30 October 2012

Bila anak kulit gelap

Waktu Aliff mula-mula lahir dulu, sampailah sekarang, agak ramai juga yang mempersoalkan "eh, kenapa Aliff ni tak cerah sangat eh? Nini cerah, abgmas pun cerah." Awal-awal dulu, agak terasa juga. Tapi sikit jelah. Betul. Saya dan suami tak ambil hati sangat pun. Cuma mana-mana parents pun normal lah akan rasa offended sedikit kalau orang cakap negatif pasal anak kita.


Sebenarnya, bukan orang je yang pelik dan bertanya, tapi kami juga tertanya-tanya. Saya lagi-lagi lah rasa macam bersalah dekat Aliff. Mulalah saya flashback waktu 9 bulan mengandung dulu. Memang saya tak minum soya langsung, sebab tekak tak boleh terima sejak azali lagi. Dahlah tak minum soya, kuat makan kicap pula tuh! Taktahu kenapa. Tapi saya tetap minum susu, cuma taklah banyak sangat. Yang banyak saya minum, air mineral. Sehari memang tak sah kalau tak teguk 2 liter. Pergi sekolah pun bawak botol air mineral besar gabak usung ke sana-sini. Sampai cikgu pun mengusik bila saya masuk ke kelas, "La voila Marini et son bibéron..! (Itu dia Marini dan botol susunya..)". Heh cikgu, main kasar nampak.


Saya abgmas "abang dulu kecik-kecik putih ke hitam?" Cepat saja dia jawab "eh putihlah!". Haha, tahu pun takut. Yelah-yelah, kalau macamtu Nini lah yang hitam.


Memang itulah hakikatnya pun. Mak cakap, waktu saya baby dan kecil-kecil dulu, saya tak cerah. Nak kata hitam tu mungkin melampau sangat bunyinya. Tapi yang penting, memang tak cerahlah. Putih jauh sekali. Bila makin besar baru makin nampak cerah. Makin nampak genetik chinese yang saya warisi dari nenek sebelah bapak. Waktu kecil dulu, kulit agak gelap. Tapi mata tetap sepet sejak lahir. Sepet dan gelap. Macam orang dari ulu mana entah.


Sekarang ni, saya dan suami boleh gelak-gelak saja bila orang tanya tentang warna kulit Aliff. Kadang-kadang saya berseloroh, "Alah.. cakap jelah gelap. Kami tak terasa pun." Betul, kalau orang cakap anak saya gelap, saya tak terasa pun sekarang. Jujur kan, bagus apa. Jauh di dalam hati, saya sudah cukup bersyukur dengan adanya Aliff. Dengan sihatnya dia. Sejak lahir tak pernah ada masalah kesihatan yang merisaukan. Sedangkan orang lain berganda-ganda hebat diuji dengan kesihatan anak. Dengan masalah kewangan lagi. Kami alhamdulillah, di bahagian itu memang Allah lapangkan rezeki. So, what's the fuss?


Kadang-kadang, suka saja saya dan suami panggil Aliff dengan gelaran 'mon petit noir' (my little black), panggilan manja yang nounou (pengasuh) Aliff bagi. Tahu tak, di mata kita orang Malaysia, gelap itu tak cantik. Putih itu cantik, suci, comel. Tapi untuk orang di sini, warna kulit gelap mereka rasa sangat cantik! Biasalah kan, anak-anak orang sini kan memang naturally putih melepak. Bila mereka lihat sesuatu yang di luar kebiasaan, secara automatik mata akan melihat sebagai satu keindahan. Sama macam kita. Dah selalu tengok anak-anak kulit gelap atau sawo matang. Sekali kalau dapat baby putih melepak, rasa comel sangat-sangat! Tapi memang comel pun. Mana ada baby yang tak comel.


Harapnya Aliff tak kecil hati saya selalu panggil dia mon petit noir. Exagerrate sungguh ibu. Aliff tak black lah. Aliff dark and sweet aje. 

Mon petit noir at 2 months.
Elehh macamlah ibu tu cerah sangat.
Dua kali lima je!

28 October 2012

Antara anak dan studies

Kesian Aliff.

Tak sangka susah juga rupanya untuk saya menjadi ibu at the same time menjadi student sepenuh masa. Memang susah sebenarnya. Tapi, memang tak ada siapa pun kata mudah. Mak, ibu kandung saya, telah melalui pengalaman ini 25 tahun dahulu sewaktu melahirkan saya dalam tempoh pengajian di Los Angeles. Dan ternyata maklah insan yang paling sangat-sangat risaukan keadaan saya di sini. Baik sebelum kahwin, dah kahwin duduk pulak jauh dengan suami. Kemudian mengandung pulak dalam pada duduk sorang-sorang. Sekarang dah tinggal dengan suami ada seorang anak yang masih baby perlu dibelai, dimanja, diasuh dijaga, diberi makan, diberi perhatian. Dan master belum habis. Emak manalah yang tak risau. Apatah lagi emak yang pernah melalui pengalaman yang sama. Cabaran dan kesukaran yang sama, cuma zaman yang berbeza.


Abgmas pernah terluahkan, kalau kami bukan student di negara orang, let's say kedua-duanya bekerja, apakah keadaan mungkin lebih mudah? Kalau kedua-duanya bekerja di Malaysia, hampir pasti akan lebih memudahkan dari mana-mana sudut sekalipun. Tapi kalau bukan di Malaysia pun, kalau kami bekerja di France, mungkin akan lebih mudahkah sebenarnya? Entahlah ya. Sebab sekarang sebagai student, dua-dua di peringkat master, sangat banyak assignment. Tak pelik, sama saja students yang lain pun. Cuma bila balik rumah, saya masih susah untuk shut down kepala daripada memikirkan hal-hal kelas. Assignments, presentation, homework, semua menuntut fokus dan perhatian yang teliti. Memandangkan tahun ini saya teramatlah suka dengan kursus master saya, semangat yang berkobar-kobar telah membuatkan saya meletakkan studies di antara tangga yang teratas dalam prioriti hidup saya, buat masa ini.


Of course, Aliff dan keluarga saya bukanlah di tangga yang lebih bawah. Tidak langsung. Kalau boleh diibaratkan, macam dua-dua berada di tempat nombor satu.  Tak ada nombor dua. Hendak membahagikan masa, tenaga dan perhatian dan sewajarnya kepada kedua-dua tuntutan inilah yang sukar sebenarnya. Saya ada banyak target yang perlu dicapai tahun ini. Target yang saya laburkan banyak usaha dan pengorbanan ke arahnya.  


Malam tadi saya dan suami dua-dua kesibukan bekerja di depan laptop masing-masing. Saya dengan presentation penting yang bakal menjelang lagi beberapa minggu, dan Abgmas dengan assignment yang perlu disiapkan selewat-lewatnya esok. Saya mencari port di atas sofa, Abgmas di meja study cuma bersebelahan dengan ruang tamu. Sementara Aliff kami biarkan meniarap di atas lantai beralaskan comforter usang kami yang masih berjasa sementara menunggu kelapangan untuk membeli sebidang carpet. 


