17 November 2011

Updates baby + ibu

Gambar pagi semalam

1. Assalamualaikum. Hai, lama tak jumpa kan. Dekat 2 minggu saya tak tulis apa-apa di sini. Oh, macam-macam terjadi. Rasa nak cerita semuanya, tapi nantilah bila ada masa ya.

2. Sebenarnya sekarang saya sangat penat. Tak larat. Badan dah berat. Pipi dah bulat. Dagu pun dah nak masuk lapisan kelima. Padan muka. Mana taknya, setiap hari telan berkilo-kilo gula. Kalau tak hidup rasa tak sempurna. Eh kenapa tiba-tiba saya tulis macam pantun berima-rima. Annoyingnya.

3. Walaupun penat, tetap nak update juga sedikit sebanyak. Macam saya update di status facebook, pagi tadi temujanji saya untuk scan baby. Di france ni ada 3 scan yang wajib, satu setiap trimester. Bayarannya jangan tanyalah, boleh buat makan sushi 2 bulan. Mujurlah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Perancis. Tapi kena dahulukan duit sendiri dululah. Habis melayang 80 euro saya tadi untuk scan baby semata-mata. Lagi 2 bulan barulah duit 80 euro saya tu akan terganti semula.

4. Alhamdulillah, baby membesar dengan normal, sihat dan sempurna serba-serbi. Syukur, itu yang paling saya harapkan. Walaupun selama ni agak excited juga nak tahu jantina baby, tapi itu tetap soal kedua. Oh ya, cakap pasal jantina, betul rupanya motherly instict saya. Eceh, mother lah sangat. Sejak awal-awal mengandung lagi saya dapat rasa dengan kuat, saya mengandung anak lelaki. Atuk dan nenek yang meneka pun semuanya spontan dan yakin cakap lelaki. Dan tadi, terang-terang dapat nampak kelelakian anak sulung saya ni. Banyak kali doktor pusing-pusing satu perut, dari macam-macam angle, memang sah lelaki. Tergelak-gelak saya. Hahaha. Taktahulah apa motif rasa nak gelak sangat bila tengok 'bird' anak sendiri. Eh, saya bukan nak cakap lucah. Tapi serious, lucu sungguh rasanya tadi. Macam tak percaya. Comel.

5. Orang paling happy, tak lain tak bukan, Abgmas lah. Berdegar-degar sungguh dia ketawa dalam telefon tadi. "Wahahahaha, boy!!!! Boy!!! Hahahaha!!!" Ya, macam itulah bunyinya tuan-tuan dan puan-puan. Dah lama tak dengar Abgmas gelak bahagia macamtu. Bahagia sungguh saya rasa, ruginya tak sempat rakam moment tu. Sampai saya pun confuse sekejap. Sebelum ni setiap kali tanya, abang nak lelaki ke perempuan, mesti dia bagi jawapan skema - 'Abang tak kisah, yang penting baby kita sihat dan sempurna.' Tapi happy sungguh nampaknya suamiku tadi bila dapat tahu anak lelaki. Agaknya kalau anak perempuan mungkin lagi bertambah-tambah happy sebenarnya? Apa-apa pun, alhamdulillah. Sudah cukup semuanya.

6. Esok genap 24 minggu kandungan saya. Dah masuk lebih kurang 6 bulan. Perut belum besar mana lagi. Bahagian-bahagian lain yang tengah membesar dengan sihat sekarang. Tadi saya tanya doktor - 'doktor, doktor tak rasa ke perut saya ni kecik?'. Doktor senyum dan cakap - 'tak kecik, normal.' Okey, lega. Walaupun tak besar macam orang lain yang tengah 6 bulan, tapi saya dapat rasa perut saya makin hari makin membesar. Classmate pun dah perasan. Semalam masa saya buat presentation English, saya nampak mata-mata classmate banyak kali tengok dekat perut saya. Tak apalah, bagi mereka peluang.

