20 October 2012

Bercakap tentang impian

Pertamanya, saya nak ucap terima kasihlah banyak-banyak pada yang sudi berikan komen pada entri saya baru-baru ni. Bila baca beberapa komen yang masuk, saya terharu, terkejut dan nak tergelak pun ada. Seriously tak sangka ada orang baca lagi blog ini. Ingatkan kali ini memang nak tulis senyap-senyap, tak nak bagitahu orang pun saya ada update blog. Kalau dulu, setiap kali update mesti akan share link di facebook. Tapi since  masyarakat di FB dah berduyun-duyun jadi kawan, macam malulah pulak. Lagipun bila tak ramai orang baca, boleh kita cerita detail sikit kan. Tak payah tapis sangat. Tak payah susah-susah hati nak jaga hati siapa-siapa, atau takut tersinggung mana-mana pihak. Pendek kata, sekarang saya rasa bebas! Siapa-siapa yang tahu dan ikuti saya di sini, andalah kawan baik saya di sini, insyaAllah.

Aliff baru mencecah 7 bulan beberapa hari lepas. Oh ye, nanti saya uploadkan gambar Aliff di sini ok. Ada beribu-ribu gambar Aliff dalam handphone saya, entah bila nak transfer masuk harddisk pun tak tahulah. Aliff belum officially merangkak, tapi kami menjangkakan tak lama lagi dah tu. Sekarang asyiklah tertonggek-tonggek praktis tegakkan kaki dan tangan. So far nampaknya tangan dah kuat. Siap boleh angkat sebelah tangan lagi sambil dalam posisi merangkak. Mengengsot memang laju, tapi ke belakanglah. Kebanyakan baby pun memang start dengan mengundur dulu kan. Tak apa, saya tak risau langsung tentang perkembangan Aliff. Biarlah dia tak secepat anak sesiapa. Saya mengandung dan lahirkan dia susah payah bukan untuk tunjuk pada semua orang anak saya hebat, cepat, berat, atau apa-apa lagi ukuran kesempurnaan bayi yang selalu kita harapkan. Cukuplah Aliff membesar dengan baik dan sihat. Itu sudah cukup besar nikmat buat kami. Take ur own sweet time baby.

Sepanjang minggu lepas, fikiran saya sarat memikirkan tentang masa depan. Masa depan saya, suami, kami sekeluarga. Orang selalu tanya, sampai bila nak duduk France? Tak rindu malaysia ke? Kalau saya tak rindu malaysia, takkan setiap tahun saya balik kan. Sebenarnya kan, saya pun tak tahu jawapan apa yang terbaik untuk soalan ini. Kalau tanya pada anggota badan ni, uhh ya Allah, dah muaklah duduk di sini. Akal pula akan jawab, eh mana boleh balik lagi. Study tu siapa nak habiskan? Nak biar tergantung tengah jalan? Dan di saat ini, hati saya sejujurnya mengatakan, saya takkan balik, selagi impian saya tak tercapai.

Impian, sungguh stereotaip bunyinya. Tapi kalau betul-betul memahami maksud, akan terasa kesannya pada seluruh hidup kita. Benda inilah yang tak henti-henti menerjah dan memberatkan fikiran saya, sejak beberapa minggu saya di semester baru ini. Alhamdulillah, walaupun banyak ujian-ujian kecil lain yang terpaksa ditempuhi bersama keluarga, saya cukup lega dan bahagia bila akhirnya saya diberi peluang untuk study dalam bidang yang betul-betul saya minat. Akhirnya, selepas bertahun-tahun struggle mencari jalan keluar. Bidang pengajian saya tahun ini betul-betul telah membangkitkan semangat yang tersimpan jauh dalam hati sanubari. Semangat yang dah padam sebelum ini. Dan hari ini, semangat itu menyala-nyala dalam diri.

