saya lecture diri sendiri, saya kata, kalau nak berhenti, lebih baik saya daripada awal tak payah buat praktikal ni. Lebih baik abandon dari awal dan duduk rumah jaga Armand dan Aliff. Entah-entah Armand masih lagi ada dengan saya sekarang. Dan kalau Armand perlu pergi sekalipun pada 16 April itu, sekurang-kurangnya saya ada 2 minggu ekstra dengan Armand. Sedangkan kalau diberi peluang sekarang ini untuk membeli sejam bersama Armand pun saya sanggup bayar berjuta, apatah lagi untuk membeli 2 minggu ekstra itu. Tak terbanding nilainya dengan segala praktikal di tempat terhebat dan keputusan Master yang cemerlang dan apa-apa saja.

Kepada yang sedang membaca, tolong jangan amalkan reasoning seperti ini. Takut menjejaskan iman kepada qada' dan qadar Allah. Ini adalah reasoning saya sewaktu saya emosional dahulu. Untuk diambil sebagai sempadan.

Dan Alhamdulillah, sekarang semuanya sudah selesai. Saya pulang ke Perancis pada 27 Ogos 2014 seorang diri berbekalkan kekuatan dan semangat dari semua. Dengan keyakinan yang melangit pada Allah dan kemampuan diri sendiri, satu persatu peperiksaan semester pertama sebanyak 14 subjek yang tak dapat saya ambil pada Januari tahun ini kerana melahirkan si kunang-kunang syurga Armand, berjaya saya lalui dengan sepenuh tumpuan dan sebaiknya sepanjang tempoh 2 minggu tersebut. Setinggi-tinggi syukur kepada Allah yang membekalkan kekuatan kepada saya setiap hari dalam setiap langkah dan sekecil-kecil tindakan yang membawa kepada kejayaan hari ini.

Dengan izin Allah, presentation viva Master saya yang saya persembahkan pada Rabu 10 september baru ini adalah presentation terbaik yang pernah saya lakukan sepanjang 9 tahun bergelar pelajar di Perancis. Allah menghilangkan segala rasa takut, nervous dan gementar walaupun ada sedikit masalah teknikal pada minit-minit pertama (projektor tiba-tiba buat hal). I firmly held my faith in Him and He has gracefully brought me throughout that 20 minutes which ended up with compliments from the Jury. And as a result, I obtained the second highest mark in that presentation with 18.5/20. Yes, the best presentation mark in all these years and thus all praises is only due to the Most High and the Bestower of Honours.

Sebaik tamat presentation saya.
Bersama secretary yang menguruskan segala hal-hal admin dalam Master studies saya.


Saya memang dah janji dengan diri sendiri, apa-apa pun, saya tak akan menangis. Saat menutup pintu kelas kali terakhir, saat berjalan meninggalkan universiti dan memandangnya buat kali terakhir, saya berjaya tahan airmata daripada berlinang. At that very moment, I kept repeating to myself, this is life, life is a journey, and my journey as student ends today. My journey in France will end in next few days and my life will embark on another exciting yet challenging journey. Don't dwell on what has passed or has just passed, don't hold on to memories because it is not mine anymore. Move on. Move on. And as a matter of fact, the pain of leaving this place that I love is nothing compared to the pain of watching my baby leave on 16th April 2014. I've gone through the hardest times and the deepest pain. So now, there's no reason to be sad, at all.

Tapi bila terbaca comment ini di salah satu status FB saya telah menggagalkan misi saya untuk tak mahu menangis.



Airmata gugur juga malah mengalir dengan sangat laju membaca luahan kata mak dan bapak saya. Waktu itu saya tengah berjalan di tengah bandar untuk membeli sedikit souvenir untuk family. Cepat-cepat terpaksa berhenti menyorok di balik sudut-sudut tepi kedai yang tersembunyi untuk biarkan semua airmata yang perlu mengalir keluar. Baru teringat semula semua kepahitan dan dugaan yang saya lalui selama 9 tahun ini. Bercakap tentang challenges, selain suami saya yang menjadi pendengar setia sejak hari pertama saya di Perancis, merekalah yang sangat tahu tentang semua cerita yang terlipat dalam sejarah 9 tahun ini. Mereka yang tahu, bukan sekali saya pernah gagal, bukan juga 2 kali. Mereka juga yang tahu, bukan sekali dua ataupun tiga saya menangis kerana study engineering di Perancis terlalu susah dan apatah lagi dengan cabaran menjadi seorang saja pelajar muslim bertudung dalam kalangan 120 orang pelajar. Dan hari ini melihat mereka tersenyum bangga, sungguh tak terbanding perasaannya. Betul cakap seorang classmate Master saya yang turut menangis bila membaca message tahniah dari ibunya di Algeria, "Tak ada yang lebih mengharukan daripada melihat kegembiraan dan kebanggaan mak ayah kita, kan?"

Semua kisah kegagalan, kejayaan dan liku-liku cabaran sebagai pelajar di Perancis selama 9 tahun masih tersimpan kemas dalam hati dan ingatan saya. Kenangan menjadi pelajar terbaik, menjadi pelajar tercorot, mendapat pujian melambung dari cikgu, dan dimarahi depan-depan kelas kerana teruknya markah exam, hanya saya dan Allah yang tahu, dan saya minta semoga Allah izinkan untuk saya mengingati semua ini selama-lama yang boleh. Mungkin satu hari nanti, bila muka dah cukup tebal, saya akan ceritakan di sini buat sempadan sesiapa yang bergelar pelajar. Tapi buat masa ini, cukuplah kalau saya katakan, saya tak berbangga pun untuk memberitahu yang hari ini saya sudah menamatkan 9 tahun pengajian di Perancis dengan dua tahun extension dan beberapa siri kegagalan dan kejayaan bersilih ganti. Sumpah demi Allah, saya masih sangat malu dengan cerita dulu-dulu itu, walau apa pun keadaan saya hari ini.

Selama ini orang cakap saya pelajar excellent. Tambah-tambah lagi bila jumpa kawan-kawan dan adik-adik dari sekolah yang sama. Setiap kali saya mendapat pujian begitu (yang saya rasa tak layak dan tak applicable pun untuk konteks saya sekarang), saya cuma aminkan semoga benar menjadi kenyataan dan akan gelak dalam hati. "Haha, mereka tak tahu cerita sebenar." Allah sedang menutup keaiban saya. Kalaulah mereka tahu, bahawa fasa excellence saya telah berhenti pada umur saya 20 tahun, sewaktu tamat tempoh persediaan di Perancis dan mahu memasuki tahun bachelor degree. Dan fasa excellence itu telah berganti dengan fasa turbulence, dengan sangat lama, yakni 5 tahun. Waktu tu saya rasa dah tak ada jalan keluar. Seolah-olah satu-satunya jalan yang tinggal adalah tinggalkan Perancis dan mulakan hidup baru di Malaysia. Saya cukup tak suka dengan apa yang saya belajar dan keadaan hidup saya waktu tu. Dan kerunsingan ini memuncak bila saya menerima amaran akan dihantar pulang ke Malaysia sebagai pelajar yang gagal sekiranya tahun itu saya tetap gagal. Saya tak kisah diberi amaran begitu sebab saya fikir memang patut padan muka saya pun waktu tu. Cuma agak terkilan sebab amaran itu bukan daripada JPA yang membiayai saya. Ada pihak yang cuba menokok tambah cerita. Mujur saya cepat bertindak dan terus berhubung dengan pegawai JPA di Putrajaya untuk mengesahkan semua ini.

Tapi tak kisahlah. Itu semua cerita lama. Kisah 4 tahun yang lepas.


Sudut revision dan preparation saya di Perancis baru-baru ini.
Selama-lamanya saya terhutang budi pada pemilik rumah dan bilik ini yang memudahkan segala urusan saya.
Semoga Allah membalas dengan sebaik-baik ganjaran atas kemurahan hati mereka.


Dan satu lagi hikmah yang saya dapat singkap di sebalik keberadaan saya di Perancis selama 2 minggu yang baru saja lepas ini, bilamana kali ini saya tinggalkan bumi Perancis kerana saya benar-benar mahu dan bersedia meninggalkannya. Sebelum ini hati saya cukup terikat dengan France, dan ramai yang tahu macamana minatnya saya dengan bahasa dan tempat ini malah bercita-cita untuk belajar di sini sejak saya 13 tahun. Hari ini, 14 tahun berlalu, saya bersyukur kerana di saat kapal terbang meluncur laju meninggalkan jejaknya dari tanah Perancis, saya dikuatkan hati untuk tak menangis malah tersenyum memandang bumi yang semakin jauh dari pandangan saya. Demi Allah, saya masih cinta dan sayangkan tempat ini, dan saya masih mahu mengulangi lagi episod kehidupan di sini. Tapi hari ini saya berazam, dalam masa beberapa tahun, dengan restu dan izin Allah, akan saya alih bumi Perancis dari hati saya dan letakkannya dalam genggaman tangan saya kuat-kuat. Supaya hati ini tak perlu lagi terikat dengan mana-mana lapangan di dunia. Dan supaya kecintaan saya padanya menjadi jalan syurga buat saya bersatu bersama suami dan anak-anak saya di syurga nanti.