7. Semalam juga hari yang membahagiakan. Awal-awal pagi ada classmate french datang cari saya dan minta nak jadi partner project saya. Tak tahulah kenapa saya rasa happy dan bermakna. Maybe sebab tahun-tahun sebelum ni, semasa zaman kegelapan saya, saya jenis kurang keyakinan diri. Bila nak kena cari partner untuk apa-apa projek, mesti tak ada orang french nak offer partner dengan saya. Yelah kan, kita ni foreigner. Lagipun dulu saya sangat down dalam study. Markah memang nyawa-nyawa ikan. Nama pun zaman kegelapan kan. Alih-alih saya yang kena tebalkan muka tanya orang - boleh saya jadi partner awak? Itupun belum tentu ada orang nak terima. Serious sebiji rasa macam Betty dalam cerita telenovela. Tapi sejak pindah ke Besancon semuanya dah berubah. Orang yang datang cari saya. Tapi saya juga tak terima sesiapa sewenang-wenangnya. Tahun lepas ada seorang classmate saya, Sulaiman. Lelaki, muslim, tapi sedihnya, pemalas. Asyik ponteng kelas. Dia nak partner dengan saya. Saya cakap no, saya prefer buat sendiri. Sepanjang semester saya buat amali lab tanpa partner. Classmate lain semua ada partner, kecuali Sulaiman. Cikgu pun pelik kenapa kami berdua tak berpartner sama-sama. Saya cakap pada cikgu, saya lebih selesa sendiri, tak terikat dengan sesiapa. Alhamdulillah. Walaupun subjek tu susah, terpaksa belajar seorang, tapi saya dapat markah keseluruhan 15.75/20 untuk subjek itu. Moral of the story : Keadaan akan berubah bila kita dulu ambil langkah untuk berubah. Kedua, jangan biarkan sesiapa manipulate kerajinan dan kelebihan diri kita. Ada beza antara menolong orang dan memberi peluang pada orang sampai merugikan diri sendiri.

8. Sekarang tidur saya makin tak menentu. Ada hari, rezeki baik, dapatlah saya tidur lena dan nyenyak. Rezeki kurang baik, memang berjam-jam baring pun tak lena. Macam semalam, saya start baring di katil pukul 6 petang. Dah melepek penat, tak larat. Alih-alih sampai 12 tengah malam pun tak tertidur-tidur lagi. Sampai saya menangis-nangis sambil tepuk-tepuk bantal. Nak tidur, nak tidur. Nak bangun buat kerja, seluruh tubuh badan dah tak ada daya langsung. Seolah-olah badan saya saja yang tidur. Last-last, suami terpaksa masuk campur, bila tengok saya dah menangis sebab tak boleh tidur. Dia bacakan Qur'an, sampailah saya terlelap. Saya tidur pun dalam airmata, tapi sebab lainlah pula. Nampak suami depan mata, dalam video di skype, tengah khusyuk bacakan Qur'an untuk saya. Terharunya. Mujur ada Samsung Galaxy s2. Marilah beli beramai-ramai.

9. Sekarang saya sedang disiplinkan diri untuk baca Qur'an sehari sekurang-kurangnya 4 mukasurat. Bukan untuk baby semata-mata, tapi untuk keperluan dan makanan jiwa saya terutamanya. Alhamdulillah, sangat banyak kesannya. Walaupun taklah banyak mana pun kan. Kalau nak ikut kemampuan diri sendiri, saya tahu saya boleh buat banyak lagi. Masa bulan ramadhan lepas, satu hari saya mampu baca sampai 50 mukasurat. Habis 2 juzuk. Tanpa laju-laju, tanpa tergesa-gesa. Tapi itu lainlah kan, syaitan semua tak ada. Saya pula duduk rumah saja, suami yang pergi kerja. Jadi kepada anda-anda yang ada masalah jiwa, tertekan, bacalah Qur'an beb. Biarlah kalau merangkak ke, baca tak berlagu ke, atau berlagu tapi tak sedap ke. Bukannya nak suruh masuk pertandingan tilawah Al-Qur'an pun. InsyaAllah hati akan tenang dan nyaman. Mukjizat tu beb. Macamana pun mesti akan tenang punya kalau baca. Bila hati dah tenang, maka anda tak perlu lagi memalukan diri sendiri 'meroyan' sorang-sorang di Facebook.

10. Sebenarnya banyak lagi saya nak tulis. Tapi untuk hari ni setakat ini sajalah dulu. Anggap macam panaskan enjin selepas 2 minggu saya idle. Sorry kalau tulisan saya hari ni agak kosong dan merapu. Nak jugak tulis sebab rindu. Saya masuk tidur dulu. Nanti kalau dah tak boleh tidur saya jugak yang berbulu. Dahlah esok banyak kelas menunggu.

11. Okey dah mula dah pantun annoying dia. Maafkan sajalah ya. Dulu masa sekolah tak berpeluang masuk pertandingan pesta pantun. Dah tua-tua baru sedar ada bakat juga rupanya.

