20 March 2013

Kisah kelahiran Mas Aliff Shadan

Inilah catatan kelahiran anak sulung saya, Mas Aliff Shadan yang lahir tepat pada tarikh EDDnya, 17 Mac 2012. Untuk kenangan diri sendiri, dan tatapan sesiapa yang sudi membaca. Untuk kawan-kawan yang sedang menunggu saat-saat bersalin sekarang, mungkin ada beberapa lesson yang boleh kalian ambil dari kisah saya, supaya tak perlu melalui kesusahan dan kesakitan yang sama.

Ringkasnya, ada 5 siri kesakitan yang saya lalui sepanjang detik-detik kelahiran Aliff ini. Pertama, sakit contraction selama 12 jam. Kedua, sakit epidural. Ketiga, sakit saat divakuum untuk keluarkan Aliff. Keempat, sakit saat ditoreh perut untuk cesarian. Kelima, sakit untuk berjalan sendiri tanpa bius, 2 hari selepas pembedahan.

Tapi antara lima kesakitan ni, yang paling tak boleh lupa sampai sekarang, dan takkan boleh lupa sampai bila-bila, sakit kedua dan ketiga. Itulah yang paling pahit sekali. Yang lain alhamdulillah, dah terlupa macamana rasa sakitnya. Seperti ibu-ibu lain juga yang mengaduh dan berjanji tak mahu mengandung lagi di saat sedang bertarung nyawa melahirkan anak, tapi tup-tup mengandung lagi seorang tahun berikutnya. Hehe. Typically mother's.


Khamis, 15 mac 2012
Pertama kali keluar tanda untuk bersalin pukul 6 pagi. Tak ada apa pun, cuma turun darah yang tak banyak sangat. Tapi sebab memang dah selalu baca buku persediaan, kalau turun darah tu mungkin dah dekat nak bersalin, so saya dan suami agak panik juga. Selama 9 bulan mengandung memang tak pernah turun darah secalit pun. Terus saya bagitahu mak. Mak kata, "eh nini dah nak bersalin dah ni. dah tak lama dah ni kalau macamni.."

Terus mak suruh saya dan suami siap-siap untuk pergi  hospital sebaik saja lepas subuh. Mak telefon bapak di Malaysia, cakap saya dah turun tanda. Ada kemungkinan bersalin hari ni. Minta semua di malaysia doakan. Sampai di hospital lebih kurang pukul 7.30 pagi. Eh yeke. Entahlah, tak ingat sangat. Terus pergi bahagian wad bersalin emergency. Saya dimasukkan dalam bilik monitoring. Alat-alat ctg semua dipasang di perut, untuk monitor heartbeat baby dan kekerapan contraction saya.

Tapi sebenarnya pagi tu saya tak rasa sakit apa pun. Malam sebelum turun darah memang ada memulas-mulas contraction sampai pukul 3 pagi. Maybe sebab tu turun darah sikit. Tapi dekat hospital tak sakit apa dah. Boring pulak kena tunggu terbaring sejam untuk monitor. Kejap-kejap midwife datang nak cek bukaan. Tapi tak memberangsangkan. Gerak hati saya mengatakan, macam takkan bersalin hari ni. Walaupun sebenarnya saya harapkan baby keluar hari ni, boleh sama birthday dengan Atuknya di Bentong. 

Tekaan saya tepat sekali. Lepas lebih sejam ditahan, midwife datang bagitahu suruh saya balik. Katanya bukaan saya baru 1cm, dan tak ada progress pun dalam sejam. Tapi midwife pesan kalau keluar air ketuban, kena cepat-cepat datang hospital terus. Tak boleh tunggu. Saya pun happy dapat balik. Pimpin tangan mak sebelah, saut tangan suami sebelah lagi, kami pun berjalan kaki menelusuri sungai Doubs balik ke rumah. Sambil jalan sambil cakap telefon dengan bapak, gelak-gelak seronok sebab tak jadi bersalin lagi. Haha, saja nak coolkan diri sendiri. Saya sempat ajak mak dan suami makan nasi biryani di restoran india dalam perjalanan balik. Dapatlah makan biryani ayam dan udang puas-puas. Lepas ni nak kena pantang pulak. Boleh menangis teringat biryani udang.