Bagaimana caranya? Saya pun tak tahu. Sebagaimana saya juga buntu, keliru dan tak tahu pada beberapa tahun lepas bagaimana caranya saya mahu menamatkan studies di Perancis ini dengan berjaya tanpa memalukan siapa-siapa. Tapi Allah tunjukkan jalan satu demi satu, hari demi hari. Dan saya masih percaya pada Kuasa dan Kekuasaan yang sama. Saya serahkan pada Allah, dan teramat yakin Dia akan tunjukkan jalannya untuk saya capai misi ini, selagi usia masih ada.

Alhamdulillah, 9 tahun berakhir walaupun dalam serba tidak gemilang. Tiada majlis konvokesyen untuk rakamkan kenangan saya memakai jubah dipeluk suami, anak dan mak bapak, apatah lagi mahu membaling topi ke udara. Tiada juga sesiapa yang menghantar di airport untuk penerbangan terakhir Paris-Kuala Lumpur yang saya lakukan sebagai pelajar.

Tapi Allah sajalah yang tahu bagaimana gilang-gemilangnya semua ini berakhir di dalam hati saya, dengan mendapat keputusan terbaik keseluruhan, dan satu tawaran bekerja di Perancis yang terpaksa dibiarkan pergi.

Tak apalah. Saya percaya rezeki Allah sudah ditabur subur dan melata di serata buminya. 
Buat masa ini Allah telah tunjukkan rezeki saya di Malaysia.
Dan saya yakin ada berjuta pelajaran yang tersedia menanti dalam kehidupan baru saya di Malaysia.
Kehidupan baru sebagai seorang pekerja yang akan bermula pada Rabu ini, 17 September 2014, genap usia Aliff 2 tahun 6 bulan.

Dan harapnya, semoga pekerjaan pertama ini menjadi penyambung jalan syurga yang telah dimulakan oleh si kunang-kunang syurga Armand buat kami sekeluarga.

Terima kasih kepada semua yang menjadi kekuatan kepada saya selama 9 tahun ini.  Terima kasih tak terhingga buat suami tercinta yang berhempas pulas melakukan yang terbaik dalam menjaga Aliff tersayang sepanjang 2 minggu saya ke Perancis untuk melakukan the final push dalam perjuangan sebagai pelajar. Dan buat Armand, saya harap Armand di sana sudah tahu, dan Allah sudah sampaikan berita pada Armand, bahawa ibunya yang masih pedih merinduinya setiap masa di sini sudah pun tamat perjuangan di bumi dia dilahirkan, dan tidak menyia-nyiakan sedikit pun perpisahan dengannya di dunia ini. Alhamdulillah, kerinduan yang tak pernah surut satu saat pun inilah yang menjadi obor pembakar semangat untuk saya teruskan setiap langkah hidup dengan selapang-lapang dada dan semangat yang super-optimis dengan masa depan.

Antara adik-adik yang akan menamatkan Master mereka di Besancon tahun hadapan.
Dari jauh mendoakan kejayaan yang gilang gemilang buat mereka, insha Allah.

27 May 2014

Sebelum dan selepas Armand pergi

'There's no tragedy in life like the death of a child. Things never get back to the way they were.' 
- Dwight D. Eisenhower

Tahun lepas pada tarikh ini, 28 Mei, saya menangis kesyukuran dalam bath tub bilik mandi selepas discover saya pregnant untuk kali kedua. Hari ini Rabu 28 Mei, genaplah 42 hari atau 6 minggu anak yang dikandung dan ditatang penuh kasih itu terpaksa saya lepaskan untuk pulang kepada Allah.

Terlalu banyak hikmah yang hadir bersama ujian ini. Kerana inilah saya akan terus menulis. Untuk dikongsi segala kebaikan yang saya dapat melalui pemergian Armand. Perginya anak syurga saya secara tiba-tiba takkan saya biarkan jadi sia-sia. Rasanya selepas ini seluruh blog ini ingin saya dedikasikan buat Armand. Untuk diabadikan semua kenangan-kenangan manis dan kisah suka duka yang sempat dilalui bersama sepanjang 3 bulan. Dan gambar-gambar Armand yang suka untuk saya kongsikan. Rasa macam mahu beritahu satu dunia, lihatlah anak syurga ini. Terlalu indah kan?
                                            
Dalam flight balik Malaysia bulan Mac lepas.
Tengok gambar ni buat saya rasa sayu sangat.
Wajah tenangnya sangat seiras seperti yang saya lihat sewaktu Armand telah dikafankan.


Kalau sekilas dinilai, perpisahan saya dengan Armand ini adalah perkara terburuk yang pernah terjadi sepanjang hidup saya. Yang tak pernah diingini oleh mana-mana ibu atau sesiapa saja. Tapi Allah mahukannya terjadi. Dan harus saya katakan, walaupun ini perkara paling buruk dan yang paling saya tak ingini berlaku, tapi sangat banyak perkara-perkara terbaik yang terjadi satu demi satu selepas Armand pergi. 

Sikit-sikit saya dikelilingi oleh kawan-kawan baru yang ikhlas mendoakan saya sekeluarga. Yang tumpang sayang pada Armand walau tak pernah melihat dan berjumpa depan mata. Bila dijumlahkan, beribu-ribu mesej dan doa saya terima di blog, Facebook, Instagram, SMS. Itu belum dikira mereka yang mendoakan senyap-senyap. Masya Allah, betapa besarnya rahmat datang bersama dengan hadiah istimewa ini.

Saya speechless sangat membaca setiap komen dan message yang saya terima. Dan sampai sekarang, saya belum habis reply lagi. Harap jangan berkecil hati ya. Kalau boleh saya nak reply dengan message yang personnalised juga. Bukan setakat seringkas terima kasih saja. Macamana orang ambil masa untuk tulis dan memujuk dari hati, macam itu juga saya mahu berterima kasih benar-benar dari hati.

Juga kepada kalian yang sudi berkongsi cerita dan duka pada setiap tulisan saya. Allah sajalah yang dapat berikan sebaik-baik balasan atas bantuan kalian dalam meredakan kesedihan di hati saya. Ucapan terima kasih seribu kalipun takkan pernah cukup untuk menggambarkan betapa saya amat menghargai setiap perkongsian yang diterima. Kepada jiwa-jiwa yang diuji, saya jemput bacalah setiap komen yang ada pada entri saya sebelum ini. Satu treasure sebenarnya, sangat mujarab untuk merawat luka. Melihat dan membaca tentang ujian orang lain akan mengusir kesedihan dan keluhan yang selalu mahu bertandang di hati. 

                            
                           
                                           Tinggal bertiga di dunia. Satu sudah di syurga.
                                                                  Alhamdulillah.

Tanda-tanda pelik

Selalu bila ada orang meninggal, orang akan tanya kalau-kalau si arwah ada tunjukkan apa-apa tanda atau berkelakuan pelik beberapa hari sebelum dia pergi. Saya dari dulu tak percaya pada kefahaman tanda-tanda pelik ni, dan selalunya tak berminat untuk layan dan ambil tahu. Ustaz Zaharuddin pun pernah tulis di FBnya, ini satu kepercayaan mengarut yang sangat perlu dibuang dari kalangan kita.

Macam dalam kes Armand ni, memang tak ada langsung pun tanda-tanda pelik Armand atau apa-apa yang luar dari kebiasaan. Dia minum susu macam biasa. Baik dan behave sangat walau dibawa ke mana-mana. Sebagai ibu yang mengandung dan melahirkan Armand, saya pun tak diberi gerak hati atau rasa tak sedap yang anak saya akan pergi sekelip mata. Macam tak logik kan. Selalunya apa-apa yang bakal terjadi pada anak, si ibu yang akan dapat rasa dahulu.

Tanda-tanda pelik memang tak ada. Tapi bila diimbas dan difikir kembali rentetan hidup dan kelakuan saya sepanjang mengandung dan menjaga Armand, baru nampak bahawa dah lama rupanya Allah mempersiapkan saya untuk menghadapi ujian kematian anak ini. Sungguh saya tak sangka. Ucapan dan gerak hati yang saya rasa sangat biasa saja, rupanya salah satu latihan untuk saya semakin kuat dan bersedia.

Persiapan hati

Di sini saya akan kongsikan bagaimana Allah mempersiapkan hati saya dalam keadaan saya langsung tak menyedarinya. 

Pertama sekali, sejak awal-awal tahu saya mengandungkan Armand, saya dah mula tak senang duduk memikirkan tentang pengasuh Armand. Perkara pertama yang selalu orang perempuan buat selepas dapat tahu berita kehamilan selalunya adalah mengira tarikh dijangka bersalin. Dan bila saya kira, Armand dijangka lahir ke dunia hujung Januari 2014. Memandangkan saya masih dalam tahun akhir pengajian untuk dapatkan Master di Perancis, saya amat sedar bahawa beberapa bulan selepas kelahiran Armand, saya perlu dan wajib jalani latihan industri atau praktikal. 