2 November 2011

Bisik-bisik dengan baby

Baby sayang,
Hari ni ibu dah mula kelas semula. Lama ibu cuti hari tu. Sebab doktor suruh ibu rehat dalam rumah, tak boleh pergi kelas seminggu. Orang lain cuti seminggu lebih je. Ibu sampai 3 minggu. Kawan ibu pun jealous dengan ibu. Tapi banyak yang berlaku masa ibu cuti 3 minggu ni. Yang paling ibu takkan lupa sampai bila-bila, waktu itulah ibu dapat rasa buat kali pertama baby tendang ibu. Detik yang sekian lama ibu nantikan. Maybe selama ni ibu banyak sangat bergerak, aktif lupa diri macam tak bawak baby. Bila dah rehat di rumah, baru ibu dapat menikmati baby dalam perut ibu. Dan dalam waktu cuti itulah, baby mula membesar dengan pesat sampai perut ibu dah obvious pun sekarang. Sukanya ibu.


Ibu pakai baju sejuk baru beli, untuk orang-orang mengandung macam ibu.
Kat sini semua barang untuk ibu mengandung mahal-mahal tau.
Jaket ni je dah 70 euro. Tapi inilah yang paling murah.
Jealous ibu tengok kawan-kawan ibu dapat beli baju sejuk cantik-cantik, 20 euro je.
Tapi takpe, ibu pejam mata ajelah.
Eh, yang dekat belakang tu bukan bilik ibu tau.
Bilik ibu cantik sikit. Ngeh ngeh.

Baby sayang,
Dua minggu lepas baby macam malu-malu lagi nak gerak. Kalau nak rasa baby gerak, ibu kena letak tangan dekat perut, tutup semua bunyi bising, diam-diam, tunggu lama-lama, baru dapat rasa. Itupun sikit-sikit je. Tapi sekarang, ibu dah boleh rasa semua pergerakan baby. Ibu dah boleh bezakan pun bila baby tengah pusing, atau baby tendang, atau baby tengah hiccup. Hee, kesian baby. Selalu sangat sedu malam-malam bila ibu nak tidur. Banyak tertelan air ketuban ye sayang? Takpe, ibu dah baca banyak-banyak, itu normal sayang. Tapi semalam risau betul ibu bila baby tak gerak-gerak. Puas ibu tepuk-tepuk perut, ibu pasang lagu baby, pun baby diam je. Ibu rasa nak menangis sangat-sangat dah waktu tu. Dalam hati tak henti-henti ibu berzikir merayu pada Allah, selamatkan baby ibu. Tak lama lepas tu, ibu rasa baby gerak macam tengah pusing badan. Menitis airmata ibu. Syukur ya Allah. Baby ibu tidur nyenyak rupanya tadi. Susah jugak ye nak kejut baby bangun. Ikut siapa lah ni kan. Hehe, tanya lagi.


Baby sayang,
Sekarang baby semakin berat. Kalau ikut congak dan teori dalam buku, baby sepatutnya dah lebih 300g sekarang. Lagi berat daripada seketul mentega yang ibu selalu beli nak buat kek tu. Hehe, ibu pun taktahu kenapa. Sejak baby bernyawa dalam rahim ibu, ibu sangat suka buat kek. Tapi nak masak ibu malas. Auntie Angosh lah yang setiap hari masakkan untuk ibu. Tadi auntie Angosh masuk bilik ibu, dia cakap dah nampak baby bump! Haa. Esok auntie Angosh exam. Kita doakan auntie dapat jawab baik-baik ya. Allah mesti tolong auntie punyalah. Sebab auntie banyak tolong ibu.


Baby sayang,
Tadi ibu baca Qur'an, surah Luqman. Ibu jumpa ayat ni, ibu suka sangat-sangat.

"Dan kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah lemah..." (31:14)

Sekarang ibu dah mula rasa sakit-sakit. Lenguh-lenguh perut dan pinggang. Kalau ibu duduk bersila pun dah sakit. Sebab tu ibu suka sangat bila terjumpa ayat ni. Rupanya Tuhan dah cakap awal-awal lagi, memang keadaan fizikal ibu akan semakin lemah. Semakin menginjak masa, semakin baby membesar dalam rahim ibu, semakin melemah daya ibu. Tapi ibu janji, ibu akan pastikan jiwa ibu makin kuat. Ketahanan dalaman ibu mesti makin hebat. Makin kuat bergantung pada Tuhan. Sebab hanya itu satu-satunya mata air kekuatan ibu untuk bertahan.