Jumaat 16 mac 2012
Bangun subuh, masuk bilik air, terkejut sebab nampak darah turun lagi. Tapi kali ni banyak! Mengalir-ngalir. Sampai kena cadar katil tempat saya tidur. Muka mak dan abang kali ni dah panik. Dan kali ni saya tak cool macam semalam. Sebab pagi ni dah rasa sakit contraction. Sebenarnya sejak sebelum tidur dah sakit sangat memulas-mulas. Lagi sakit dari semalam punya. 

Kalau pagi semalam saya boleh senyum-senyum tengok darah, hari ni saya sendiri rasa gabra. Gerak hati mengatakan saya akan bersalin hari ni. Sakit masih tak berhenti, lepas sembahyang subuh kami terus bergegas siap. Suasana dalam rumah kalut semacam. Mak nampak panik, abangmas muka berkerut risau sambil siapkan beg untuk ke hospital. Mak telefon bapak cakap saya turun darah banyak. Suara mak macam terketar-ketar. Saya yang mulanya cool pun terus rasa nak menangis. Ya Allah, hari ni ke nak bersalin? Ya Allah, bersedia ke aku ni. Macamana kalau aku mati? Mungkinkah hari ni kali terakhir dapat tengok muka mak dan abangmas? Ini je yang bermain-main dalam kepala, sambil tengok mak dan abangmas berdesap-desup dalam rumah macam lipas kudung nak siapkan semua untuk bawak ke hospital. 

Dah siap semua, mak tanya sakit lagi ke? Saya kata, sakit lagi, tapi boleh tahan. Mak dan abang suruh call ambulans. Tapi saya taknak. "Ala tak payahla ambulans, seganla." Entah apa-apa je tengah sakit nak bersalin pun boleh segan. Tapi serious saya memang rasa tak perlu ambulans. Saya yakin boleh berjalan lagi. Tak payahlah susahkan orang ambulans untuk ambil orang yang masih boleh berjalan kan?

Last-last saya tetap berkeras untuk pergi hospital naik bas. Hospital taklah jauh mana dari rumah, cuma 800m je. Nak jalan kaki pun boleh. Tapi waktu-waktu macam ni sangatlah tak digalakkan untuk over-confident ye anak-anak. Nak naik bus pun mak geleng kepala je tengok saya. Sambil muka berkerut tahan contraction, saya berjalan slow-slow, menapak kecil-kecil sampailah ke bus-stop. Dalam bus pun muka berkerut-kerut setiap kali contraction menyerang. Baru tahu penangan contraction yang betul. Bukan macam kena gigit semut rupanya. Bila nak turun bus, beberapa makcik dalam bus wish saya 'good luck!'. Ahah bestnya. Terus rasa bersemangat nak push walaupun baru tengah terkedek-kedek melangkah turun bus.

Sampai hospital 7.45 pagi. Masuk bilik monitoring macam semalam, midwife cek bukaan, katanya okey dah 2cm. Saya kena tunggu sejam macam semalam, kalau ada progress masuk 3cm, dah boleh masuk labour room. Inilah part yang boring sekali. Dahlah tak boleh dua orang masuk sekali, jadi mak dan abangmas terpaksa berselang-seli teman saya dalam bilik. Lepas sejam cek bukaan lagi, katanya tak ada progress sangat. Tapi dari graf contraction, memang nampak pola yang agak regular. So tak boleh lepaskan saya balik. Saya kena tahan masuk wad, sambil terus kena monitor. 