Sesekali Aliff merengek minta perhatian. Merengek kerana tersepit di tepi sofa. Saya angkat dan letakkan semula atas comforter. Switch on channel BabyTV. Nah Aliff, tengok TV ye, duduk diam-diam, ibu dengan abah nak buat kerja ni. Aliff mula-mula patuh, tengok babytv kegemarannya. Tapi tak sampai 10 minit dia ligat bergerak semula. Saya sesekali monitor dari balik skrin, takut-takut ada apa-apa yang berbahaya di atas lantai. Pantang jumpa apa-apa, laju saja si kecik tu akan masukkan dalam mulutnya. 

Aliff merengek lagi. Tinggal saya seorang di ruang tamu. Abgmas ke dapur sedang siapkan dinner untuk kami. Kejap ye Aliff, ibu nak siapkan sikit lagi ni. Okey, rengekan berhenti. Lega. Fokus saya pada skrin laptop tetap tak berganjak. Tak sampai seminit, Aliff merengek lagi, kali ini lebih kuat. Saya tergerak hati menjeling ke arahnya, dan terbeliak anak mata saya melihat Aliff yang disayangi kini tersepit pula di bawah ampaian, bersebelahan tingkap.


Tersepit sikit saja, tak ada apa-apa luka atau cedera. Cuma membimbangkan sebab ampaian itu bukannya kukuh dan stabil sangat. Kalau tersilap kaki Aliff terlanggar, boleh runtuh ampaian itu atas tubuh kecil Aliff. Na'uzubillah, semoga Allah terus memelihara Aliff dari segala bahaya. Seperti biasa saya letakkan semula Aliff berbaring di atas comforter, kepala beralaskan bantal. Then waktu itulah tiba-tiba saya terdetik, eh macamana Aliff boleh sampai ke bawah ampaian? Untuk baby 7 bulan yang baru pandai mengengsot ke belakang, bukannya dekat jaraknya tu.


Lantas saya biarkan kerja di komputer, dan perhatikan Aliff senyap-senyap. Ya Allah, rupanya Aliff dah boleh merangkak! Posisinya bergerak bukan lagi seperti sebelum ini, sambil meniarap di atas lantai sambil mengengsot, tapi dengan gaya hampir duduk! Tangannya sudah kuat untuk laju menapak. Cuma Aliff masih belum berani untuk bergerak maju ke depan, selepas beberapa kali percubaan yang berakhir dengan tersungkur muka ke lantai. Kesian anak ibu menangis sakit tertomoih di lantai.


Walaupun cuma mampu bergerak mengundur ke belakang, dan pusing ke tepi, tak ada hal lah! Aliff tetap mampu menjelajah satu rumah sambil tertonggek-tonggek begitu. Sekarang ini dengan belum merangkak ke hadapan pun, satu ruang tamu telah jatuh ke jajahan Aliff. Saya perlu bersiap sedia menutup pintu dapur bermula sekarang. In no time saja Aliff akan berani merangkak ke depan pula. Waktu it entah-entah pintu dapur pun Aliff mampu tolak dengan sebelah tangan. 


Dan saya lagi tak boleh bayangkan bilamana Aliff dah boleh berjalan lagi beberapa bulan. Mungkin saya perlu mula melengkapkan diri dengan kemahiran study sambil berlari. Oh, just wait and see.


The latest, di hadapan teratak kecil kami.
Sederhana dan tak seberapa, tapi sempurna.
Alhamdulillah.

20 October 2012

Bercakap tentang impian

Pertamanya, saya nak ucap terima kasihlah banyak-banyak pada yang sudi berikan komen pada entri saya baru-baru ni. Bila baca beberapa komen yang masuk, saya terharu, terkejut dan nak tergelak pun ada. Seriously tak sangka ada orang baca lagi blog ini. Ingatkan kali ini memang nak tulis senyap-senyap, tak nak bagitahu orang pun saya ada update blog. Kalau dulu, setiap kali update mesti akan share link di facebook. Tapi since  masyarakat di FB dah berduyun-duyun jadi kawan, macam malulah pulak. Lagipun bila tak ramai orang baca, boleh kita cerita detail sikit kan. Tak payah tapis sangat. Tak payah susah-susah hati nak jaga hati siapa-siapa, atau takut tersinggung mana-mana pihak. Pendek kata, sekarang saya rasa bebas! Siapa-siapa yang tahu dan ikuti saya di sini, andalah kawan baik saya di sini, insyaAllah.

Aliff baru mencecah 7 bulan beberapa hari lepas. Oh ye, nanti saya uploadkan gambar Aliff di sini ok. Ada beribu-ribu gambar Aliff dalam handphone saya, entah bila nak transfer masuk harddisk pun tak tahulah. Aliff belum officially merangkak, tapi kami menjangkakan tak lama lagi dah tu. Sekarang asyiklah tertonggek-tonggek praktis tegakkan kaki dan tangan. So far nampaknya tangan dah kuat. Siap boleh angkat sebelah tangan lagi sambil dalam posisi merangkak. Mengengsot memang laju, tapi ke belakanglah. Kebanyakan baby pun memang start dengan mengundur dulu kan. Tak apa, saya tak risau langsung tentang perkembangan Aliff. Biarlah dia tak secepat anak sesiapa. Saya mengandung dan lahirkan dia susah payah bukan untuk tunjuk pada semua orang anak saya hebat, cepat, berat, atau apa-apa lagi ukuran kesempurnaan bayi yang selalu kita harapkan. Cukuplah Aliff membesar dengan baik dan sihat. Itu sudah cukup besar nikmat buat kami. Take ur own sweet time baby.

Sepanjang minggu lepas, fikiran saya sarat memikirkan tentang masa depan. Masa depan saya, suami, kami sekeluarga. Orang selalu tanya, sampai bila nak duduk France? Tak rindu malaysia ke? Kalau saya tak rindu malaysia, takkan setiap tahun saya balik kan. Sebenarnya kan, saya pun tak tahu jawapan apa yang terbaik untuk soalan ini. Kalau tanya pada anggota badan ni, uhh ya Allah, dah muaklah duduk di sini. Akal pula akan jawab, eh mana boleh balik lagi. Study tu siapa nak habiskan? Nak biar tergantung tengah jalan? Dan di saat ini, hati saya sejujurnya mengatakan, saya takkan balik, selagi impian saya tak tercapai.

Impian, sungguh stereotaip bunyinya. Tapi kalau betul-betul memahami maksud, akan terasa kesannya pada seluruh hidup kita. Benda inilah yang tak henti-henti menerjah dan memberatkan fikiran saya, sejak beberapa minggu saya di semester baru ini. Alhamdulillah, walaupun banyak ujian-ujian kecil lain yang terpaksa ditempuhi bersama keluarga, saya cukup lega dan bahagia bila akhirnya saya diberi peluang untuk study dalam bidang yang betul-betul saya minat. Akhirnya, selepas bertahun-tahun struggle mencari jalan keluar. Bidang pengajian saya tahun ini betul-betul telah membangkitkan semangat yang tersimpan jauh dalam hati sanubari. Semangat yang dah padam sebelum ini. Dan hari ini, semangat itu menyala-nyala dalam diri.