Siapa nak jaga Armand?

Kerisauan yang saya rasa bukan di tahap biasa. Sampai termenung di meja makan, di bilik tidur, tak putus memikirkan dengan siapa saya boleh senang hati pergi kerja dan tinggalkan Armand. Yang menjadi kerisauan sangat adalah sebab saya perlu jalani praktikal di Malaysia. Suami sudah habis Master dan perlu sambung kerja. Kalau saya boleh praktikal di France, hilanglah segala kerisauan ni sebab saya tahu hal penjagaan bayi dan kanak-kanak di France sangatlah established dan bersistem. Ada juga beberapa kali saya usulkan pada suami, macamana kalau saya praktikal di France? Tapi cadangan saya selalu tak dapat pergi jauh sebab balik-balik saya rasa, lebih baik di Malaysia juga. Tak sanggup rasanya nak duduk berjauhan dengan suami bila anak dah bertambah. Saya tak mahu mana-mana anak kekurangan kasih sayang ibu atau abahnya. Maka tak apalah, saya mengalah. Suami dah pun berkorban untuk keluarga sewaktu kelahiran Aliff dulu. Sekarang ini memang giliran saya.

Tapi siapa nak jaga Armand?

Semakin sarat kandungan, semakin dekat hari nak melahirkan, semakin saya sensitif dan emosional bila fikir tentang hal ni. Suami pula tak berapa risau, dia selalu cakap. Kita balik Malaysia nanti mesti Allah akan lorongkan jalan. Mesti kita dapat jumpa babysitter yang baik untuk Armand. Tapi saya tak percaya. Kadang-kadang dek terlalu emosional, saya bermasam muka dengan suami bila saya lihat dia tak risau macam saya dan tenang saja. Saya sangat tak sedap hati. Tambah pula waktu tu saban hari ada saja berita tak baik tentang kematian baby di taska atau babysitter. Sampai saya pernah luahkan pada suami, bila lihat dia tak risau tentang pengasuh Armand.

“Abang.. Malaysia bukan macam France.. Abang tahu tak banyak sangat kes budak meninggal dekat taska/babysitter sekarang ni.. Macam setiap hari ada kes Nini baca dekat FB. Macamana Nini tak risau....”
                                   
Memang, selepas Armand pergi, baru saya tersedar. Itupun suami yang sebutkan. Katanya, sepanjang saya mengandungkan Armand, saya cukup tersentuh dengan setiap berita yang melibatkan baby. Terutamanya tentang berita baby meninggal tersedak susu. Setiap kali baca tentang itu, memang saya akan berair mata dan ceritakan sungguh-sungguh pada suami. Demi Allah, waktu suami ingatkan balik pada saya tentang ni, meremang bulu roma. Sangat betul dan tepat apa yang dia katakan. Memang saya exceptionally sangat tersentuh hati dengan berita-berita begitu. Saya pun tak tahu kenapa, sedangkan sebelum ni saya taklah sensitif tahap macamtu.

Rupa-rupanya Allah sedang mempersiapkan hati saya.

Kerisauan saya surut sekejap selepas Armand lahir, dek terlalu happy dengan kurniaan Allah yang sihat dan sempurna. Masya Allah. Tambah pula waktu tu, Allah sajalah yang tahu macamana kalut dan sibuknya keadaan kami sekeluarga. Dengan saya nak final exam, nak packing barang satu rumah untuk balik Malaysia for good, nak berpantang lagi. Berpantang pula sendiri, hanya suami yang jaga pantang saya dan uruskan semuanya from A to Z. Kebetulan pula seminggu selepas Armand lahir, pengasuh Aliff ada masalah kesihatan dan tak dapat jaga Aliff lagi. Waktu tu, semuanya tergantung pada bahu suami. Dialah yang masakkan lauk-lauk pantang, dialah yang layan, jaga dan masakkan untuk Aliff, dialah yang uruskan rumah, dia jugalah yang bantu uruskan Armand. Seingat saya, sempat 3 kali suami demam kerana terlalu letih menguruskan semuanya. Semoga Allah merahmatimu sayang. Memang sampai mati pun saya tak dapat lupakan dan balas jasa dan pengorbanan yang suami lakukan sepanjang tempoh yang paling menggilakan itu.

Betul cakap suami. Alhamdulillah selepas balik Malaysia, dalam tempoh yang amat singkat, cuma seminggu selepas balik Malaysia, kami temui seorang pengasuh yang sangat baik. Yang saya dan suami kedua-duanya rasa tenang dan senang hati untuk tinggalkan Aliff dan Armand bersamanya. Tambah pula rumahnya dekat dengan tempat praktikal saya. Akhirnya hilanglah kerisauan saya.

Tiada yang akan kekal

Armand dijemput pulang kepada Allah pada pagi hari Rabu 16 April 2014. Hari sebelumnya, pagi hari selasa 15 April, saya ingat lagi, saya terbaca di Berita Harian di internet tentang tragedi sebuah van sekolah tergelincir masuk ke kolam loji kumbahan, dan seorang kanak-kanak meninggal. Mesti ramai yang boleh ingat tentang berita ni kan? Wallahi, saya terus menangis teresak-esak di meja office. Rasa sedih amat sangat sebab saya membayangkan saya berada di tempat ibu arwah kanak-kanak itu. Tanpa saya sangka, oh, siapalah yang mampu menyangka, esok saya akan dapat rasa perasaan yang sama.

Pada pagi yang sama juga, saya kongsikan satu link blog pada suami. Tentang cara bersabar dengan kerenah anak kecil. Saya hantar di emel pada suami, dengan satu pesanan yang ringkas saja,

Sayang, something to work on our sabar...
Kita jangan kasar sangat dengan Aliff ya abg.. Bila2 masa je Allah boleh ambil balik kalau Dia nak.:'(

Love you

Ini adalah copy-paste dari emel yang saya hantar pada suami pada pagi Selasa 15 April, tepat pukul 9.27 pagi.

Saya pun tak tahu. Allah gerakkan hati dan jari saya untuk tulis ayat itu. Mungkin sebab terkesan dengan berita yang baru saya baca, saya terus mahu ingatkan suami, bahawa anak ini Allah yang punya. Aliff dan Armand, bila-bila saja Allah boleh ambil semula.

Masih hari yang sama. Kali ini di sebelah petang. Selepas habis kerja, kami bawa Aliff dan Armand ke Klinik Shanaliza di Wangsa Maju. Hajatnya nak bawa Armand untuk check-up 3 bulan, tapi alih-alih hanya sempat periksa Aliff saja. Saya ada ceritakan di entri sebelum ini tentang Aliff demam hari Armand meninggal kan? Di klinik, suami sempat letakkan Armand di atas penimbang untuk timbang berat Armand. Alhamdulillah, berkembang dan membesar bagaikan johan. Berat Armand 6.6kg untuk 3 bulan. Suami cakap, waktu tu Armand senyum manis sangat-sangat. Mungkin Armand ingat suami nak bermain dengannya. Senyuman malam itu yang suami saya terkenang-kenang sampai sekarang. Sayangnya saya tak berpeluang lihat senyuman terakhir Armand tu kerana melayan Aliff di tempat bermain. Selepas itu, sepanjang dalam bilik doktor, Armand tertidur dengan sangat tenang dalam pelukan dan ribaan saya. Saya ingat lagi, saya tatap dan tenung Armand dalam-dalam. Saya cium dahi, pipi dan bibir Armand. Entah, tenang betul wajah Armand tidur malam itu. Benar-benar lain macam ketenangan yang terpapar di wajah anakku Armand.

                                     
Ketika check-up Armand 2 bulan, sebelum pulang ke Malaysia.


Selepas ke klinik, kami singgah di restoran yong tau foo untuk beli makan malam. Kebetulan di restoran itu ada tersedia surau. Kami solat maghrib terus di situ. Malam itu saya diselubungi rasa ketenangan yang luar biasa. Selesai suami solat, saya pula ke surau. Armand masih tidur dengan tenang dalam kereta. Di hujung solat itu, saya tergerak hati untuk lakukan sujud syukur. Dah lama rasanya saya tak lakukan sujud syukur. Dalam sujud itu, saya panjatkan setinggi kesyukuran dan pujian kepada Allah kerana melengkapkan hidup saya dengan kehadiran suami dan dua orang anak yang sangat sempurna. Dan sujud itu saya akhiri dengan doa ini,

‘Ya Allah, kekalkanlah mereka di sisiku, kerana aku tak mampu hidup tanpa mereka ya Allah.”

Terlupanya saya.
Tiada apa yang akan kekal di dunia ini. Tiada yang akan kekal melainkan Allah.

Saya tak perlu menunggu lama untuk disedarkan akan hakikat ini. 
Cuma esok paginya saja.