                                       
Baru sampai hospital, di bilik monitoring sebelum dipakaikan uniform pesakit.
Muka tengah sakit contraction.
 Nak pergi bersalin pun saya tak lupa bawak beg sekolah.
Boleh dapat award pelajar contoh.
Sampai sekarang saya terpikir-pikir apa motif saya bawak beg sekolah tu.


Pukul 9 pagi, masuk wad. Mak asyik tengok jam nak tengok berapa kerap contraction saya. Buat masa ni every 20 minit sekali. Midwife tanya kalau saya nak epidural, saya refuse. Memang sejak awal lagi saya berniat untuk bersalin tanpa epidural. Bukan nak tunjuk hebat atau apa, tapi saya mahu rasa sakit bersalin secara natural. Sepanjang 2 bulan sebelumnya saya banyak baca kisah-kisah ibu yang berjaya bersalin secara natural. Merasai sendiri sakit bersalin secara alami. Dan saya teringin untuk merasai nikmat sakit bersalin itu. Kalau nenek-nenek dan mak-mak kita boleh bersalin tanpa epidural dulu, kenapa kita tak boleh kan?

Pukul 12 tengahari, kami masih di wad. Contraction kadang-kadang regular, kadang-kadang tak. Tapi sakit contraction makin kuat, selang 10-15 minit. Sakit sangat sampai saya tendang-tendang besi di hujung kaki katil untuk tahan sakit. Mak dan abangmas datang usap-usap kepala, sapu perut sambil baca doa, moga dilancarkan urusan kelahiran. Walaupun contraction sangat kuat dan kerap, tapi bukaan jalan masih tak memberansangkan. Dari 9 pagi sampai 12 tengahari, saya baru terbuka 4cm saja. Sedangkan sepanjang tempoh itu, sejak di rumah lagi, contraction sangat sakit. Mak kata, rasanya saya akan bersalin petang ini, petang jumaat. "Tengoklah, dalam pukul 4 petang nanti, bersalinlah nini. Insyaallah." Saya aminkan doa emak. Waktu dah sakit macamni, saya cuma mendoakan dan sangat berharap untuk cepat bersalin. Cepatlah laluan terbuka sampai 10cm. Cepatlah baby keluar. Ibu sakit ni tak tahan.

Pukul 4 petang, saya dah tak larat sebab sakit masih tak berhenti. Tengahari pula saya cuma makan roti baguette sebesar penumbuk. Tak ada selera untuk makan hebat-hebat walaupun abgmas belikan saya kebab. Setiap kali midwife datang nak cek bukaan, saya sangatlah berharap dah terbuka banyak. Tapi selalunya tak mejangkau harapan. Baru 5cm setelah 4 jam saya berperang dengan contraction yang mengganas setiap 7-8 minit. Sampai longgar besi katil saya kerjakan. Midwife tanya lagi, samada saya pasti untuk tetap tak mahu epidural. Melihatkan keadaan saya yang dah 7 jam berlawan dengan sakit contraction, midwife suggest untuk ambil. Boleh saya berehat. Tapi saya masih pasti dengan jawapan saya, "tak, saya tak mahu epidural. saya boleh bertahan lagi ni." Midwife cuma cakap, "awak memang kuat. Kalau saya, sejak pagi tadi lagi saya akan ambil epidural."

Pukul 6 petang, contraction makin kerap dan sangat sangat sangat sakit! Kalau tadi saya masih ada 2-3 minit untuk rehat dan ambil nafas bila contraction reda sekejap, tapi sekarang dah tak ada masa rehat. Ongoing sakit yang sangat sakit. Mulut saya tak berhenti sebut "Allah, sakit! mak, sakit! abang, sakit!" sejak pagi tadi. Tapi kali ni memang saya dah tak tahan sangat sampai menangis. Saya minta mak panggilkan midwife cepat. Kebetulan midiwife dah bertukar shift, jadi midwife baru yang datang cek bukaan. Dia panik tengok saya dah menangis-menangis, dan bila cek bukaan lagi dia panik! Dah 9cm!