Baby sayang,
Sebab ibu makin lemah, jadi ibu dah tak larat nak berdiri lama-lama. Tapi masalahnya ibu tetap suka pergi shopping. Setiap hari mesti nak beli something. Dapat singgah supermarket belakang rumah beli bawang pun boleh buat ibu senyum dan happy. Taktahulah apa kena dengan ibu sekarang. Haritu ibu nak beli bantal, sebab ibu susah sangat nak tidur sekarang. Ibu kena ada 4 bantal kalau nak tidur lena. Satu alas kepala, satu peluk dekat kaki, satu peluk dekat tangan, satu lagi support belakang badan ibu. Macamanalah bila dengan abah nanti kan. Mesti tak muat katil abah nak tidur.


Tengah-tengah nak pilih bantal, ibu lenguh sangat. Nak cari tempat duduk, tapi mana ada kerusi untuk rehat-rehat dalam tu. Sofa untuk dijual ada lah. Kalau ibu duduk nanti mesti kena marah. So ibu duduk je atas lantai dekat tengah-tengah supermarket tu. Dengan beg sekolah ibu yang besar gabak tu, sambil bersila urut-urut pinggang. Sebiji macam makcik jual sayur dekat pasar. Mujur ibu tak pakai kain batik. Ramai orang tengok ibu. Tapi ibu peduli apa. Ibu yang sakit, bukan diorang. Kalau ada orang boleh tolong ibu tak apalah kan. Ini tolong tengok je. Mesti semua orang pelik kenapa ibu macam orang tak betul tiba-tiba duduk bersila tengah-tengah supermarket. Sebab orang tak nampak perut ibu, ibu pakai jaket tebal. Orang ramai taktahu ibu bawak baby. Tapi tak kisahlah kan. Yang penting ibu bahagia bawak baby pergi mana-mana.


Ibu ambil gambar ni nak tunjuk kat abah.
Kesian terseksa batin abah tengok ibu macamni.
Tapi bukan niat ibu.
Sorry ye abah.


Bantal baru ibu. Abah belanja.

Baby sayang,
Walaupun abah jauh, tapi abah selalu rindukan baby tau. Setiap hari mesti abah tanya pasal baby. Abah teringin sangat nak cakap-cakap dengan baby dekat perut ibu. Abah sangat risau pasal kita berdua. Tengah-tengah tidur abah boleh mengagau terjaga terus telefon ibu, setiap kali ibu lupa BBM abah yang ibu dah selamat balik rumah. Tadi balik sekolah, ibu terjatuh dalam bus. Ibu baru berdiri siap-siap nak turun, tapi driver tu brek kuat sangat. Terus ibu tercampak dari belah kiri bas piuuuuu terlanding belah kanan bas. Mujur sangat-sangat ibu sempat tahan tangan dekat seat bus. Ibu jatuh ke depan, dan perut ibu selamat. Ibu bagitahu abah. Abah sedih, marah, geram sangat bila dapat tahu. Sampai abah tendang pintu dekat rumah. Kesian abah. Abah rasa helpless. Maybe lepas ni ibu kena sorok-sorok cerita dari abah. Selagi tak jadi apa-apa, kita jangan bagitahu abah okey? Nanti abah risau.


Ibu selalu cakap kat abah. Ibu yakin, Allah hantar malaikat special jaga ibu dan baby kat sini. Sebab abah kan dah serahkan kita untuk Allah jaga. Lagipun ibu tengah mengandung, Allah bagi perhatian special kat ibu. Sebab tu ibu rasa banyak kali miracle berlaku. Yang terjatuh dalam bas pun macam ada malaikat penjaga yang tahan ibu dari terjatuh teruk. Bulan lepas lagilah. Tengah ibu jalan-jalan balik dari supermarket belakang rumah, ada motor berhenti sebelah ibu. Pembonceng motor tu nak turun, tapi dia libas kaki dia kuat sangat. Punyalah besar libasan dia tu, sampai dia tersepak kaki ibu. Kena dekat lutut. Adoii. Sakit tau. Ibu terjatuh terpeleot sebelah kaki. Mujur ibu tengah bawak troli, dapatlah ibu berpaut dekat troli. Kalau tak mesti dah terduduk terhentak dah dekat situ. Orang pelibas tu tolong ibu, dia minta maaf sangat-sangat. Tapi bila abah tahu, abah marah sangat dekat orang tu. Abah cakap, "Kalau abang ada dekat situ, abang libas-libas kaki dia sampai patah." Haha. Emo lah abah ni.