Berhenti mengharap simpati

Memang semuanya berubah selepas Armand pergi. Diri saya sendiri banyak yang lain.
Dulu saya cukup suka bersendiri. Sekarang saya lebih suka ditemani. Sebab saya rasa kuat dengan aura orang yang mengelilingi. Saya suka bercerita tentang Armand. Jangan takut atau risau nak tanya saya apa-apa tentang Armand. Alhamdulillah Allah selalu ringankan mulut saya untuk bercerita sambil senyum atau ketawa. Seolah-olah Armand tak jauh dan masih bersama saya.

Satu perkara yang saya amat suka, cukup suka setiap kali cerita tentang Armand, bila saya mendapat hadiah kata-kata begini yang cukup menyenangkan dan memujuk hati. 

"Alhamdulillah, saham akhirat tu."

"Tak apa, dia tunggu awak dekat sana."

"Dah ada seorang anak awak dalam syurga."

"Tak apa, banyak hikmahnya. Allah sayang sangat dekat awak."


                         
Armand jangan lupa abang Aliff tau..


                         
Armand tunggu Abang dekat syurga. Janji.


Tapi ada lagi satu perkara di luar jangka yang selalu terjadi bilamana saya bercerita tentang Armand. Selalunya akan terjadi bila bersembang dengan sesiapa yang tak dikenali secara rambang di mana-mana. Orang selalu akan bertanya,

"Anak berapa orang?" 
Atau "Anak seorang je ke?" bila melihat saya bermain dan melayan Aliff.

Dan saya selalu akan senyum dan pause sebelum jawab,
"Anak dua orang.. Tapi yang adiknya baru meninggal bulan lepas.."

-"Oh ye ke. Innalillah.. Samalah, anak akak pun meninggal jugak tahun lepas."

Bukan sedikit orang yang cakap begini. Maknanya bukan sedikit hamba Allah yang diuji dengan kematian anak kecil ni. Saya selalu rasa macam terpencil. Rasa macam kenapa Allah uji aku. Tapi hakikatnya Allah makin nampakkan depan mata. Ramai sebenarnya yang diuji. Malah diuji dengan lebih hebat. Tapi dia mampu bangun semula dengan lebih kuat dan bersemangat.

Percaya tak, ada satu minggu tu, hampir setiap hari kami ditemukan dengan mereka yang senasib diuji. Sampaikan saya cakap pada suami,

'Abang, kenapa tiba-tiba Nini rasa macam orang yang ada sekeliling kita ni semuanya kematian anak ye?'

Dan alhamdulillah, makin lama, pandangan hati semakin terbuka bila sekarang ramai yang ikhlas ingin bersahabat di FB atau di mana-mana. Dan antara mereka ini, ramai sebenarnya ibu-ibu yang turut memiliki kunang-kunang syurga atau yang jauh lebih hebat diuji. Melihat ibu-ibu tabah ini kuat dan positif meneruskan hidup buat saya terduduk malu mengenangkan betapa kerapnya saya merasa lemah dan sedih dengan takdir Allah ini. Terima kasih kepada mereka atas percikan kekuatan dan perkongsian semangat yang menyedarkan saya untuk banyak bersyukur dengan segala yang telah Allah tetapkan.

Syukur, kerana Armand pergi dalam keadaan tubuhnya sihat dan sempurna. Syukur, kerana Armand tidak pergi dalam keadaan sakit terseksa atau diseksa. Syukur, kerana saya tahu ke mana Armand pergi. Armand tidak hilang dan kuburnya ada untuk saya ziarahi.

Masih teringat lagi betapa saya memaknai dan menghayati sujud syukur saya kepada Allah pada malam sebelum Armand meninggal. Merelakan Armand pulang kepada Allah benar-benar menguji sejauh mana saya ikhlas dalam ucap syukur yang selalu terlafaz. Apakah saya akan terus dan tetap bersyukur bila diambil satu nikmat pinjaman yang amat saya sayangi. Dan masihkah saya mampu melihat dan mensyukuri berjuta nikmat lain yang masih dipinjamkan?

                                 
Alhamdulillah masih ada Aliff yang sangat menceriakan hati.
Alhamdulillah masih ada seorang lagi anak untuk dipeluk dan disayangi setiap hari.


Teringat kata-kata seorang ustaz yang saya dengar di TV tempoh hari.
Besar bezanya di sisi Allah antara seorang yang bersyukur bila dia ada semuanya, dengan seorang yang tetap bersyukur dalam keadaan ada dan tiada.

Pelajaran dari Allah tak pernah surut sehingga ke hari ini. Baru sekejap tadi saya selesai solat zohor di surau dan ditegur oleh seorang aunty yang dah lama bekerja di sini.

"Eh you ke yang anak meninggal tu?"
-"Ya aunty. Saya."
"Alhamdulillah awak dah ada yang tunggu di sana. Aunty ni takda siapa.." Dan dia terus sebak. Matanya merah bergenang airmata.

Sumpah, saya kelu tak ada kata-kata. Ya Allah, saya tak tahu apakah ucapan terbaik yang boleh saya hadiahkan pada makcik ini. Saya terdiam bingung, betul-betul tersentak. Saya ingin katakan sesuatu tapi takut tak sesuai, kerana saya tak tahu kisah hidupnya. Bimbang lebih menambah sedih di hatinya. Ya Allah, tak pernah Allah biarkan saya sekelu itu bila bercakap dengan orang. Tapi tadi saya betul-betul kelihatan bodoh, tiada kata-kata, cuma mampu memandang sejadah. Sangat-sangat tersentak dengan ucap katanya yang cukup candid dan sebak yang ditahannya.

Dah selalu sangat jadi macamni. Dan saya akan termalu sendiri.

Kadang-kadang, kita rasa suka sangat mengharap belas dan simpati bila ditanya tentang dugaan dan kesusahan kita. Tanpa kita tahu, yang gagah bertanya itu jauh lebih perit menahan derita.

                                 
Armand sayang, sempat 3 bulan saja Armand tinggal di bumi Allah ni. 
Tapi terlalu banyak Armand mengajar ibu dan abah tentang hakikat kehidupan.
Terima kasih sayang.
Sesungguhnya syurgalah tempat buatmu.

4 May 2014

Susu terakhir buat Armand

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

Subhanallah, hampir dua minggu saya ambil masa untuk tulis entri ni. Sebenarnya dah empat kali saya cuba habiskan. Tapi setiap kali mesti berhenti separuh jalan sebab tak mampu nak tahan airmata. Teramat berat sebenarnya untuk saya imbas kembali apa yang terjadi pada hari Armand pergi. Walaupun sampai sekarang ini pun, masih terasa-rasa lagi sebak dan pilunya bila terkenang. Semuanya masih fresh dalam fikiran. Macam ada wayang di selaput mata yang menayangkan semula setiap babak yang saya lalui. Babak realiti yang selama ini saya hanya lihat dalam drama-drama di tv. 

Lagi dua hari, cukuplah 3 minggu saya terpisah dari anak kandung yang amat dicintai. Berkat doa ramai orang, dan dengan rahmat Allah, kami semua semakin pulih dari kesedihan. Alhamdulillah, syukur pada Allah. Airmata yang mengalir kadangkala hanyalah airmata dari hati yang sangat merindukan anak syurga itu. Setiap masa saya rindu sangat. Tapi tak dapat nak menzahirkan rindu itu dengan mencium dan memeluk Armand. Hanya dapat berdoa dan mengadu pada Allah sambil menangis. Selama ini saya fikir saya dah melalui fasa rindu yang paling dahsyat dan menguji, sewaktu saya dan suami terpisah selama setahun setengah. Saya di Perancis menghabiskan studi, dan suami di Malaysia mencari rezeki. Rupanya saya silap. Rindu pada Armand ini jauh lebih menduga kerana takkan ada lagi pertemuan di dunia. Masya Allah, memang besar sangat kesabaran yang saya perlu bekalkan dalam hati untuk teruskan kehidupan. Kadang-kadang rasa payah sangat. Tapi mungkin itulah salah satu daripada harga syurga yang saya inginkan.

Sekarang ini, untuk kuatkan diri, saya hanya teruskan hidup dengan pandang ke hadapan. Pandang ke depan dengan membayangkan pertemuan seterusnya antara saya dan Armand. Sesekali bila menoleh ke belakang, teringat saat mengandung dan melahirkan Armand, demi Allah, sangat mengusik perasaan. Bukan mudah sebenarnya, sebab saya memang suka mengingati kenangan. Setiap saat yang terakam dalam memori memang memberi saya kekuatan dan semangat untuk teruskan langkah kehidupan. Sampaikan dulu waktu zaman sekolah menengah, ada seorang kawan gelarkan saya 'insan yang hidup dalam kenangan'.