Menjerit midwife di koridor panggil staff lain bawakan kerusi roda serta-merta. Saya perlu masuk labour room sekarang. Airmata saya dah macam empangan pecah. Mak pun dah menangis. Saya dipakaikan baju lain untuk masuk labour room. Tak sampai seminit dengar bunyi kerusi roda ditolak sambil orang berlari-lari. Semua berlaku dengan sangat cepat. Saya cuma sempat salam cium tangan emak, minta maaf, minta mak halalkan semua, sambil nangis-nangis lagi. Kemudian saya ditolak dengan lajunya naik kerusi roda, sampai terlanggar-langgar kerusi tepi koridor, sampai ke bahagian labour room. Semua staff kalut-kalut bising satu hospital. Pesakit lain pun terpusing-pusing tengok betapa lajunya saya ditolak atas kerusi roda, sambil saya menangis-nangis huhuhu. Kalau dah 9cm, baby akan keluar in no time!

Masuk labour room, kena cek bukaan lagi. Kali ni orang lain pula cek. Tapi muka dia berkerut semacam. Dia panggil lagi seorang midwife untuk pastikan bukaan saya. Rupanya midiwife yang kalut di wad tadi buat silap. Bukan 9cm, tapi baru 7cm. Aduh frustnya saya waktu tu. Macamana lah boleh tersilap ni. Terus rasa turned off, ingatkan nak bersalin dah sekarang. Buat penat je naik kerusi roda laju-laju tadi. Tapi saya tetap dimasukkan dalam labour room yang penuh dengan alat-alat dan kelengkapan yang menggerunkan. Tak boleh bayangkan sekejap lagi saya akan melalui semua ni. 

Pukul 7 petang, saya dah tak berdaya sangat-sangat. Mengantuk, penat, sakit. Itu saja yang saya rasa. Midwife datang minta saya practise push sebab kepala baby masih tak ke bawah. Tapi tiba-tiba saya tak pandai push. Berapa kali diajar pun, lain yang saya buat. Orang suruh lepas nafas dalam badan, bagi baby tertolak ke bawah. Tapi saya hembus nafas keluar. Padahal dah pernah belajar dalam kelas ante-natal. Dan saya tak pernah sekali pun skip kelas antenatal. Tak tahu kenapa tak boleh push. Mungkin sebab dah penat sangat-sangat. Sepanjang hari sejak pagi cuma makan sepenumbuk roti. Abgmas percik-percik air zamzam ke muka saya, tepuk-tepuk pipi saya yang dah longlai dan nak tidur. Yang anehnya, sebaik saja masuk labour room, contraction saya reda serta-merta. Tak sakit macam tadi. Sampai saya nak tertidur waktu tengah practise push.

Dan akhirnya, saya bisikkan kalimat yang ditunggu-tunggu pada Abgmas. Akhirnya saya mengalah. "Abang, boleh tak nini nak epidural..?" Abangmas langsung tak menghalang, malah dia sangat galakkan, supaya saya dapat rehat. Rasanya kalau ikutkan hati dia, dia mahu saya ambil sejak awal tadi lagi. Tapi sebab menghormati keputusan dan niat saya, setiap hari saya berkhutbah pada dia cakap tak mahu epidural, sebab itu abgmas tak cakap apa-apa tentang tu. Lagipun tak ada caj tambahan kalau ambil. Semuanya 100% ditanggung oleh kerajaan France. Saya pun taktahu kenapa saya minta izin abgmas untuk epidural sedangkan dia tak pernah menghalang. 