Okey, cukuplah berfalsafah. Mari kita bercakap dengan jelas dan terang pula. Semalam di facebook, admin page Redbull versi french ada bertanya secara rambang kepada semua, apakah impian anda? Mana-mana jawapan terbaik yang terpilih oleh panel juri, akan berpeluang mencapai impian tersebut dengan bantuan Redbull. Macam-macam jawapan orang bagi. Ada yang bagi jawapan cliché yang tidaklah begitu jelas pada fikiran saya, iaitu untuk hidup gembira dan bahagia. Ada yang bagi jawapan kelakar entah apa-apa - impian saya mahu melompat dari planet Marikh sampai ke planet bumi dan mendarat betul-betul di depan coffee house sambil minum kopi. Haha. Jawapan merepek macam sengaja nak kena sekeh.

Impian saya. Ish ish, malu nak cakap di sini. Harap-harap tak ramailah orang baca ya, especially orang-orang di France yang mengenali saya. Okey serious serious. Impian terbesar saya, dari sudut duniawi - saya mahu menguasai sekurang-kurangnya 7 bahasa yang paling luas digunakan dalam dunia. Buat masa ini, alhamdulillah bahasa melayu, inggeris dan perancis sudah dalam tangan. Tinggal lagi target terdekat saya - bahasa jerman, spanish, mandarin dan arab. Ini target saya, dan ini yang sedang saya usahakan sekarang. Dengan kesempitan masa yang ada, prioriti saya sekarang adalah keluarga dan pelajaran. Dua-dua pun nombor satu, tak ada tempat kedua. Dua tahun lepas, saya sempat sertai kelas bahasa jerman dan bahasa arab selama beberapa bulan. Sekarang ini pun kelas masih berjalan, peluang untuk join pun masih ada. Cuma masa saya sangat terbatas. Puas saya fikirkan kalau boleh squeeze di mana-mana celah, tapi risikonya akan kena pada suami, Aliff, atau master saya. Tak boleh macam ni. Jangan nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong bercicir jatuh.

Maka dengan kecanggihan teknologi, saya dapat sertai kelas online bahasa jerman. Alhamdulillah, setakat ini memang membantu untuk saya belajar dengan rentak sendiri. Makin belajar rasa makin seronok dan makin semangat. Susah tak payah cakaplah kan. Memang susah pun nak belajar bahasa baru. Tapi dengan minat, tak ada impian yang mustahil. Kalau tidak, takkan ada manusia yang mampu melompat dari statosfera dan jatuh secara free fall ke bumi pada hari ini. Oh tahu tak, bulu roma saya meremang sekarang bila bercakap tentang impian ini. 

Kenapa saya pilih bahasa? Kerana saya tahu, di situ tersimpan passion, kekuatan, semangat dan kelebihan saya. Saya yakin ini kelebihan yang Allah letakkan dalam diri saya. Saya tak pandai melukis dan menjahit. Dua bakat ini, saya sejujurnya amat-amat mengagumi sesiapa yang memilikinya. Saya sangatlah bermimpi saya pandai menjahit atau melukis. Tapi hakikatnya jauh sekali. Jadi selepas beberapa tahun kehidupan, saya telah temui di mana sepatutnya kekuatan saya digilap. Tak perlu mencemburui kelebihan orang lain. Cungkil dan teroka diri sendiri, dan cari benih yang Allah tanamkan. Setiap orang mesti ada, kalau cari mesti jumpa. Mesti!

Selalunya impian orang simpan sendiri-sendiri. Saya pun mula-mula begitu. Tengok nak tulis di sini malam ni pun saya segan-segan kan. Dulu asyik simpan senyap-senyap, alih-alih macam tak jadi apa-apa. Tak banyak hasil. Umur makin tua, tapi masih tak berganjak. Tetap di takuk lama. Jadi saya tukar approach. Kali ini saya akan beritahu pada orang. Supaya saya tahu untuk kembali fokus bilamana teralih perhatian. Supaya saya tahu akan ada yang sudi mengingatkan bilamana saya terlupa atau terlalu penat dengan lain-lain tanggungjawab. Harapnya begitulah. Sudi-sudilah ingatkan saya ya?

Oh ya, wahai pembaca saya yang baik budi, apa pula impian anda? Sudilah kongsikan, rugi kalau simpan. Berkarat nanti. :)

No comments:

Post a Comment