Tapi kelahiran dan pemergian Armand betul-betul mengubah semuanya. Saya kini semakin sedar, hidup ini bukan hanya di dunia. Malah sekejap sangat di dunia. Kalau biarkan diri cling pada kenangan masa lalu yang indah, secara tak sedar hati ini akan terpaut pada dunia. Rasa berat untuk tinggalkan hidup di dunia. Rasa macam tak adilnya segala keindahan dan kenikmatan ini akan berakhir juga. Tapi bila pandangan ditumpukan ke hadapan, saya lebih terdorong untuk berfikir, esok saya di mana? Masihkan di dunia? Masih punya suami dan anak? Masih sihat dan sempurna pancaindera? Secara automatik hati akan menggerakkan jasad, melakukan sebanyak-banyak dan sebaik-baik persiapa. Untuk menghadapi sesuatu yang pasti dan sangat dekat. Mati. Yang kini telah pun dilalui oleh seorang anak saya yang masih muda, kecil dan tak berdosa apa-apa. Subhanallah.


Terima kasih untuk setiap doa. Sekarang saya sudah mampu tersenyum setiap kali terkenangkan Armand yang menjadi kunang-kunang syurga di alam sana. Saya dah boleh tersenyum sambil berjenaka dengan suami setiap kali mencium baju Armand, atau melihat apa-apa kepunyaan Armand. 

Inilah entri yang saya janjikan, tentang apa yang terjadi pada Rabu 16 April yang lalu. Ada banyak part saya tak dapat cerita semuanya sebab terlalu sukar. Nak sambung tulis pun jari terketar. Tapi disebabkan dah berjanji dan mahu ditunaikan hasrat hati, saya abadikanlah juga sedikit cebisan apa yang terjadi. Semoga Allah beri kekuatan untuk saya sampaikan kisah ini dengan baik, dan semoga ada pengajaran atau kebaikan yang boleh diambil untuk semua yang membaca.


**************************************************************

Awal pagi Rabu itu, kami bersiap ke kerja seperti biasa. Armand bangun awal, sebaik saya bangun, Armand pun celik mata. Tapi Armand memang a morning person, macam abahnya. Dia sangat ceria dan suka tersenyum di awal-awal pagi, walaupun tak diagah. Semuanya macam biasa saja. Armand tak ada berkelakuan pelik atau menunjukkan tanda-tanda akan meninggalkan kami. Saya juga langsung tak ada gerak hati yang pelik dan tak senang hati. Malah saya sebenarnya sangat happy pagi tu sambil bersiap. Cuma kalau ada tak sedap hati pun, saya risaukan Aliff sebab Aliff demam panas sejak malam sebelumnya. Malam itu selepas bawa Aliff jumpa doktor, saya ada terdetik untuk ambil leave saja hari Rabu untuk tinggal di rumah jaga Aliff dan Armand. Tapi pagi itu saya bangun tidur dan gerak hati saya mengatakan tak apa. Pergi saja kerja. Kalau ada apa-apa, rumah Hana dekat saja dengan office saya. Saya boleh pergi jenguk bila-bila masa. Tambah pula demam Aliff sudah sedikit kebah pagi itu.

Selesai hantar Aliff dan Armand di rumah Hana, saya di office memulakan hari seperti biasa. Peliknya, saya rasa cukup aktif dan ceria pagi tu. Saya turun ke kafe dan belikan 3 bungkus kuih-muih. Satu untuk saya breakfast, satu untuk suami, satu untuk Hana dan anak-anaknya petang nanti. Pagi itu juga saya bersemangat sebab mendapat tugas baru untuk dilaksanakan dari Manager saya. Pukul 11 pagi, saya turun ke bilik di bawah untuk mengepam susu buat bekalan Armand hari esok. Saya bawa handphone bersama. Selesai basuh pam dan simpan 3 botol berisi susu di pantry office, saya kembali ke meja. Waktu itu pukul 11.39 pagi. Dan waktu itu barulah saya baru terdetik untuk periksa handphone. Alangkah terkejutnya saya bila nampak ada 4 missed call dan satu SMS dari Hana.

Ya Allah. Peliknya. Kenapa ni? Kebiasaannya Hana tak akan telefon. Memang sejak 2 minggu lebih saya hantar anak-anak pada Hana, Hana tak pernah sekalipun telefon saya di office. Kalau ada apa-apa kami akan SMS saja. Tapi kali ini sampai 4 missed call. Demi Allah hati saya dah mula berdebar. Saya cuma terbayangkan Aliff, sebab Aliff demam. Memang pagi itu selepas hantar anak-anak, Allah beri detik hati pada saya untuk SMS hana minta alertkan saya immediately kalau ada apa-apa. Saya akan datang segera. Kebiasaannya saya tak pernah pesan begitu. Entah, pagi itu memang macam ada rasa-rasa yang saya perlu tinggalkan office untuk ke rumah Hana bila-bila masa. Hati saya memang risaukan Aliff pagi tu.

Rupanya gerak hati saya itu benar belaka. Saya periksa SMS dari Hana. Terasa bagai nak luruh jantung bila membaca;

"Marini. Tolong datang sekarang. Armand tak nafas ni. Tolong. Tolong. Saya kat klinik bawah ni. Tolong..."

Ya Allah!!
Dengan lajunya saya terus berlari keluar office dan telefon Hana. Tak sempat berdering, Hana angkat dan saya hanya dengar Hana menangis meraung memanggil-manggil nama saya dan minta tolong. Jantung saya semakin berdebar kencang. Ya Allah... Terus gugur airmata saya. Saya tanya kenapa dengan Armand, Hana cuma menangis dan kata tak tahu. Dan Hana terus meraung memanggil-manggil nama saya. Ya Allah..

Saya berlari semula ke office dan minta tolong kawan sebelah meja, Falita, untuk drive kan saya ke rumah Hana serta_merta. Allah sajalah tahu macamana keadaan saya waktu tu. Terasa lemah lutut untuk berjalan. Apatah lagi Hana masih menangis tak keruan di hujung telefon. Saya berdoa semoga Armand tak apa-apa. Armand, tunggu ibu. Ibu datang sayang. Tapi mendengar suara doktor yang mengambil-alih telefon Hana hanya memusnahkan segala harapan saya.

"Puan, saya minta Puan tolong datang sekarang ya."
-"Doktor, kenapa dengan anak saya doktor?? Anak saya okey tak??" Beberapa orang di office dah mula keluar dan melihat saya dalam keadaan menangis, menjerit dan tak keruan.
"Puan, banyakkan bersabar. Puan datang dulu ya. Datang sekarang."

Jawapan doktor itu hanya menambah luluhnya hati saya waktu itu. Kenapa doktor tak bagitahu keadaan Armand? Kalau Armand okey, kenapa doktor tak tenangkan saya? Saya hanya mampu menangis. Di mata saya cuma ternampak-nampak bayang Armand. Bayang wajah Armand yang selalu tersenyum bila saya mencium. Bayang tenangnya Armand dalam tidur seperti saat saya hantarnya pagi itu. Bayang wajah Armand yang tak sempat saya cium pagi itu kerana terlalu risaukan Aliff.

Dalam perjalanan ke klinik di rumah Hana, hati saya dah terdetik sesuatu yang tak baik terjadi pada Armand. Tapi saya terus berdoa mohon keajaiban pada Allah. Mohon diselamatkan Armand yang masih kecil. Saya belum puas melihat Armand membesar sihat depan mata. Mohon disempatkan saya berjumpa Armand dan mencium wajah Armand. Tiba di klinik, sudah ada 2 orang perempuan menanti dengan wajah yang gelisah. Saya turun kereta sambil menangis-nangis dan terus meluru ke pintu bilik doktor. Hampir rebah saya di saat pintu dibuka.

Demi Allah, itulah saat yang paling meruntun hati seumur hidup saya. Di sebalik pintu, saya sudah ternampak bayang tubuh anak saya. Dia terbaring kaku, tak bergerak di atas tempat perbaringan.

Ya Allah. Hanya Allah saja yang tahu betapa hancur berkecai hati saya waktu itu. Saya meluru pada Armand, menangis bercucuran airmata memanggil-manggil nama Armand. Armand tolong bangun sayang, Armand bangun Armand, ibu datang.. Itu saja yang saya ulang-ulangkan. Tapi Armand memang dah tak beri apa-apa tindak-balas. Tubuhnya sejuk. Matanya tak tertutup rapat, mulutnya sedikit ternganga. Bibir Armand juga sedikit biru. Doktor dan pembantunya di sebelah dah tak berbuat apa-apa. Saya tarik tangan doktor ke arah Armand, minta doktor selamatkan Armand. Hati keibuan saya masih mengharap dan percaya pada keajaiban dari Allah. Armand boleh diselamatkan lagi. Kenapa doktor dah berhenti buat apa-apa. Tapi kata-kata dari doktor benar-benar menghancur-luluhkan hati saya sekali lagi.

"Puan, banyakkan bersabar ya Puan. Kita dah buat semuanya. Anak Puan memang dah berhenti jantungnya. Sekarang ni tolong bawa anak Puan ke hospital."

Saya kembali mendapatkan Armand. Saya peluk dan cium seluruh wajah dan tubuhnya. Basah baju Armand terkena airmata saya yang deras mengalir. Ya Allah..... Armand..... Bangunlah Armand.... Armand.....

Hana yang juga teruk menangis mendapatkan saya sambil meminta maaf.