Okey, cukuplah berfalsafah. Mari kita bercakap dengan jelas dan terang pula. Semalam di facebook, admin page Redbull versi french ada bertanya secara rambang kepada semua, apakah impian anda? Mana-mana jawapan terbaik yang terpilih oleh panel juri, akan berpeluang mencapai impian tersebut dengan bantuan Redbull. Macam-macam jawapan orang bagi. Ada yang bagi jawapan cliché yang tidaklah begitu jelas pada fikiran saya, iaitu untuk hidup gembira dan bahagia. Ada yang bagi jawapan kelakar entah apa-apa - impian saya mahu melompat dari planet Marikh sampai ke planet bumi dan mendarat betul-betul di depan coffee house sambil minum kopi. Haha. Jawapan merepek macam sengaja nak kena sekeh.

Impian saya. Ish ish, malu nak cakap di sini. Harap-harap tak ramailah orang baca ya, especially orang-orang di France yang mengenali saya. Okey serious serious. Impian terbesar saya, dari sudut duniawi - saya mahu menguasai sekurang-kurangnya 7 bahasa yang paling luas digunakan dalam dunia. Buat masa ini, alhamdulillah bahasa melayu, inggeris dan perancis sudah dalam tangan. Tinggal lagi target terdekat saya - bahasa jerman, spanish, mandarin dan arab. Ini target saya, dan ini yang sedang saya usahakan sekarang. Dengan kesempitan masa yang ada, prioriti saya sekarang adalah keluarga dan pelajaran. Dua-dua pun nombor satu, tak ada tempat kedua. Dua tahun lepas, saya sempat sertai kelas bahasa jerman dan bahasa arab selama beberapa bulan. Sekarang ini pun kelas masih berjalan, peluang untuk join pun masih ada. Cuma masa saya sangat terbatas. Puas saya fikirkan kalau boleh squeeze di mana-mana celah, tapi risikonya akan kena pada suami, Aliff, atau master saya. Tak boleh macam ni. Jangan nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong bercicir jatuh.

Maka dengan kecanggihan teknologi, saya dapat sertai kelas online bahasa jerman. Alhamdulillah, setakat ini memang membantu untuk saya belajar dengan rentak sendiri. Makin belajar rasa makin seronok dan makin semangat. Susah tak payah cakaplah kan. Memang susah pun nak belajar bahasa baru. Tapi dengan minat, tak ada impian yang mustahil. Kalau tidak, takkan ada manusia yang mampu melompat dari statosfera dan jatuh secara free fall ke bumi pada hari ini. Oh tahu tak, bulu roma saya meremang sekarang bila bercakap tentang impian ini. 

Kenapa saya pilih bahasa? Kerana saya tahu, di situ tersimpan passion, kekuatan, semangat dan kelebihan saya. Saya yakin ini kelebihan yang Allah letakkan dalam diri saya. Saya tak pandai melukis dan menjahit. Dua bakat ini, saya sejujurnya amat-amat mengagumi sesiapa yang memilikinya. Saya sangatlah bermimpi saya pandai menjahit atau melukis. Tapi hakikatnya jauh sekali. Jadi selepas beberapa tahun kehidupan, saya telah temui di mana sepatutnya kekuatan saya digilap. Tak perlu mencemburui kelebihan orang lain. Cungkil dan teroka diri sendiri, dan cari benih yang Allah tanamkan. Setiap orang mesti ada, kalau cari mesti jumpa. Mesti!

Selalunya impian orang simpan sendiri-sendiri. Saya pun mula-mula begitu. Tengok nak tulis di sini malam ni pun saya segan-segan kan. Dulu asyik simpan senyap-senyap, alih-alih macam tak jadi apa-apa. Tak banyak hasil. Umur makin tua, tapi masih tak berganjak. Tetap di takuk lama. Jadi saya tukar approach. Kali ini saya akan beritahu pada orang. Supaya saya tahu untuk kembali fokus bilamana teralih perhatian. Supaya saya tahu akan ada yang sudi mengingatkan bilamana saya terlupa atau terlalu penat dengan lain-lain tanggungjawab. Harapnya begitulah. Sudi-sudilah ingatkan saya ya?

Oh ya, wahai pembaca saya yang baik budi, apa pula impian anda? Sudilah kongsikan, rugi kalau simpan. Berkarat nanti. :)

12 October 2012

Cabaran hidup baru

Alhamdulillah. Buat siapa-siapa yang masih tak tahu, saya dan suami kini sedang sama-sama sambung belajar di France. Sama-sama kini di peringkat Master. Ini impian bersama kami sejak bertahun yang lalu. Saya mula kenal Abgmas pada Jun 2005. Masuk bulan Ogos sudah masuk fasa serious relationship. Sudah beritahu mak bapak. Bulan September Abgmas bertemu mak bapak untuk sesi interview. Hehe. Akhir bulan 9, terus saya diterbangkan ke France untuk melanjutkan pelajaran selama 7 tahun dalam bidang Engineering. Waktu tu saya 18 tahun. Masih muda-muda remaja gitu. Sejak saya fly itulah, kami berdua berusaha sungguh-sungguh cari jalan supaya dapat sama-sama belajar di France. Semata-mata nak mendapatkan tiket kahwin awal. Bapak bagi syarat, kalau dapat sama-sama di France, ataupun di Europe tak kisahlah di mana sekalipun, boleh kahwin! Weeehuw!


Tapi tak semudah yang disangka. Sangat tak mudah. Alih-alih kahwin juga selepas 5 tahun sudah serious, alhamdulillah dengan keizinan Allah. Itupun kahwin dalam keadaan tak memenuhi syarat perjanjian dengan bapak, masih hidup berjauhan France-Malaysia. Oh, seksanya perasaan waktu tu, tak payahlah diungkitkan. Asyik menangis saja, cengeng betul. Semua kenangan itu banyak tersimpan kemas dalam entry-entry saya di sini. Sekarang tinggal banyak kenangan untuk disenyum-senyumkan. Setahun setengah jugalah kami melalui perkahwinan jarak jauh itu. Dan dengan kuasa Allah, tanpa apa-apa perancangan, kehadiran Aliff mengubah segala-galanya. MasyaAllah, kami berdua sampai sekarang masih takjub dan kagum dengan cantiknya susunan perancangan Tuhan. Tiba-tiba saja urusan kami dipermudahkan. Semua laluan tiba-tiba terbentang luas, dan memang dipermudahkan! Bayangkan ya. Bulan Disember 2011 Abgmas nekad dengan keputusan untuk sambung belajar di sini tahun ini. Bulan Februari 2012 Abgmas sudah boleh terbang ke sini, dengan title student. Semua urusan permohonan cuti, permohonan visa, permohonan Master di Business School Dijon, semuanya selesai dalam masa sebulan saja!


Alhamdulillah.

