7 March 2012

Alam berdua sebelum bertiga

Cuma tinggal lagi 9 hari sebelum due date yang dinanti-nanti. Beberapa hari saja lagi, akan tamatlah perjalanan 9 bulan mengandungkan anak pertama kami. Sebetulnya saya masih dalam keadaan tak sabar-sabar nak bersalin sekarang. Tapi hati sudah redha kerana tak dapat bersalin awal seperti yang saya target. Kini cuma perlu lalui hari-hari yang tinggal sambil menikmati, merakamkan setiap gerakan si kecil supaya terus kekal dalam kenangan. Lepas ni dah tak dapat lagi rasa tendangan ganas dia di tengah-tengah malam. Tak dapat lagi excited tengok perut berombak-ombak. Semua itu pasti saya akan rindui sangat-sangat, sepertimana kawan-kawan saya yang sekarang ini merindui semula kenangan mengandung di saat melihat anak membesar di depan mata.

Waktu yang tinggal ini juga saya cuba luangkan semaksimum mungkin untuk menikmati saat indah berdua bersama suami. Selama ni masa kami untuk berdua selalu saja terbatas. Sejak berkahwin dan melalui PJJ, cuma dapat berjumpa 3-4 bulan sekali. Itupun maksimum 2 minggu, sebelum menyaksikan drama bersiri penuh airmata yang hampir sama saja setiap kali. Bila tiba bulan 5 barulah episod indah berbunga-bunga cinta datang, saya dapat pulang ke Malaysia untuk cuti musim panas, dan tinggal dengan suami di Kuala Lumpur. Waktu inilah kami mengqadha sebanyak mungkin aktiviti yang diidamkan untuk dilalui bersama. Suami akan bawa saya jalan-jalan cari makan di tempat-tempat yang telah dia senaraikan selama berbulan-bulan penantian. Kalau suami terlupa, saya pula yang tak segan-segan akan tuntut. Nak makan di Soeul Garden, Sushi King (macamkan France tak ada kedai sushi), ikan bakar, sotong celup tepung fresh dari laut, Subway (dah puas makan sandwich tuna dengan vegetarian saja), dan macam-macam lagi pe'el mengada-ngada untuk dipenuhi dengan hati yang redha.

Sejak suami berhijrah ke France untuk sambung belajar dan tinggal bersama saya sebulan lepas, alhamdulillah kami dapat lalui setiap hari bersama-sama, walaupun rutin harian kami hampir sama saja. Kadang-kadang sampai terasa bosan juga tak buat apa-apa. Kalau saya larat, saya cuba juga pergi kelas. Tapi selalunya memang duduk rumah sebab tak larat nak berjalan. Setiap hari hanya dapat berjalan maksimum 30 minit. Lepas tu dah lelah, asyik cari tempat duduk. Sekarang ni kalau keluar nak ke mana-mana, suami akan bimbit kerusi besi lipat yang tempat duduk bulat tu. Maka bolehlah saya berjalan dengan senang hati, especially bila ke supermarket nak beli barang dapur. Bila penat, almost setiap 5 minit, mulalah merengek "abang, nak duduk..." Hehe, macamanalah baby nak turun dan keluar awal, ibu asyik nak duduk saja. Entahlah. Sejak masuk 8 bulan, memang merosot sangat-sangat kadar keaktifan badan saya. Kalau dulu, walaupun dah 7 bulan mengandung, saya masih boleh berlari kejar bas. Sampai pernah kena tegur dengan ayah mertua sebab dengan suka hatinya saya berlari turun tangga dengan kandungan 29 minggu, waktu mereka datang ziarah Disember lepas.

Apa aktiviti harian kami selama hampir sebulan ni? Ringkasnya, duduk rumah saja sambil menunggu hari bersalin. Cuma saya akan pastikan setiap hari akan keluar berjalan minimum 15 minit, supaya badan tak terlalu lemau. Lemak memang sah-sah dah banyak. Bila keluar jalan-jalan ambil angin, kadang-kadang terjumpa dengan adik-adik Besancon yang jadi tempat bergantung saya sebelum kedatangan suami. Waktu dulu tu, rumah sendiri pun saya dah tak balik. Tidur rumah adik, makan pun adik-adik yang sediakan. Kadang-kadang lunch rumah lain, dinner rumah lain pula. Semua sangat helpful dan baik hati. Sampai saya rasa nak pinang seorang dua buat adik ipar. Nak jadi kakak ipar pun boleh, tak kisah walaupun lagi muda. Oh sudikah? Hehe.