"Marini.. Saya minta maaf. Saya tak tahu apa-apa. Saya kejut nak mandikan Armand tapi Armand dah takde. Armand tak sempat menyusu lagi Marini.."

Ya Allah. Saya cium mulut Armand. Masih berbau masam susu yang selalu menjadi kegemaran saya setiap kali menciumnya. Saya teringatkan kali terakhir Armand menyusu adalah dengan saya, dalam kereta pagi itu. Memang kebiasaannya saya akan susukan Armand direct dan banyak-banyak, supaya pagi itu Armand cukup kenyang dan tak perlu banyak minum dari botol. Armand dah mula menolak botol sejak usianya mencecah 3 bulan. Tak pernah saya sangka, itulah kali terakhir saya susukan Armand. Itulah kali terakhir Armand merasa susu dari badan saya. Dan itulah kali terakhir kehangatan badan kami berdua bersatu dalam dakapan kasih sayang ibu dan anak.

Maaf. Saya tak dapat sambung tulis secara detail setiap scene yang terjadi dalam bilik doktor hari itu. Terlalu menyeksa hati. Sakit dan pedih setiap kali mengenangkan. Terketar-ketar tangan menaip. Nafas juga berombak kencang setiap kali teringatkan saat-saat pertama melihat anak yang dikandung, dilahirkan dan disusukan penuh cinta pergi sekelip mata.

Dalam perjalanan ke hospital Ampang, dalam kereta yang dipandu Falita, saya hanya menangis sambil memangku Armand. Tak pernah terlintas sekali pun di fikiran bahawa Allah akan pilih saya untuk melalui semua ini. Memeluk dan memangku anak yang sudah tak bernafas ke hospital. Berkali-kali hati bertanya, why me? Why me dear Allah? Tapi jujurnya, waktu itu saya rasa Allah mula mencampakkan sedikit demi sedikit rasa redha, bila melihat Armand yang langsung tak bertindak-balas walau saya cium dan panggil berkali-kali. Selesai buat panggilan kecemasan kepada suami di office dan emak di Penang, saya tatap wajah Armand dalam-dalam. Saya sapu dan tutup matanya, saya cium bibirnya sambil bisikkan, "Ibu redha sayang. Pergilah Armandku sayang."

Di hospital Ampang, saya diletakkan di dalam bilik menunggu bersama Falita, sahabat seofis yang Allah telah takdirkan untuk melihat satu persatu rentetan peristiwa yang berlaku. Saya terlentok tak bermaya di atas kerusi roda, termenung sambil menangis. Kesian Falita terpaksa berhadapan dengan situasi begini. Banyak yang Falita tuturkan untuk tenangkan saya tapi saya masih tak boleh berhenti menangis. Agak lama juga sebelum suami saya sampai di hospital. Tiba-tiba terdetik di hati saya untuk melihat dinding bertentangan yang tergantung ayat Qur'an.

“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia menjadikan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di duga. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Dia akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksana urusan yang dikehendakiNya, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu (3).” 

Ya Allah. Mengalir lagi airmata membaca ayat dari Allah yang terasa khas untuk saya tengahari itu. Terasa seperti Allah sedang memujuk. Dalam tak sedar terasa ada satu perasaan tenang mula menusup masuk ke dalam hati. Berbekalkan kekuatan dari ayat tadi dan sedikit ilmu yang pernah saya pelajari, saya kesat airmata dan pujuk diri. Ini qada' dan qadar yang Allah telah tulis sejak sebelum aku dilahirkan ke bumi lagi. Tak ada apa yang boleh halang ketentuan ini. Redhalah wahai hati. Armand dah pulang kepada Allah.

Tak lama kemudian, suami saya muncul. Dia terus memeluk saya. Kuat, lama, kami terdiam. Airmata saya laju kembali. Saya takkan lupakan saat itu. Antara saat paling menghibakan dalam hidup saya sebagai isteri. Suami duduk bertentangan dengan saya. Dia pegang kuat tangan saya, sambil meminta saya memandang padanya.

"Nini, in sha Allah. Kita doa ya. Armand okey. In sha Allah Armand okey. Be strong sayang."

Saya tenung mata suami. Saya nampak matanya bersinar dengan harapan. Bibirnya masih mampu mengukir senyuman. Tapi semua itu buatkan saya makin sebak. Tak sampai hati untuk saya beritahu perkara sebenar, walaupun tadi dalam telefon saya dah pun sebut padanya, Armand anak kita tak bernafas. Mungkin suara saya tenggelam dalam tangisan. Dan kali ini, sumpah saya tak sanggup untuk musnahkan harapan suami yang terlihat di matanya. Saya hanya mampu berbisik dalam hati, "Abang, kalaulah abang tahu, Armand dah tak ada.. Nini dah tengok dan pegang Armand tadi..."

Selepas 10 minit, datang seorang perempuan. Bukan doktor, mungkin pembantu di situ. 

"Encik, Puan, parents baby ke? Macamni ya. Kami dah cuba bantu anak encik selama sejam. Tapi memang dah tak ada apa-apa. Sekarang ni doktor dah arahkan untuk cabut alat bantuan pernafasan. Anak encik dan puan, dah tak ada."

Ya Allah. Mendengar kata-kata doktor itu, hati saya sebak bercampur redha. Tapi saya boleh bayangkan bagaimana hancurnya hati suami mendengar kata-kata pembantu tadi. Entahlah, cara diberitahu berita itu bagi kami sangat tak sesuai dan tak menenangkan. Suami saya terketar-ketar menahan sebak. Matanya serentak berair. Dia tunduk memandang ke lantai, dadanya berombak kuat. Kali ini giliran saya menenangkan suami. Dengan suara yang terketar-ketar, suami bertanya perlahan,

"Apa doktor?"

-"Anak encik dan puan, dah tak ada. Dah sejam kami cuba tapi tak berjaya. Tapi encik, kalaulah berjaya sekalipun, peratusan untuk anak encik survive sangat nipis. Dah sejam oksigen tak sampai ke otak, dan otaknya memang dah mati. Sekarang ni kami terpaksa cabut semua alat bantuan pernafasan. Faham ke?"

Akhirnya gugur juga airmata suamiku. Sungguh, saya bersyukur dan kagum melihat ketabahan lelaki yang saya cintai di saat yang amat-amat menguji begini. Masih mampu menjadi seorang yang menenangkan isteri di saat anak baru meninggalkan dunia ke alam abadi. Sambil memegang kuat tangan saya, dengan suara yang tersekat-sekat dan linangan airmata,

"Nini.. Kalau betul apa abang dengar tadi, anak kita, Armand, dah tak ada dengan kita.. Allah dah ambil Armand semula. Kita redha ya sayang. Kita pinjam je Armand selama ni. Kita redha Armand pergi. Ye sayang."

Sebelum proceed kepada post-mortem, kami dibenarkan melihat Armand. Ini kali kedua kami melihat Armand, dan kali ini, saya dan suami bersama-sama. Kami dekati tubuh Armand yang kaku. Tubuh comel dan montel yang amat kami sayangi. Saya cium mulut dan wajah Armand berkali-kali. Lama saya mencium Armand. Kerana saya sedar, inilah saat-saat terakhir antara saya dan Armand di dunia. Suami membelai dan mengusap setiap inci tubuh Armand. Saya usap kepala dan rambut Armand. Saya cium leher, dada, lengan, tapak tangan, jari, perut, paha, betis dan tapak kaki Armand. Masya Allah, sempurnanya tubuhmu wahai anak. Tak ada satu pun yang saya tinggal. Saya mahu ingat saat terakhir ini selama-lamanya, walaupun Armand sudah tak bernyawa. Dan akhir sekali, saya cium lama di mulutnya sambil bisikkan, "Armand... baik-baik ye.. Pergilah sayang. Ibu redha. Allah sangat sayangkan Armand. Armand milik Allah. Tapi Armand selama-lamanya anak ibu. Jangan lupakan ibu ya Armand sayang."

                                           

                                           

Alhamdulillah, segala urusan selepas itu sangat dimudahkan oleh Allah. Hujan turun lebat petang itu, seakan-akan turut bersama hati ini menangisi perpisahan seorang ibu dengan buah hatinya yang tercinta. Selesai dimandi dan dikafankan di hospital, kami beransur pulang ke kampung halaman suami di Bentong untuk disempurnakan saat terakhir Armand di bumi Allah ini. Tak ada siapa pernah menyangka. Kali ini kami pulang dengan Armand terbaring kaku di dalam pelukan dan ribaan saya. Biarpun tak dapat menatap wajah Armand yang telah sempurna dikafankan, saya memeluk erat tubuh Armand sepertimana saya selalu menikmati saat-saat Armand menyusu dalam pelukan di atas ribaan saya selama 3 bulan ini.

Tiba di Bentong malam itu, hati sangat sebak melihat betapa ramainya yang hadir dan menanti Armand di surau. Anak-anak tahfiz yang masih suci tak berdosa juga ramai yang hadir. Sebelum disembahyangkan, kami sekali lagi diberi peluang untuk mencium Armand. Saya sempat bertanya pada suami, "lepas ini dah tak dapat cium ke?" Dan suami membalas, 'Lepas ini kita akan tutup muka Armand dah. Nini nak cium Armand?"