Kalau dulu hidup berjauhan, cabaran dari segi perasaan dan mental sangat menguji. Bila kini hidup bersama, cabaran lain pula yang datang mengasak. Adatlah, selagi hidup selagi itulah ada cabaran kan. Sekarang kami melalui pengalaman baru, diuji dari sudut pengurusan masa, kewangan, fizikal, mental, rohani. Semua datang satu pakejlah. Orang dari luar yang melihat, mungkin akan nampak bahagia dan indahnya hidup saya. Diulit kasih sayang suami dan anak di sisi. Hakikatnya, kami berhempas-pulas dengan ujian-ujian yang baru. Tapi syukur, saya tetap merasa bahagia dan indahnya hidup. Saya tetap merasa bersyukur diberi peluang merasai suasana hidup baru yang penuh cabaran ini.


Walau banyak mana sekalipun ujian, tak boleh menandingi limpahan nikmat yang Allah beri percuma. Memang, saya kini tak boleh berbelanja suka-suka hati macam dulu. Setiap kali cek akaun bank, rasa macam malu dan takut sangat-sangat nak tengok jumlah yang tinggal. Tidur 6jam waktu malam terasa satu luxury. Tak ada lagi peluang nak memanjang-manjangkan tidur lepas subuh. Nak study dan buat assignment, kena bergilir dengan suami. Pagi turn saya, suami jaga anak dan tolong masak. Petang suami pula di meja study. Saya layan Aliff. Bekalan tenaga untuk seminggu selalu tak cukup. Banyak yang drain energy keluar setiap hari. Berjalan kaki 2km sehari, mengepam susu, tidur malam tak pernah uninterrupted. Baru masuk hari rabu saya dah melepek terbaring atas lantai, sambil supervise Aliff yang kini lasak mengengsot di sekeliling rumah. Memang sekarang kami tak perlu mop lantai rumah sebab Aliff yang akan mop setiap hari. Bukan main laju dia mengengsot. Tak dapat saya bayangkan macamana kalau dia dah mula merangkak nanti. Rasanya dah tak lama lagi pun.


Itu kalau nak cakap tentang cabaran. Tapi kalau nak sebut tentang nikmat yang kami rasakan, lagi tak terbilang! Kami bertuah kerana dipertemukan dengan pengasuh yang sangat baik untuk Aliff. Sehinggakan saya dan suami tenang bila tinggalkan Aliff di tangannya. Dan pastinya, tawakkal pada Allah mengatasi rasa kepercayaan kami pada pengasuh Aliff yang digelar Nounou di sini. Kerana rasa tenang itu, saya dapat tumpukan perhatian 150% dalam kelas setiap hari. Tak pernah saya sefokus ini, sepanjang 7 tahun saya belajar di France. Kalau tahun-tahun sebelum ini, dalam kelas pun saya asyik menjeling handphone, sambil senyap-senyap message suami di Malaysia. Rindu maut punya pasal. Sekarang, tak lagi. Habis kelas selama 4jam, barulah saya teringat handphone. Bila sharing dengan Abgmas, rupanya dia juga begitu. Kelas yang sangat engaging telah ambil kesemua fokus dan perhatiannya. Tak ada kerisauan tentang apa-apa. Kerinduan pada anak isteri semua tersimpan sekejap dalam hati, memberi laluan kepada akal dan fizikal untuk berfungsi dengan kadar maksima.


Bila tamat saja kelas setiap hari, tak adalah yang lebih membahagiakan selain menantikan saat-saat bertemu Aliff. Oh tak dapat digambarkan perasaan itu. Laju saja kaki melangkah keluar universiti, tersenyum-senyum seorang diri. Terasa berbaloinya mengekang perasaan rindu selama 8jam kelas, untuk savour the moment dengan anakanda si jantung hati di senja hari. Sumpah, sangat membahagiakan perasaan itu. Lenyap segala masalah kami tentang penat, duit, urusan admin yang banyak tertunggak, assignment, semuanya. Sesiapa yang bergelar ibu atau ayah pasti sangat memahami perasaan ini kan.


Doa saya, semoga Allah terus menguatkan kebergantungan kami pada taliNya, menguatkan keyakinan kami pada kekuasaanNya. Walaupun jauh di sudut hati, saya sangat runsing sekarang memikirkan satu-persatu hal yang banyak tak selesai - dan kerana itulah saya menulis malam ini, saya sangat yakin semuanya akan kembali normal seperti sedia kala. Sooner or later. Tak ada masalah yang tak dapat selesai. Saya cuma perlu merombak semula pengurusan diri untuk menjadi pengurus rumahtangga yang terbaik untuk keluarga tercinta.

Saya tak terlalu risau akan terhadnya kewangan, sebab itu memang rezeki direct dari Allah. Minta saja pada Dia, doa banyak-banyak, pasti tak akan kecewa. Apatah lagi bila dalam kekurangan sumber hidup - makanan atau duit misalannya, manusia memang naturally akan berusaha mencari sumber itu dari segenap arah. Bila dicari dengan bersungguh, pasti akan jumpa. Saya cuma sangat risau melihatkan banyak urusan tak terlangsai. Kerana itu petanda lemahnya pengurusan diri saya. Ubatnya cuma satu, perubahan diri secara berterusan konsisten. Dan itu memerlukan kekuatan dalaman dan kemahuan yang kuat, tidak hadir secara alami seperti mencari makanan di waktu lapar. 


Semoga Allah melapangkan urusan dan menunjukkan jalan kehidupan yang sebenar untuk kita semua. InsyaAllah.

p/s : Saya sangat sukakan template baru ini. Simple seperti menulis di kertas A4 saja. 

6 October 2012

A comeback

Alhamdulillah, malam ini saya diberi ruang masa untuk menulis semula di sini. Walaupun jam dah menunjukkan pukul 11.30 malam, dan saya sepatutnya sudah bersiap-siap untuk tidur, tak kisahlah. Saya tetap mahu menulis sedikit di sini. I've been missing this Destiny so much! Setiap masa pun teringat-ingat. Tapi diri saya masih lagi struggle membahagikan masa antara studies, anak, dan suami. Oh hidupku sekarang, macam tak percaya. Lain benar dengan 2 tahun lepas. Kelam-kabut saya dibuatnya.

Sejak hari ahad lepas, Aliff sangat banyak merengek dan menangis. Semua serba tak kena. Mula-mula kami ingatkan nak tumbuh gigi, tapi tak nampak macam dia gatal-gatal gusi pun. Hari isnin hantar ke rumah nounou (pengasuh), nounou cakap Aliff menangis meraung-raung selama setengah jam sebelum tidur. Hari selasa pun sama. Rabu pun menangis lagi. Alih-alih seminggu dia asyik menangis di rumah nounou. Padahal minggu lepas Aliff sangat baik dengan nounou. 

Bukan di rumah nounou saja, dengan kami di rumah sendiri pun Aliff tetap cranky. Setiap malam sepanjang minggu ni kami bangun tidur dengan rasa tak puas tidur. Badan pun sakit. Semua gara-gara Aliff taknak tidur sendiri dalam katil dia. Nak jugak menyelit celah-celah kami. Padahal katil dia cuma sebelah saya, tak sampai sejengkal pun. Tengah-tengah malam menangis menjerit-jerit nak susu. Luar biasa sungguh cara dia meraung, sampai stress kami. Kalau lambat disua susu, ditarik-tarik baju saya sambil nganga mulut. Dan tertidurlah dia sampai ke pagi sambil tak lepas pun susu keemasan dia. Alih-alih saya yang bangun pagi dengan bad mood tak cukup tidur dan sakit belakang sebab tidur mengiring tak bergerak berjam-jam.