Inilah abah baby. Handsome kan?
Tengokla siapa yang pilih. Hahaha.
Kalau baby ikut muka abah mesti comel sangat.
Kalau ikut muka ibu mesti lagi comel sangat-sangat.
Hahahaha. Tak kelakar la ibu.

Baby sayang,
Sejak Allah letak baby dalam perut ibu, banyak sangat rezeki ibu dapat. Dalam bentuk duit, hadiah, mudah urusan, bantuan, senyuman, ingatan, doa, dan kasih sayang orang-orang sekeliling. Minggu ni je bertimpa-timpa rezeki Allah turunkan dari langit. Semalam ada 2 orang kawan ibu datang melawat ibu, auntie Pipah dengan auntie Matun. Diorang bawak churros, sejenis donut favourite ibu. Lepas tu auntie Pipah kasi ibu coklat dengan nota ingatan. Ibu dah tampal dekat meja study pun.


Nota kasih sayang yang terkena minyak churros.
Makin kuatlah aura kasih sayangnye.


Hari ni pun banyak sangat rezeki sampai. Auntie Ain dengan auntie Shitek ajak ibu dinner sama-sama, makan nasi dengan ayam masak kurma. Alhamdulillah, lega ibu tak payah makan kebab lagi malam ni. Dapat makan nasi dengan lauk sedap. Lepas tu auntie Shitek kasi dark chocolate favourite ibu, dia beli dekat Swiss masa cuti hari tu. Melompat-lompat ibu dalam hati. Nak melompat betul-betul tak boleh. Bila balik rumah, dapat lagi coklat Swiss dari Auntie Ana, ex-housemate ibu. Siap dengan 6 botol air mineral favourite ibu dan sebiji buah delima untuk ibu makan buat tambah darah. Dah setahun ibu tinggal serumah dengan auntie Ana. Dia tahu sangat yang ibu takkan minum air kosong selain air mineral. Air mineral pun pilih yang sedap dan mahal je. Kalau air masak mesti ibu takkan minum banyak. Segelas pun berminggu nak habis.


Terima kasih auntie Ana.
Sweetlah.


Balang coklat ibu atas meja study.
Sukanya tengok dah nak penuh dah.
Auntie-auntie lain kalau nak penuhkan balang ni sangatlah dipersilakan.
Tengok balang ni je dah boleh buat ibu happy.
Belum makan lagi.
Mesti senyum-senyum sampai pejam-pejam mata sepet ibu.


Baby sayang,
Esok ibu ada rendez-vous dekat hospital dengan midwife ibu, untuk pregnancy check-up bulan kelima. Minta-mintalah midwife tak gatal tangan nak buat ujian ginekologi dekat ibu lagi. Ibu risau je kalau ibu tertendang orang esok. Huhu, ibu fobia tau. Esok auntie Ika dengan auntie Malin nak ikut sekali. Diorang nak tengok dan at the same time nak ambil pengalaman. Yang lagi best, diorang nak rakam masa ibu kena check-up tu. Nanti bolehla ibu send video dekat abah, dekat maktok, tokwan, atuk nenek semua. Lagi 13 hari pulak, turn ibu untuk scan. Lagilah ibu tak sabar. Ibu nak mintak doktor buat 3D/4D scan, nak tengok muka baby. Abah mesti lagi nak tengok. Nanti baby jangan tutup muka tau. Dekat 'part tu' pun jangan tutup tau. Tangan letak dekat perut je tau macam orang tengah semayang. Ibu nak tengok baby ibu ni lelaki ke perempuan. Tapi tak kisah mana-mana. Lelaki atau perempuan dua-dua pun syukur alhamdulillah. Yang penting baby sihat dan sempurna sampai masanya baby keluar ke dunia. Ameen.


Baby sayang,
Jum tidur baby. Dah nak dekat pukul 11 malam pun. Ibu penat. Baby pun mesti penat kan teman ibu pergi merata-rata hari ni. Kejap lagi mesti telefon bunyi, abah bangun tidur. Nak sembang-sembang dengan abah lagi, nak quite moment sambil tendang-tendang ibu lagi. Okey sayang, say goodbye to everybody. Ramai yang sayang baby ni. Esok lusa kita sembang-sembang lagi k. Assalamualaikum semua.. Mmuah!


*Letak gambar anak sedara dulu lah ye.*
Kakak inash, ibu cakap ibu rindu kakak sangat.
Nanti adik keluar kita main sama-sama sambil pegang tangan ye.
Kakak tunggu adik ye.


#1 : Terima kasih pada semua yang drop kata-kata penguat di entri lepas. Saya sedang cuba balas sikit-sikit ya.