"Nini nak epidural bukan sebab tak tahan sakit tau. Tapi nini nak tidur sekejap. Takut nini tak ada tenaga nak push kejap lagi." Dalam longlai dan separuh sedar itu pun saya sempat nak justify diri sendiri. Macamlah ada pertandingan siapa paling kuat tahan sakit bersalin. Akhirnya pakar bius pun dipanggil. Dan bermulalah saat-saat yang takkan saya lupakan sampai saya mati. Tak pernah terfikir keputusan saya untuk terima epidural adalah keputusan yang paling menyakitkan. Kalaulah boleh diundur masa, mungkin saya takkan minta epidural malam itu. Tapi Allah ada rancanganNya, yang saya tak pernah langsung terlintas di kepala akan berlaku.

(Terpaksa disambung di episod seterusnya. Panjang rupanya cerita nak kena tulis. Tak larat dah adeh!)

11 March 2013

Pertama kali menukar pampersmu

Cukup 6 hari lagi anakanda tersayang akan genap setahun. Diri sendiri macam tak percaya tapi tak ada apa yang boleh dibuat melainkan terpaksa percaya jugak. Aliff dah nak jadi anak bujang. Kalau orang tanya baby berapa bulan, saya dah tak perlu jawab dalam kiraan bulan. 'Il a un an!', bak kata orang french. Nak panggil Aliff sebagai baby pun macam dah tak berapa sesuai. Tambah-tambah bila mengenangkan keletah dia sekarang, sangat tak macam baby lagi dah.


Tadi lepas hantar Aliff ke rumah Nounou, saya terus naik bus untuk ke pasar bulanan di Battant. Turun bus, sambil jalan di tepi kereta-kereta yang lalu bersimpang-siur, tiba-tiba teringat sesuatu. Setahun yang lepas, Aliff lahir hari Sabtu pagi. Isnin sebelum sabtu itu saya ke pasar battant ini juga, sambil ditemani emak dan suami. Waktu tu perut bulat. Waktu tu suami jinjit kerusi lipat nak bagi saya duduk sambil tunggu mak beli barang. Tahun ini, hari lahir Aliff jatuh pada hari Ahad ini. Dan hari ini, isnin, saya melalui jalan yang sama seperti tahun lepas dengan emak dan abgmas. Cuma tahun ni, perut dah slim (slim lah sangat!) Dah tak payah bawak kerusi. Emak pun tak ada di sisi. Aduhai, nostalgiknya!

                       
Bukti pergi pasar Battant tahun lepas.

Aaa. Nak nanges!

Lepas dapat Aliff, banyak sisi kehidupan yang berubah. Tapi yang paling banyak berubah adalah dalaman diri saya. Semangat saya, kekuatan emosi dan mental saya, subhanallah. Sesuatu yang tak pernah saya lalui sebelum ni. Seingat sayalah, sejak setahun ni, cuma berapa kali saja saya menangis. Boleh kira dengan jari sebelah tangan. Satu perubahan yang sangat besar untuk perempuan yang asalnya sangatlah cengeng dan emotional seperti saya. Menangis pun tak macam dulu. Setakat mengalir airmata senyap-senyap saja.

Oh ye, saya ingat ada sekali menangis sangat teruk. Waktu tu hari ke-5 lepas Aliff lahir. Saya masih ditahan di wad sebab saya bersalin cesarian. Tak boleh bergerak banyak lagi. Perut pun masih berbisa kena belah. Tapi malam tu, makcik nurse yang bertugas refuse untuk tolong saya cucikan pampers Aliff. Selalunya mereka yang tolong, sebab saya masih sangat lemah. Tapi entah angin makcik malam tu, dia refuse sungguh-sungguh. Walaupun saya merayu sambil keluar airmata. Dia kata, "cikpuan dah sepatutnya boleh bangun sendiri. Wanita-wanita yang bersalin di sini semua dah boleh uruskan anak sendiri sejurus selepas bersalin. Hari ni dah hari kelima. Cikpuan boleh bangun uruskan anak cikpuan sendiri." Bedebang. Pintu dihempas.