The best part is minggu lepas adalah minggu paling busy untuk saya dan suami, sepanjang bulan Oktober ni. Abgmas setiap pagi keluar rumah pukul 6.30 pagi, takut tertinggal train ke Dijon. Sedangkan kelas pukul 9.30 pagi. Balik rumah pula paling awal akan sampai pukul 8 malam, walaupun kelas habis pukul 5. Walaupun Dijon dengan Besancon taklah jauh mana, cuma 100km, dan train cuma sejam setengah, tapi bila campur tolak dengan waktu berjalan kaki semua, hampir 3 jam jugalah suamiku terpaksa on the go. Kesian abgmas.

Kelas saya pun penuh juga, cuma taklah sehectic abgmas. Disebabkan suami keluar rumah gelap, balik rumah pun dah gelap, semua urusan Aliff pun tergalas atas bahu saya. Mandi, pakai baju, susukan, tidurkan, hantar ke nounou, fetch selepas kelas, dan ulang semula proses di atas. Tak termasuk mengepam susu lagi. Fuh. Nampak macam biasa tapi penatnya ya ampun! Sudahlah dari rumah nounou saya perlu berjalan kaki setengah kilometer untuk ke bus-stop. Balik dari rumah nounou pun saya berjalan kaki juga balik rumah (sebab taknak buang masa tunggu bus yang selalu lambat), itu pula 800meter. Bila kira-kira, setiap hari saya berjalan memang tak kurang 2km. Dengan tak makan supplemen, makan pun kadang-kadang ke laut, hari khamis saya dah pancit. Nounou pun kata saya nampak pucat sangat. Dan hari jumaat, mujur saya tak ada kelas sepanjang hari, saya bantai tidur dengan Aliff sampai tengahari.

Alhamdulillah, sekarang rasanya dah regain energy. Tak sabar nak kemas rumah dan memasak pula esok. Hari ini terpaksa dikhaskan untuk shopping barang-barang rumah sebab esok semua kedai tutup. Petang esok boleh jalan-jalan ambil angin sambil try kasut baru. Hehe. Punyalah lasak saya minggu lepas sampai sandal boleh ttiba-tiba terkoyak rabak tengah jalan. Itu baru hari Selasa. Tapi sebab memikirkan tak ada masa untuk beli kasut baru sebelum weekend, saya bantai juga pakai kasut koyak itu dengan stapler sepanjang-panjangnya. Dapatlah juga bertahan saya pakai sampai pagi tadi, walaupun stapler pun dah terkeluar-keluar. Last-last abgmas mengucapkan kata-kata hikmat pada saya, "Nini, nah ambil ni, abang belanja. Ambillah mana-mana kasut, beli terus. Tak kisahlah. Abang dah malu sangat tengok Nini pakai kasut stapler ni."

Hehe. That is plain me. Tak suka beli kasut, tak minat kasut. Sepanjang hidup memang hanya ada satu kasut pada satu masa. Pakai sampai lunyai, sampai dah tak boleh pakai, baru beli baru!

7 March 2012

False alarm lagi

Alhamdulillah, contraction yang mengganggu saya tulis entri petang tadi dah berhenti. Lamalah juga, sejak pukul 3 petang lagi sebenarnya. Berlarutan sampai ke malam. Regular, setiap 4-5 minit, cuma tak berapa sakit. Kadang-kadang saja saya mengerang bila sakit memuncak. Sekarang dah berselang 20 minit. Memang false alarm lah. Nasib baik tak terburu-buru pergi hospital. Walaupun jarak rumah saya dengan hospital cuma 10 minit jalan kaki, tapi tak sanggup rasanya nak lalui rasa kecewa kalau disuruh pulang selepas datang dengan harapan. Lebih baik habiskan masa tu baca surah Maryam ke, exercise atas bola pregnancy ke, buat latihan push ke, makan aiskrim Ben&Jerry ke. Lagi berfaedah. Ben&Jerry pun dah habis sekotak. Esok boleh beli flavour baru.

Setiap hari saya membayangkan macamana hari kejadian nanti. Apalah agaknya yang Allah takdirkan untuk saya ya. Jangan tak tahu, saya pun ada impian untuk hari bersalin yang ideal. Kalau boleh, biar turun tanda di rumah. Selalunya akan bermula dengan keluar stain darah. Kalau boleh juga, saya nak minta pada Allah supaya air ketuban pun pecah sendiri di rumah. Lepas tu boleh panik sambil senyum-senyum dengan suami sambil siapkan beg (oh ya, beg saya belum habis letak baju lagi!). Kalau dah pecah air ketuban, memang sangat-sangat nak dekat bersalin dah, mak cakap. Lepas tu jalan kaki sama-sama pergi hospital. No way dah nak berlengah-lengah di rumah. Midwife cakap, kalau pecah je air ketuban, dalam masa sejam kena terus sampai hospital. Kalau tidak, risiko baby kena infection sangat tinggi. Tapi merepeklah nak jalan kaki lagi. Dengan air yang turun mengalir macam air terjun, ada hati lagi nak jalan kaki. Nanti apa orang ingat, kencing dalam seluar ke makcik ni.

Lepas tu sampai hospital dah dilated. Lepas tu sakit contraction sampai nak patah pinggang. Tak lama lepas tu push 3-4 kali baby pun keluar uweek uweek. Lepas tu peluk baby ketat-ketat dalam dakapan taknak lepas. Lepas tu dapat call dari mak bapak mama baba di Malaysia. Lepas tu update gambar baby dalam facebook. Lepas tu three. Habis dah mimpi.

Banyak sungguh lepas tu. Banyaklah kau punya hari bersalin yang ideal Nini. Kalau macam tu mesti ramai orang tak kisah kena bersalin setiap tahun. Saya tahu, realitinya tak semudah itu. Jauh lagi sakit dan menguji. Tak terbayang dek akal sakitnya, sampai Allah boleh janjikan ganjaran terhapus semua dosa untuk ibu yang bersalin. Macam dilahirkan semula, putih bersih dari dosa. Bertuahnya jadi wanita. Sudahlah dapat hadiah newborn, diri sendiri pun Allah lahirkan semula sebagai reborn.

Hari ni pecah rekod. Pertama, langsung tak keluar rumah. Padahal baru petang tadi saya tulis entri yang setiap hari kami mesti keluar berjalan ambil angin 15 minit. Macamana nak keluar, contraction sepanjang petang. Walaupun taklah sakit sangat sampai meringkuk berguling atas katil, tapi sampai mengaduh-aduh jugalah saya. Berjalan nak ke dapur pun terbongkok-bongkok sambil tampung perut yang makin hari makin jatuh. Rekod kedua, disebabkan langsung tak keluar, maka pengaliran wang keluar adalah zero. Makan semua masak sendiri, dari breakfast, lunch sampai dinner. Tapi janganlah tanya siapa yang masak, jatuh air muka saya sebagai perempuan nak jawab. Paham-paham sajalah. Heyyy tapi 2 hari lepas saya masak nasi lemak tau. (Nak jugak bagitahu.)