Mesti. Inilah saat yang terakhir sekali. Mana mungkin saya lepaskan. Sehiba mana pun, saya tetap takkan puas mahu mencium Armand. Kali ini kami bawa Aliff mendekati Armand. Kesian, Aliff belum berupaya memahami apa yang terjadi pada adik yang sangat disayanginya. Aliff cucuk dan cuit pipi Armand sambil berkata, "Aman, tito." Aliff pelik melihat hidung dan wajah Armand yang disapu dengan kapur barus. "Kotor", kata Aliff, sambil cuba menyapu hidung Armand yang disangkanya kotor. Saya sebak, tapi bersyukur, melihat Aliff dapat juga mencium adiknya Armand buat kali terakhir malam itu. Seharian di hospital dia tak dapat melihat Armand dan sibuk bermain dengan saudara-mara yang datang menziarahi.

Alhamdulillah, kucupan terakhir di wajah Armand, dapat saya sempurnakan dengan meninggalkan kenangan yang kuat di hati. Seperti biasa, saya ambil masa saya. Sambil pejamkan mata, saya bisikkan pada wajah Armand, dan menghayati dengan penuh makna,

"Armand, maafkan semua salah dan silap ibu. Tunggu ibu di syurga sayang. Jumpa lagi, anakku, Armand."

Satu-satunya gambar yang ada malam itu.
Melihat suami meletakkan Armand di liang lahadnya.
Ya Allah, insafnya hati melihat Armand telah melalui semua ini mendahului kami.


******************************************************************

Itulah saja secebis yang boleh saya kongsikan. Kalau mahu diceritakan semua mungkin terlalu panjang. Biarlah saya dan suami saja mengenangnya sebagai satu peristiwa yang tak mungkin terpadam dari memori hidup yang singkat ini.

Hasil dari post-mortem, anak kami Mas Armand Saiff disahkan meninggal kerana tersedak susu. Doktor masukkan tiub ke dalam peparunya dan memang keluar susu. Cuma bagaimana boleh terjadi begitu hanya Allah yang tahu. Kadang-kadang fikiran saya tak tenang memikirkan macamana susu boleh masuk ke dalam paru-parunya. Sedangkan kali terakhir Armand menyusu adalah dengan saya, terus dari badan saya sendiri. Beberapa hari sebelum Armand pergi, setiap pagi Hana SMS saya mengatakan Armand tak mahu menyusu dengannya pagi-pagi. Armand hanya akan tidur lena sampai ke pukul 12, kemudian Armand akan minum sampai 2 botol.

Kalau dilihat dari fizikal Armand sewaktu dia ditemui kaku, memang tak ada tanda-tanda seperti tersedak susu. Mukanya tak biru seperti kelemasan. Di mulut Armand juga tak ada susu. Cuma ada sikit lelehan air liur dan hingus. Hana cerita, memang Armand nampak seperti sedang lena tidur. Kebiasaannya pun memang Armand tidur lena waktu pagi. Mulanya saya syak carseat sebagai punca. Sebab Armand memang suka tidur dalam carseat. Pagi itu pun masa kami tinggalkan dia di rumah Hana, Armand tengah nyenyak tidur dalam carseat. Di merata-rata negara dah banyak kes kematian bayi sebab tertidur dalam carseat, yang sebenarnya sangat bahaya sebab laluan pernafasan baby boleh terhalang kerana posisi tidurnya dalam keadaan duduk. Tapi rupanya pagi itu Hana dah pun alihkan Armand dari carseat, dan baringkan dia flat, tak ada bantal atau benda-benda lembut yang boleh melemaskan Armand. Sebab itu jauh di sudut hati saya dan suami, kami rasa Armand pergi dalam keadaan sudden death.

Walau sejauh manapun saya fikir, akhirnya saya perlu akur bahawa apa yang menimpa anak kami adalah satu ketentuan dan kekuasaan Allah yang tiada siapa pun berkuasa menghalang. Tersedak susu atau sudden death, itu hanyalah penyebab untuk dijelaskan dengan logik akal manusia. Yang sebenar-benarnya, memang sudah sampai tempoh tamat pinjaman kami. Memang, tak ada siapa pernah menyangka Armand akan pergi secepat ini. Belum sempat untuk saya lihat dia meniarap. Belum sempat untuk saya curahkan sepenuh kasih-sayang dan cinta buat Armand. Tapi takdir Allah mendahului segala harapan dan impian saya. Walau amat berat untuk saya telan, harus untuk saya akur dan yakini, bahawa sesungguhnya inilah yang terbaik untuk kami. Hanya Allah yang Maha Mengetahui dan kami langsung tidak tahu rencana hidup ini. 

Di kesempatan ini, saya mahu ucapkan terima kasih kepada setiap jiwa yang turut berkongsi rasa dan tak jemu mengirimkan ucapan doa buat kami sekeluarga. Terharu saya lihat betapa banyaknya komen pembaca di entri sebelum ini, rata-ratanya menyumbangkan doa dan berkongsi cerita. Jujur cakap, suami saya turut merasa tempias semangat dan kekuatan yang kalian kirimkan. Terima kasih kepada adik beradik, semua saudara-mara serta kenalan yang datang ke hospital, ke pengebumian dan ke tahlil Armand. Yang sudi datang berziarah di rumah sewa kami, terima kasih banyak-banyak. Sesunnguhnya kehadiran tetamu di rumah kami sangat-sangat membantu menceriakan suasana dan mengusir kesedihan di hati.

Dan terutama sekali, kami amat berterima kasih kepada kedua ibu-bapa kami yang mengambil alih semua urusan untuk disempurnakan kepulangan Armand ke sana. Semoga Allah merahmati Mak, Bapak, Mama dan Baba untuk segala bantuan dan sokongan moral dan material. Terima kasih Allah kerana menghadirkan kalian semua yang sangat berharga di dalam hidup kami. Semoga Allah membalas setiap jasa dengan syurga.

Dan akhirnya, personally, saya rasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada suami sendiri, Mas Aidiff, yang membantu memandikan, mengkafankan dan meletakkan sendiri tubuh anak syurga kami, Armand, di dalam liang lahadnya untuk dipulangkan kepada Allah yang Maha Memiliki segalanya.


                                                 
Saat-saat ceria pada 13 April 2014, cuma 3 hari sebelum suasana hati bertukar pilu.
Sempena ulangtahun kelahiran ke 30 tahun untuk suami, dan ke 3 bulan untuk Armand.


     
Armand anak syurga ibu,
Akan ibu terus meminta pada Allah tanpa jemu,
Untuk memilikimu selama-lamanya di akhirat nanti,
Kekallah Armand dalam pelukan ibu, dan takkan terlepas lagi.

Innalillahi wa'inna ilaihi raaji'un.
Sesungguhnya kami semua milik Allah, dan kepada Engkaulah kami akan dikembalikan.
Dan sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik tempat kembali.

22 April 2014

Al-Fatihah buat Anakku

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

Pagi ini, Rabu 23 April 2014, dengan berat hatinya saya kembali semula ke tempat kerja. Ya Allah, terasa berselut bumi yang dipijak, lemahnya kaki mengatur langkah. Apatah lagi mengenangkan hari ini genap seminggu buah hati saya, Armand, pulang kepada Pencipta dan tinggalkan kami di dunia dengan tiba-tiba. Sangat tiba-tiba, tanpa sebarang tanda.

Ramai yang sudah tahu. Tapi di blog ini saya maklumkanlah sekali lagi. Buat pengetahuan, anak kedua saya, Mas Armand Saiff bin Mas Aidiff telah pulang ke rahmatullah pada minggu lepas, Rabu 16 April 2014, genap sebulan selepas kami pulang dari France. Perginya Armand pada usianya 94 hari, dalam jagaan pengasuhnya Hana, yang telah saya amanahkan. Takdir Allah mengkehendaki, tiada seorang pun tahu pukul berapa dan bagaimana jiwa Armand dijemput pulang kepada Allah oleh malaikat Izrael. Ketika ditemui jam 11 pagi, Armand sudah kaku tak bernyawa.

Sampai ke hari ni, saya masih dalam keadaan terpana. Seolah-olah kepala dipukul oleh gendang yang sangat kuat, dengungannya buat saya tenggelam dan timbul dalam realiti. Kadang-kadang hati terasa kuat dan tabah, adakala terasa sangat-sangat lemah. Masih cuba menerima hakikat bahawa Armand yang setiap hari saya peluk, cium dan susukan dah tak ada lagi di sisi saya. Takkan dapat lagi saya cium pipinya di dunia. Tak mungkin lagi untuk kelihatan wajah manjanya yang baru pandai mengukir senyum manis buat kami. Semua itu dah menjadi mustahil untuk saya harapkan di dunia. Cuma di akhirat, di syurga sajalah yang tinggal untuk saya harapkan pertemuan dengan Armand.