Sakit hati berdentum-dentum mendengar kata-katanya yang bagaikan halilintar. Ceh tetiba bersastera pulak. Dia tak tahu saya bukan suka-suka nak duduk hospital sampai 5 hari. In fact saya kena tahan seminggu tanpa rela. Dia tak tahu saya terpaksa melalui emergency cesarian selepas vacuum failure 5 kali. Dia tak tahu saya dah tahan sakit contraction tanpa epidural selama 12jam sebelum Aliff keluar. Doktor pun cakap kes saya exceptional. Macam bersalin normal campur bedah cesarian sama dengan kena duduk hospital lama. Makcik tahu ke? Entah-entah campur tolak darab bahagi pun makcik tak tahu buat. Oh marahnya hati saya waktu tu.

Terus saya telefon abgmas menangis sangat-sangat. Sudahlah suami tak dibenarkan stay malam. Kalau dia ada mesti boleh tolong. Saya cakap pada abgmas, "abang, nini nak lari dari hospital. Abang datang hospital sekarang. Tunggu nini kat luar pagar. Nini tak kira, taknak dah duduk sini. Nak balik nak balik nak balik..."

Saya dah berimaginasi sambil dukung baby sebelah tangan, sambil tekap perut kuat-kuat, jalan terhenjut-henjut keluar hospital. Tapi setakat imaginasi sajalah. Biasalah emosi wanita lepas bersalin, dramatik luar skala. Mujur rasional masih menguasai akal. Akhirnya dengan kekuatan lepas dipujuk suami, saya bangun juga. Seksa nak bangun satu, nak jalan azabnya Allah je yang tahu. Aliff yang masih kecil cenonet saya sandarkan atas bahu sambil pegang sebelah tangan. Sebelah tangan lagi saya pegang-pegang apa-apa untuk bertahan sambil jalan pelan-pelan. Alhamdulillah, berjaya jugak tukar pampers Aliff buat pertama kalinya sambil mengalir-ngalir airmata kesian pada diri sendiri.

Ye anak-anak, itulah pengalaman pertama ibu menukar pampers abang sulungmu. Dramatik kan?

Rasanya hari-hari akan datang menjelang birthday Aliff ni, kepala saya akan dipenuhi bayangan setahun yang lalu. Mengenangkan besarnya perubahan dan rahmat yang Aliff bawa dalam hidup saya, saya mahu menyelak semula rakaman memori-memori indah kami bertiga. Yang masam, pahit, manis, biarlah kebanyakannya disimpan di sini. Walaupun hidup segan mati tak mahu, tapi blog ini akan still standing sebagai tempat luahan perasaan dan perkongsian cerita bilamana saya ada masa dan mahu menulis.

Untuk hari Ahad ini, saya akan publishkan kisah penuh kelahiran Mas Aliff Shadan. Sesuatu yang saya belum pernah cerita publicly. Ada beberapa orang saja yang tahu, sebab saya malu untuk bercerita, dan pengalaman itu cukup membuatkan saya dan suami trauma. Sebab itu saya simpan sendiri-sendiri. Dengan family pun kami jarang bangkitkan soal itu. Semua orang akan sedih bila ingat balik kisah kelahiran Aliff, tambah-tambah lagi abgmas. Tapi takpelah, kita tulislah juga memandangkan ingatan saya pun dah makin terjejas sejak jadi mak orang ni. Walaupun cerita itu lebih pahit dari manisnya, tapi saya tetap mahu ingat sampai bila-bila. Kalau satu hari nanti, bila anak-anak dah berderet dan Aliff dah darjah tiga, bolehlah saya feeling-feeling mengenang semula kisah kelahiran Aliff di sini.

 Ambil darah kali terakhir sebelum.........................

.....
.....
.....


 Tada!
Kalau nak tahu cerita, stay tiung!

p/s : Terpaksa letak gambar² tahun lepas sebab tahun ni sangat tak banyak gambar. Entah ke manalah menghilang minat bergambarku yang dipupuk sekian lama.