Maka hari ini, tak ada beli cookies di Subway. Tak ada beli donat coklat di restoran fastfood Quick. Tak ada duduk-duduk saja melepak minum Capuccino di kedai kopi. Yang ada cuma habiskan sebekas aiskrim Strawberry Cheesecake Ben&Jerry. Tak boleh tidak, setiap hari mesti memenuhi keperluan dan tuntutan badan terhadap gula. Dah jadi wajibul-ghunnah. Tapi kira okeylah, tak ada keluar duit sesen pun hari ni. Suami pun ucapkan syabas pada saya tadi. Oh, terima kasih abang. Terharu.

Dulu saya sangat memilih bab makan. Nak yang sedap di tekak aje. Bertentangan dengan suami yang langsung tak kisah pasal makan. Semua dia makan, sedap atau tak, tak pernah komen. Prinsip suami, kita tak tahu bila kita tak akan ada makanan. Jadi sementara ada makanan sekarang, makan sajalah.

Tapi selepas 30 hari hidup berdua, alhamdulillah, saya dapat rasakan sifat suami mula berjangkit kepada saya. Sedap atau tak dah jadi soal kedua, ketiga, keempat. Bila lapar, ada saja makanan depan mata, tak kisah favourite atau tak, bismillah, makan. Makan sampai habis pula tu. Sangatlah bukan saya sebelum ni. Bila masak apa-apa, jadi atau tidak, makan juga. Tetap habiskan. Terasa sayang nk buang apa-apa lebihan makanan dalam tong sampah. Tambah-tambah di saat krisis dunia yang tak sudah, di mana-mana pun ada orang yang sangat kelaparan.

Sebenarnya, tak payah pergi jauh-jauh pun, tak payah pergi sampai ke timur tengah untuk muhasabah soal makan ni. Depan rumah saya sendiri setiap hari ada orang-orang tanpa rumah yang tidur di tepi-tepi jalan, bertemankan anjing-anjing mereka yang kadang-kadang bising dan menguji kesabaran. Setiap hari saya tengok mereka makan baguette saja. Itu belum lagi kalau cuaca tengah sejuk dan suhu jatuh sampai -15. Macam 3 minggu lepas. Boleh menangis tengok mereka dari tingkap rumah. Selesanya rumah sendiri, sedapnya ada heater, ada makanan bertimbun dalam peti, ada air panas untuk mandi. Haa, kan saya dah masuk mode ustazah pilihan ni.

Tengahari tadi kami makan nasi goreng lebihan masak waktu breakfast. Nasi pun lebihan 3 hari lepas. Alhamdulillah masih elok. Alhamdulillah habis juga nasi. Tak ada sebutir pun masuk tong sampah atau singki. Untuk dinner masak nasi baru dengan lauk baru. Ala kadar saja. Tapi bila dimasak dan makan berdua, jadi sangat sedap dan istimewa. Bak kata suami, boleh gugur bulu hidung. Yelah tu.

Kadang-kadang, bila makan nasi atau lauk lebihan sebelumnya, terasa sangat sikit. Selalu saya tanya suami, "eh cukup ke ni bang? Nampak sikit je ni. Kita masak lainlah." Tergaru-garu perut saya dibuatnya, risau sungguh tak cukup untuk kami bertiga (yang dalam perut jangan dilupa). Tapi setiap kali, memang kami akan kagum bila makanan yang nampak sikit dan merisaukan tu sebenarnya sangat cukup, malah lebih lagi! Cukup kenyang untuk kami berdua, tak perlu tambah pun. Pelik juga saya dengan diri sendiri, selalunya saya seorang saja makan 3 kali tambah. Alhamdulillah, moga-moga inilah berkat yang Allah turunkan. Yang sikit jadi banyak dan cukup.

Banyak berkat Allah yang turun bila bernikah. Lagi banyak berkat yang turun bila hidup bersama suami isteri. Itu baru berkat kan, belum lagi rahmat dan kasih sayang Allah.

Alhamdulillah, perjalanan 30 hari yang dilalui berdua setakat ini cukup banyak mengajar. Dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar perkara. Setiap hari belajar ilmu dan kemahiran hidup yang baru. Setiap hari ada saja yang buat kami amazed. Rasa tenang, bahagia, dan seronok tu jangan tanyalah. Sampaikan ikat plastik sampah dapur pun buat kami rasa seronok. Seronok tengok yang dibuang memang betul-betul sampah, bukan yang disampahkan saja-saja. Seronok tengok plastik betul-betul penuh dan berbaloi untuk dicampak masuk tong sampah di bawah rumah. Buang sekotak penuh botol-botol plastik untuk recycle pun rasa seronok. Rasa berjasa pada alam. Haha, apelah. Semua benda pun nak seronok ke? Betullah. Bukan setakat seronok. Dua ronok, tiga ronok, beronok-ronok... Sorry sorry, merepek lagi. Pengaruh suami sebagai teman tak sebaya sangat kuat meracuni pemikiran saya. Ish².

Tidurlah. Esok kita tengok apa pula yang boleh diseronokkan sama-sama.


Disember 2011
Honeymoon bersama mama baba.
Paris-Colmar-Interlaken

Alam berdua sebelum bertiga

Cuma tinggal lagi 9 hari sebelum due date yang dinanti-nanti. Beberapa hari saja lagi, akan tamatlah perjalanan 9 bulan mengandungkan anak pertama kami. Sebetulnya saya masih dalam keadaan tak sabar-sabar nak bersalin sekarang. Tapi hati sudah redha kerana tak dapat bersalin awal seperti yang saya target. Kini cuma perlu lalui hari-hari yang tinggal sambil menikmati, merakamkan setiap gerakan si kecil supaya terus kekal dalam kenangan. Lepas ni dah tak dapat lagi rasa tendangan ganas dia di tengah-tengah malam. Tak dapat lagi excited tengok perut berombak-ombak. Semua itu pasti saya akan rindui sangat-sangat, sepertimana kawan-kawan saya yang sekarang ini merindui semula kenangan mengandung di saat melihat anak membesar di depan mata.

Waktu yang tinggal ini juga saya cuba luangkan semaksimum mungkin untuk menikmati saat indah berdua bersama suami. Selama ni masa kami untuk berdua selalu saja terbatas. Sejak berkahwin dan melalui PJJ, cuma dapat berjumpa 3-4 bulan sekali. Itupun maksimum 2 minggu, sebelum menyaksikan drama bersiri penuh airmata yang hampir sama saja setiap kali. Bila tiba bulan 5 barulah episod indah berbunga-bunga cinta datang, saya dapat pulang ke Malaysia untuk cuti musim panas, dan tinggal dengan suami di Kuala Lumpur. Waktu inilah kami mengqadha sebanyak mungkin aktiviti yang diidamkan untuk dilalui bersama. Suami akan bawa saya jalan-jalan cari makan di tempat-tempat yang telah dia senaraikan selama berbulan-bulan penantian. Kalau suami terlupa, saya pula yang tak segan-segan akan tuntut. Nak makan di Soeul Garden, Sushi King (macamkan France tak ada kedai sushi), ikan bakar, sotong celup tepung fresh dari laut, Subway (dah puas makan sandwich tuna dengan vegetarian saja), dan macam-macam lagi pe'el mengada-ngada untuk dipenuhi dengan hati yang redha.