Inilah kali pertama saya merasa sangat-sangat dekat dengan kematian. Sebelum ni, seumur hidup, tak pernah sekalipun saya berhadapan dengan kematian. Yang paling dekat adalah kematian tok ayah saya di Kelantan, 13 tahun lepas. Waktu tu saya baru 14 tahun, baru nak menginjak dewasa. Jiwa masih belum sensitif akan hal-hal begini. Tak sangka, pengalaman pertama berdepan dengan kematian Allah takdirkan pada saya adalah dengan anak kandung sendiri. Masih jelas lagi dalam ingatan sewaktu saya meriba Armand yang telah tak bernyawa, kaku dalam pelukan saya, dalam perjalanan ke hospital Ampang Rabu lepas. Waktu itu, tamparlah pipi seribu kalipun, tidur dan bangun berkali-kalipun, masih sukar untuk saya percaya dengan minda yang sedar, bahawa anak yang sedang tak bernyawa itu adalah anak yang saya kandung dan lahirkan ke dunia.

Sangat perit menanggung rindu buatmu Armand. Rindu ini akan saya tanggung sampai mati. Tapi rasa rindu inilah yang akan terus mengingatkan saya bahawa Armand sedang menanti di syurga. Mujur masih ada 3 pasang baju Armand yang masih melekat kuat bau badannya. Saya asingkan dan tak akan basuh sampai bila-bila. Itu sajalah yang tinggal untuk kami. Kali pertama pulang ke rumah sewa kami hari Sabtu lepas Armand pergi, saya terus meluru ke bakul baju mencari semula baju terakhir Armand yang belum dibasuh. Saya cium dan temui bau Armand. Luluh semula hati saya yang sedang cuba untuk tabah. Terketar-ketar saya menangis memanggil-manggil nama Armand berulang kali. Kalau bukan suami yang sedang memeluk kuat, memang saya sudah jatuh rebah tak berdaya menanggung sedih dan rindu. Longlai rasa lutut, sepertimana saya rasa sewaktu tiba di perkarangan hospital Ampang, sambil memeluk tubuh Armand yang sudah kaku.

Syukur tak terhingga pada Allah yang meminjamkan kami seorang ahli syurga yang amat dikasihiNya. Walaupun 3 bulan, tapi kenangan dan saat-saat bersama Armand akan kekal sampai saya mati. Syukur pada Allah kerana memilih kami untuk diuji sebegini. Tak sangka, dalam keadaan kami yang sangat lalai dan leka dengan nikmat dunia, solat hujung-hujung waktu, doa lepas solat pun cuma sekadar di bibir dan tak bersungguh, rupanya Allah tak tinggalkan kami. Rupanya selama ini Allah memerhati. Bertuahnya rasa diri, kerana dipilih untuk mengandungkan dan melahirkan seorang penghuni syurga dari rahim sendiri. Kalau mengenangkan kejahilan dan kelalaian diri, siapalah saya untuk mengharapkan syurga. Langsung tak layak. Tapi sekarang, saya terasa ujian ini sebagai hadiah dari Tuhan. Untuk dia janjikan syurga kalau saya bersabar dan redha. Bukan mudah.

Alhamdulillah, makin hari saya rasa makin kuat. Setiap kali terpandang tempat Armand selalu baring atas katil kami, hati saya berbisik, ‘Armand masih ada. Armand ada dengan Allah. Jangan sedih. Armand selamat dan bahagia di sana.’ Saya sangat hargai setiap doa dan kata-kata semangat yang banyak saya terima di FB dan Whatsapp. Hampir kesemuanya menyebut syurga dan setiap kali itulah saya aminkan doa itu, semoga kami disatukan dalam syurga Allah nanti. Kepada mereka yang menghadiahkan saya dengan mesej-mesej begitu, please know that saya sangat berterima kasih kerana kata-kata kalian sangat membantu memujuk hati saya yang sangat sedih dan rindukan Armand. Saya akan balas personally satu-persatu bila ada kelapangan.

Walaupun masih sedih, saya percaya Armand pergi dengan meninggalkan banyak hikmah dan kebaikan buat kami sekeluarga. Sangatlah tak pernah saya sangka, selama ini saya sedang menjaga dan mengasuh seorang ahli syurga yang amat suci. Mesti Allah sangat sayang dan rindukan Armand, maka dipanggil semula Armand pulang. Kalau begini perasaan sayang dan rindu seorang ibu kepada anak, macamanalah kasih sayang Allah pada dia. Sangat tak terbayangkan oleh akal manusia. Untuk kuatkan diri, setiap saat saya ulangkan pada diri, betapa saya patut bersyukur kerana sekarang Armand sudah bahagia dan selamat di sisi Allah. Armand tak akan menangis lapar lagi. Tak akan rimas dengan pampers yang lambat bertukar lagi. Armand mesti sedang nyenyak tidur dan sentiasa senyum. Armand sedang dijaga dalam sebaik-baik asuhan, di tempat yang terbaik. Tenanglah hati, redhalah hati, demi Allah yang Maha Memiliki, saya relakan Armand pergi.

Di saat ini, saya cuma mahu meneruskan kehidupan dengan sebaik-baiknya, walaupun dalam hati ini akan tinggal lompong yang kekal sampai saya mati. Buat sementara waktu, saya masih takut untuk merancang apa-apa. Allah ambil Armand di saat saya sedang asyik merangka perancangan buat kami sekeluarga. Saya rasa cukup sempurna dengan adanya 2 orang cahayamata. Macam-macam yang selalu saya bincangkan dengan suami. Lepas ini mahu kerja 3-4 tahun, kemudian kita sambung belajar di France semula. Waktu tu kita tambah anak lagi seorang. Lepas tu kita tutup kilang. Maka sempurnalah keluarga kecil kami, kerana kami memang berhajatkan anak 3 orang saja.

Terlupa. Sangat terlupa bahawa dalam keasyikan kami merancang, ada Allah yang Maha Menentukan dan sebaik-baik Perancang. Pemergian Armand menyentak hati kami, terus kami jatuh terduduk ke tanah semula. Barulah tersedar, selama ini kami langsung lupakan Allah dan akhirat dalam setiap rancangan dan impian. Terasa cukup dan sempurna dengan nikmat keluarga, sehingga hilang rasa mengharap dan mahu meminta pada Allah. Sekarang ini, seolah-olah Allah menempelak kami, ‘Nah, apa pula perancangan kau sekarang?’

Allah Maha Baik. Tak ada sesuatu pun yang Dia jadikan sia-sia. Bila Allah ambil anak kami Armand, hati ini seolah-olah sudah diikat dengan akhirat. Semoga simpulan itu takkan terlerai lagi sampai kami pula yang pulang kepada Dia. Sekarang ini, hanya syurga yang kami mahukan. Hanya syurga yang menjadi motivasi hidup kami di dunia. Sebab hanya di syurga kami dapat bertemu Armand semula, dan hidup kekal bahagia sekeluarga, seperti apa yang kami impikan sebelum ini. Kalau inilah caranya untuk kami sentiasa ingat Allah dan sedar bahawa bahagia di dunia ini hanya sementara, kami akur dengan kehendak dan ketentuanNya.

Ramai yang bertanya apa yang sebenarnya berlaku. Banyak juga fakta yang kurang tepat yang tersebar. Saya mohon ditangguhkan cerita itu sampai saya betul-betul dapat tenang dan lapang hati. Mungkin memerlukan beberapa hari lagi. Saya akan cerita, memang akan diabadikan kisahnya di sini. Ini janji saya. Tapi sebelum saya ceritakan hal sebenar, mohon juga janganlah dibuat apa-apa spekulasi yang tidak baik tentang pemergian Armand. Memang Armand pergi dalam jagaan pengasuhnya Hana, tapi naluri saya meyakini bukan salah Hana. Malah hari ini, saya dan suami, dengan restu orang tua kami, setuju untuk terus menghantar Aliff bersama Hana. Saya yakin Allah telah temukan kami dengan seorang pengasuh yang baik buat anak-anak saya. Cuma kehendak Allah mengatasi segalanya. Nantilah saya cerita ya.

Buat anakku Mas Armand Saiff, si kunang-kunang syurga,
Ibu dan abah redha Armand pulang kepada Allah,
Ampunkan salah dan silap ibu selama setahun Armand bersama ibu,
Ibu bersyukur memiliki anugerah terindah sepertimu,
Walau sementara cuma,
Kenangan bersama Armand menjadi penguat ibu selama-lamanya.

Tunggu ibu, abah dan abang Aliff di syurga Allah ya sayang,
Bantu kami di akhirat nanti sayang,
Ibu akan sabar menanti saat itu,
Saat bertemu semula dengan Armand,
Berbahagialah wahai anakku bersama Allah,
Sesungguhnya Dialah sebaik-baik pelindung dan penjaga buatmu.

Al-Fatihah untukmu sayang,
Kekallah Armand hidup di hati ibu,
Hingga bertemu di pintu syurga wahai anakku,
Amin Ya Rabbal Alamin..

Dalam kenangan..
13 Januari 2014 - 16 April 2014