Bila terjumpa adik-adik ni, sambil jalan dengan suami, kadang-kadang terbit rasa malu dan segan juga. Sebab sekarang dah tak datang rumah untuk mengadu, minta tolong dan menagih simpati. Sekarang sudah ada tempat bergantung, dah ada orang tolong masakkan setiap hari. Harap sangat adik-adik tak kecil hati. Sebab hakikatnya saya bukanlah di fasa bulan madu pun. Memanglah setiap saat bersama pasangan itu adalah bulan madu yang sangat berharga. Tapi sebenarnya hidup kami biasa-biasa saja di sini.

Aktiviti paling best bila dapat masak sama-sama, untuk makan berdua. Selalunya memang Chef Mas lah yang masak. Saya cuma duduk sebelah sambil potong-potong, pantau apa yang patut dan bagi tips masakan yang saya tahu. Sekarang suami dah terror masak sendiri. Aktiviti kedua terbest, jalan-jalan berpegangan tangan keliling bandar seround, sambil curi-curi tengok dalam pushchair orang yang lalu lalang. Punyalah kemaruk nak tengok baby. Ketiga terbest, shopping barang dapur sama-sama. Keempat terbest, uih, sampai esok pun tak habis kalau nak buat senarai. Pendek kata, biasa-biasa saja kan setiap hari? Minggu lepas cuti sekolah seminggu, tapi kami tak dapat menikmati sangat cuti tu. Sama saja cuti ke tak, saya tetap duduk rumah tak pergi kelas.

Jealous sebenarnya dengar cerita ada yang pergi Mesir, satu group lagi pergi Istanbul. Budak lelaki buat road trip ke German. Fuh, bestnya! Saya yang tergedik-gedik nak pergi Paris je pun dah kena fikir 10 kali, apatah lagi nak cross border. Walaupun Paris cuma 2 jam by train dari Besancon, dan saya yakin takkan bersalin dalam train, tapi risiko sangatlah besar untuk bersalin di Paris! Lupakan sajalah niat tu, kita duduk rumah saja tunggu baby keluar, kata suami. Memanglah best kalau lahir di situ, boleh buat rekod family; abah lahir di Cardiff, ibu lahir Los Angeles, baby lahir Paris gitu. Tak apalah baby, Besancon pun best juga.:)

Selepas sebulan hidup berdua, saya dapat perhatikan banyak perubahan corak hidup kami dan juga dalam diri saya, suami, kami berdua. Walaupun ini bukanlah kali pertama kami hidup berdua di bawah satu bumbung, tapi lain sungguh waktu di Malaysia dan di sini. Tentunya, setiap saat membawa kami lebih mengenali dan memahami, walaupun rasa macam dah cukup kenal selama 7 tahun ini. Sebelum kami memulakan hidup bersama sebulan lepas pun, bapak sangat banyak berpesan tips-tips rumahtangga. Memang lain antara hidup berjauhan dan hidup bersama. Orang selalu cakap, kalau duduk jauh-jauh, perasaan rindu sentiasa meluap-luap. Kasih sayang semakin kuat.

Tapi tak bermakna kalau hidup bersama rindu tak meluap-luap kan? Hidup bersama lagilah istimewa, sebab rindu, kasih sayang dan rasa cinta yang meluap-luap tu dapat dikongsi serta-merta. Mungkin orang akan pandang saya masih mentah untuk bercakap tentang ni. Kahwin baru nak masuk 2 tahun. Baru saja hidup bersama, semuanya masih indah. Tapi saya lebih suka untuk berpegang pada keyakinan, tiada yang lebih baik dan lebih indah untuk pasangan suami isteri melainkan hidup bersama dan berdua. Sepertimana saya sangat suka pada kata-kata Rasulullah, tiada yang lebih baik dilihat pada dua orang yang saling mencintai melainkan bernikah. Saya tak ingat sangat tapi begitulah bunyinya. Betulkan kalau saya salah.

Oh ya, saya masih ingat lagi. Seorang pakcik yang berikan kursus nikah exclusive untuk kami berdua pun berpesan, "untuk tahun-tahun pertama perkahwinan, usahakanlah untuk hidup bersama. Usahakanlah."

Nak tulis lagi tapi sambung lepas ni ya. Terasa makin sakit pula contraction ni. Adehh!

No comments:

Post a Comment