Sejak suami berhijrah ke France untuk sambung belajar dan tinggal bersama saya sebulan lepas, alhamdulillah kami dapat lalui setiap hari bersama-sama, walaupun rutin harian kami hampir sama saja. Kadang-kadang sampai terasa bosan juga tak buat apa-apa. Kalau saya larat, saya cuba juga pergi kelas. Tapi selalunya memang duduk rumah sebab tak larat nak berjalan. Setiap hari hanya dapat berjalan maksimum 30 minit. Lepas tu dah lelah, asyik cari tempat duduk. Sekarang ni kalau keluar nak ke mana-mana, suami akan bimbit kerusi besi lipat yang tempat duduk bulat tu. Maka bolehlah saya berjalan dengan senang hati, especially bila ke supermarket nak beli barang dapur. Bila penat, almost setiap 5 minit, mulalah merengek "abang, nak duduk..." Hehe, macamanalah baby nak turun dan keluar awal, ibu asyik nak duduk saja. Entahlah. Sejak masuk 8 bulan, memang merosot sangat-sangat kadar keaktifan badan saya. Kalau dulu, walaupun dah 7 bulan mengandung, saya masih boleh berlari kejar bas. Sampai pernah kena tegur dengan ayah mertua sebab dengan suka hatinya saya berlari turun tangga dengan kandungan 29 minggu, waktu mereka datang ziarah Disember lepas.

Apa aktiviti harian kami selama hampir sebulan ni? Ringkasnya, duduk rumah saja sambil menunggu hari bersalin. Cuma saya akan pastikan setiap hari akan keluar berjalan minimum 15 minit, supaya badan tak terlalu lemau. Lemak memang sah-sah dah banyak. Bila keluar jalan-jalan ambil angin, kadang-kadang terjumpa dengan adik-adik Besancon yang jadi tempat bergantung saya sebelum kedatangan suami. Waktu dulu tu, rumah sendiri pun saya dah tak balik. Tidur rumah adik, makan pun adik-adik yang sediakan. Kadang-kadang lunch rumah lain, dinner rumah lain pula. Semua sangat helpful dan baik hati. Sampai saya rasa nak pinang seorang dua buat adik ipar. Nak jadi kakak ipar pun boleh, tak kisah walaupun lagi muda. Oh sudikah? Hehe.

Bila terjumpa adik-adik ni, sambil jalan dengan suami, kadang-kadang terbit rasa malu dan segan juga. Sebab sekarang dah tak datang rumah untuk mengadu, minta tolong dan menagih simpati. Sekarang sudah ada tempat bergantung, dah ada orang tolong masakkan setiap hari. Harap sangat adik-adik tak kecil hati. Sebab hakikatnya saya bukanlah di fasa bulan madu pun. Memanglah setiap saat bersama pasangan itu adalah bulan madu yang sangat berharga. Tapi sebenarnya hidup kami biasa-biasa saja di sini.

Aktiviti paling best bila dapat masak sama-sama, untuk makan berdua. Selalunya memang Chef Mas lah yang masak. Saya cuma duduk sebelah sambil potong-potong, pantau apa yang patut dan bagi tips masakan yang saya tahu. Sekarang suami dah terror masak sendiri. Aktiviti kedua terbest, jalan-jalan berpegangan tangan keliling bandar seround, sambil curi-curi tengok dalam pushchair orang yang lalu lalang. Punyalah kemaruk nak tengok baby. Ketiga terbest, shopping barang dapur sama-sama. Keempat terbest, uih, sampai esok pun tak habis kalau nak buat senarai. Pendek kata, biasa-biasa saja kan setiap hari? Minggu lepas cuti sekolah seminggu, tapi kami tak dapat menikmati sangat cuti tu. Sama saja cuti ke tak, saya tetap duduk rumah tak pergi kelas.

Jealous sebenarnya dengar cerita ada yang pergi Mesir, satu group lagi pergi Istanbul. Budak lelaki buat road trip ke German. Fuh, bestnya! Saya yang tergedik-gedik nak pergi Paris je pun dah kena fikir 10 kali, apatah lagi nak cross border. Walaupun Paris cuma 2 jam by train dari Besancon, dan saya yakin takkan bersalin dalam train, tapi risiko sangatlah besar untuk bersalin di Paris! Lupakan sajalah niat tu, kita duduk rumah saja tunggu baby keluar, kata suami. Memanglah best kalau lahir di situ, boleh buat rekod family; abah lahir di Cardiff, ibu lahir Los Angeles, baby lahir Paris gitu. Tak apalah baby, Besancon pun best juga.:)

Selepas sebulan hidup berdua, saya dapat perhatikan banyak perubahan corak hidup kami dan juga dalam diri saya, suami, kami berdua. Walaupun ini bukanlah kali pertama kami hidup berdua di bawah satu bumbung, tapi lain sungguh waktu di Malaysia dan di sini. Tentunya, setiap saat membawa kami lebih mengenali dan memahami, walaupun rasa macam dah cukup kenal selama 7 tahun ini. Sebelum kami memulakan hidup bersama sebulan lepas pun, bapak sangat banyak berpesan tips-tips rumahtangga. Memang lain antara hidup berjauhan dan hidup bersama. Orang selalu cakap, kalau duduk jauh-jauh, perasaan rindu sentiasa meluap-luap. Kasih sayang semakin kuat.

Tapi tak bermakna kalau hidup bersama rindu tak meluap-luap kan? Hidup bersama lagilah istimewa, sebab rindu, kasih sayang dan rasa cinta yang meluap-luap tu dapat dikongsi serta-merta. Mungkin orang akan pandang saya masih mentah untuk bercakap tentang ni. Kahwin baru nak masuk 2 tahun. Baru saja hidup bersama, semuanya masih indah. Tapi saya lebih suka untuk berpegang pada keyakinan, tiada yang lebih baik dan lebih indah untuk pasangan suami isteri melainkan hidup bersama dan berdua. Sepertimana saya sangat suka pada kata-kata Rasulullah, tiada yang lebih baik dilihat pada dua orang yang saling mencintai melainkan bernikah. Saya tak ingat sangat tapi begitulah bunyinya. Betulkan kalau saya salah.

Oh ya, saya masih ingat lagi. Seorang pakcik yang berikan kursus nikah exclusive untuk kami berdua pun berpesan, "untuk tahun-tahun pertama perkahwinan, usahakanlah untuk hidup bersama. Usahakanlah."

Nak tulis lagi tapi sambung lepas ni ya. Terasa makin sakit pula contraction ni. Adehh!

5 March 2012

Random : Hari hari terakhir

Assalamualaikum wbt.

Entry terakhir saya waktu kandungan 24 minggu. Sekarang sudah minggu ke-39. Baru cari laptop yang seriously dah berhabuk terselit bawah timbunan buku-buku. Segan-segan nak tekan butang ON. Lagi segan nak masuk blog sendiri yang dah 4 bulan saya tak jenguk.

1. Update terkini : masih menunggu bila si kecil ni nak keluar. Setakat ni memang tak ada apa-apa tanda. Sepanjang pregnancy saya sangat target untuk bersalin awal, kalau boleh, ngam-ngam masuk minggu 37 nak terus bersalin. Sememangnya, sejak minggu 36 saya dah sangat kepenatan, tahap tak mampu nak bawa badan sendiri untuk berjalan lama. Naik tangga pun kena papah dengan suami. Bukan mengada-ngada, betul-betul punya tak larat. Dan minggu itu juga saya dapat surat dari hospital supaya berhenti pergi kelas. Duduk rehat di rumah saja. Minggu yang sama, dapat surat daripada universiti. Saya dapat kebenaran dan pengecualian rasmi dari pihak uni daripada menghadiri kelas, tutorial dan amali makmal. Cuma perlu hadir ke exam final bulan May sebagai penilaian untuk semester ini. Alhamdulillah, kelegaan yang besar. Boleh berehat dengan tenang. Cuma perlu selalu contact classmate untuk up-to-date dengan kelas dan nota.


Minggu 38
Makcik ni dah naik 14 kilo
Syabas!

2. Kalau bersalin awal, dapatlah saya kurangkan tak pergi kelas. Alang-alang dah kena rehat, tambah pula dengan jadual kelas antenatal selama 16 jam jumlahnya, jadual check-up, ujian darah, rendez-vous anesthesiste, hampir setiap hari saya ke hospital. Alangkah baiknya kalau dapat bersalin terus. Then rehat 2-3 minggu untuk pantang, bolehlah saya ke kelas semula. Pelan-pelan, supaya tak banyak tertinggal. Sekarang pun dah berat kepala memikirkan jenuh juga nak kejar nanti. Nak kena study sendiri. Dengan baby baru lahir lagi. Huuu. Tapi malaslah nak berat-beratkan kepala dulu. Saya tetap yakin boleh kejar semula. Lagipun insyaAllah saya akan dikelilingi cukup assistant. Buat masa ini, saya cuma mahukan peace of mind, prepare mental dan fizikal untuk melalui proses bersalin secara natural.

3. Dah masuk hujung-hujung ni, sangat ramai yang concern bertanya bila due date. Kalau ikut kiraan doktor di malaysia, 40 minggu kehamilan, due date saya jatuh weekend ini, 10 Mac. Tapi di Perancis kiraan standard untuk normal pregnancy adalah 41 minggu. Makanya due date saya jatuh 17 Mac, sabtu lagi satu. Saya pun tak tahu nak pegang yang mana. Dan tambah keliru macamana boleh wujud dua kiraan berbeza mengikut negara. Since saya menetap di France, rasanya lebih baik pegang due date France lah kan. Selepas hampir 7 tahun, mungkin badan saya pun dah accustomed ikut cuaca dan keadaan di sini. Hehe, macamlah ada kena-mengena dengan pregnancy.

4. Tak lupa juga, sangat ramai yang bertanyakan nama baby. Yang itu saya terpaksa minta maaf awal-awal dululah ya. Nama penuh anak ini sudah pun ready, insyaAllah confirmed. Tak mahu tukar-tukar lagi. Cuma buat masa ni terpaksa dirahsiakan dulu, permintaan si ayah. Nanti bila dah selamat lahir baru suami nak mahsyurkan nama putera sulungnya. Orang kata, bagi nama anak ni hak si ayah. Betul ke? Takpelah, apa-apa pun, kita bagi can lah ye.

5. Masuk hari ini, genap 30 hari suami tiba di France. Kali ini kedatangannya cukup berbeza. Yang ini pun saya tak ceritakan panjang lebar pada sesiapa. Apatah lagi mahu hebohkan di facebook atau blog. Cukup pada sesiapa yang bertanya, dan adik-adik Besancon yang selalu ambil berat menjaga saya sebelum kedatangan suami. Alhamdulillah, sangat bersyukur dengan cantiknya perancangan Allah. Sudah sebulan melayari kehidupan sebagai suami isteri yang normal, tak ada lagi jarak yang memisahkan, melainkan beberapa jengkal cuma (hehe!). Tak ada lagi masa berseorangan, kecuali setiap hari Jumaat bilamana suami pergi solat. Penantian sangat lama, hampir 7 tahun. Tapi bila tiba masanya, bila Allah nak izinkan, semua jadi lancar. Dari semua sudut dipermudahkan. Macam mimpi. It's just a matter of time. Betul kata orang, kalau kita nak sangat sesuatu benda, sudah ikhtiar berbagai cara, tapi masih belum dapat, maknanya memang belum masanya. Bila dah tiba masanya, bila Allah nak bagi, semuanya sekelip mata!

6. Sejak hidup berdua inilah, saya makin-makin tak ada selera mahu bercerita di facebook atau blog. Kalau dulu semua benda nak canang satu dunia kan. Sekarang ni rasa lebih reserved. Kalau dulu setiap kali ambil gambar berdua mesti nak post dalam facebook. Annoying sungguh! (Hehe, sedar pun!) Sekarang ni semua gambar untuk tatapan 4 mata saja. Main buetooth untuk hantar gambar antara handphone berdua saja. Update status facebook pun statistically sangat kurang berbanding dulu. Sampai mak pun pelik, kenapa makin senyap. Mak pun boring masuk facebook kalau saya tak update apa-apa. Entah, nak kata kejutan budaya tak juga. Rasanya macam ini lebih baik. Memang patut macam ni kan. Buat apa nak cerita satu dunia. Dulu tu mungkin saya dilanda sindrom kurang kasih sayang. Tak cukup perhatian. Yelah kan, duduk jauh-jauh. Alhamdulillah, it's over now. Sekarang semuanya cukup, lengkap dan saling-melengkapi.

7. Saya ada banyak lagi nak kongsikan di sini. Dari pengalaman mengandung secara keseluruhan, kelebihan mengandung di France (sambungan entry lepas), dan macam-macam lagilah. Tengoklah kalau sempat akan diupdate lagi blog ni. Kalau boleh memang nak abadikan cerita pahit manis sepanjang pregnancy yang saya lalui di sini. Nanti bila baby dah lahir mesti dah terlupa. Sekarang pun dah lupa sikit-sikit. Nanti akan sibuk dengan pengalaman bersalin, dan hal-hal post-natal pula. Harap-harap saya sempat dan larat tulis lagi. Ada benda-benda yang saya rasa perlu share dan rugi kalau simpan sorang-sorang. Macam persediaan nak bersalin ni contohnya. Tapi part tu kena tunggu saya selamat bersalin lah, baru boleh tulis testimoni. InsyaAllah, mohon doa semua ya! Mana tahu esok dah masuk labour room. Manalah tahu kan. (dalam hati : ameeeeeenn)

Buat keluarga, saudara-mara dan sahabat yang merindui dan dirindui.
Doakan kami di sini ya.
(Macam salam perantauan pulak! Heh.)
:)