26 January 2011

Penat kepuasan. Puas kepenatan

1. Sejak 3 minggu bermula semester kedua, setiap hari pulang kepenatan. Sangat-sangat penat. Hobi memasak saya dah entah ke mana, sedangkan list resepi untuk dicuba makin panjang. Semester kali ini lebih mencabar dari segi jadual waktu. Boleh dikatakan, setiap hari keluar pukul 8 pagi, balik pukul 8 malam. Okey, tipu, 7.30 malam sebenarnya. Aci lah tu ya.


2. Tapi sebenarnya, tak dapat salahkan siapa-siapa. Pilihan sendiri juga. Yang buatkan balik pukul 8 setiap hari tu, kerana saya daftar dalam kelas bahasa. Optional, tapi saya sangat tertarik. Dalam kelas hanya 2-3 orang pelajar bersama cikgu, sebab 2-3 orang saja yang sanggup korbankan masa mereka sebaik sahaja tamat kelas pukul 6 petang. Gaya macam tuisyen private yang mahal. Tapi sebenarnya, free of charge saja. Universiti yang tanggung semua. Harus saya tak lepaskan peluang ini. Rugi beb.


3. Maka inilah jadinya penghujung hari saya setiap hari :
  • Isnin : kelas bahasa german beginner 18h-19h30
  • Selasa : kelas bahasa arab beginner 18h15-19h45
  • Rabu : bengkel komunikasi advanced bahasa inggeris 18h-19h30
  • Khamis : bengkel komunikasi advanced bahasa perancis 18h-19h30
  • Jumaat : Kena balik awal. Usrah. (^-^)

4. Penat jangan cakaplah. Sudahlah kelas di fakulti pun berderet sejak 8 pagi, habis 6 petang. Sambung pula kelas bahasa. Tapi saya yakin dan percaya, semua ini akan berbayar. Ada sangat banyak kebaikan dan ganjaran menanti. Setakat ini pun, ketika pulang ke rumah, dalam bas lagi, terasa lelahnya badan, Allah saja yang tahu. Tapi jauh di dalam, kamu tak dapat bayangkan, betapa saya merasa puas. Hari saya penuh, dengan ilmu. Setiap hari satu doa ini wajib saya panjatkan; moga Allah kuatkan saya untuk konsisten.


5. Sudah pukul 11 malam. Saya sudah ada janji dengan kawan-kawan baik saya di sebelah katil. Setiap malam saya wajib baca 30minit. Bermacam-macam buku saya gilirkan. Sekarang saya sedang dalam usaha habiskan satu buku ini. Buku ini memang buat saya 'gila'. Rasa sayang mahu letak walau sesaat. Setiap hari dalam sejuk-sejuk negatif darjah celcius menunggu bas, saya baca buku ini, menyelam ke dalamnya. Sampai saya boleh terlupa tentang kesejukan yang menggigit-gigit setiap inci kulit. Sedangkan tak pakai sarung tangan pun. Bila bas sampai, berhenti baca, tutup buku, baru terkejut sendiri, ya Allah sejukknyaaa hari ni!!!


6. Kesimpulannya, saya sudah gila dengan perkataan. Apa-apa perkataan, seringkas-ringkas ayat pun saya mahu baca dan menyelam betul-betul ke dalam. Walaupun di notis board, di papan iklan, di kulit belakang buku, di helaian-helaian kertas yang tertampal di mana-mana, pasti takkan terlepas dari mata saya. Kata orang perancis, rien ne m'echappe.


7. Doakan saya tak jadi gila. Tapi doakan saya semakin 'gila' dengan kegilaan saya. Dan untuk kamu, pilihlah kegilaan yang baik, dan 'gila'lah dengan bijak. InsyaAllah.

23 January 2011

Secinta-cinta si suami

1. Sumpah, hari ahad di bumi Perancis memang membosankan. Huh, awal-awal ayat dah bersumpah. Saja, untuk bagi effect yang lebih kuat dan power. Kalau tengok dalam Al-Qur'an Allah sangat banyak bersumpah di awal-awal ayat. Tapi entah kenapa, rasa susah sangat untuk rasa kuatnya effect yang Allah mahu kita rasa dari ayat-ayat Dia. Okey, ini tak lain tak bukan masalah hati sendiri yang berpenyakit.


2. Kalau dalam french, ennuyer bukan lagi verbe yang paling tepat untuk digunapakai. Tapi assommer. Maksudnya, membosankan nak mati. Selalunya kita sebut ca m'ennuie (boringnyerr). Tapi untuk hari ahad, lebih afdhal untuk saya sebut ca m'assome!!! Tiga tanda seru dapat menambahkan lagi efek kebosanan nak mati itu. Kalau tak percaya boleh buka kamus ya tuan-tuan. Sekian saja kelas bahasa kita hari ini. Esok kita belajar perkataan baru lagi.


3. Tambah membosankan lagi, sebab hari ini sehari suntuk saya berkurung dalam bilik. Sedangkan di luar sungguh ramai juga tetamu-tetamu yang Allah hadirkan berkampung 2 hari di rumah saya. Alhamdulillah, saya cukup menghargai kehadiran siapa-siapa pun yang datang, walaupun sekadar adik-adik rumah bawah yang datang mahu menggunakan mesin basuh. Apatah lagi kalau tetamu yang datang dengan niat ziarah. Banyak fadhilat yang Allah telah janjikan untuk tetamu dan juga tuan rumah. Salah satunya yang saya sangat ingat, datangnya tetamu membawa rahmat dan rezeki dari Allah untuk isi rumah. Dan pulangnya tetamu membawa keluar dosa-dosa dan keburukan di dalam rumah. See? Ada sebab lagi untuk tak suka tetamu datang rumah?


4. Tetapi keceriaan dan gelak tawa mereka tetap gagal menarik saya keluar dari bilik. Maka saya terus berkurung, melayan emosi yang dilanda badai samudera. Eceh. Tak biasalah, saya tak biasa 'ditinggalkan' oleh suami. Kadang-kadang rasa marah juga pada kerjaya suami yang selalu sangat mencuri dia dari saya. Cukuplah ditinggalkan jasad, itupun sudah menyakitkan. Jangan tambah lagi dengan pemisahan batin yang sangat mendera hati. Mana pernah satu minggu saya lalui hanya dengan 10 minit berbual di telefon setiap hari. Kalau sebelum ini, hari-hari biasa, pasti sekurang-kurangnya sejam sehari. Campur semua pagi petang siang malam. Okeylah tu, tak banyak sangat kan?


5. Okey okey, mengakulah. Sebenarnya saya yang mengada-ngada. Saya yang manja terlebih. Itu memang betul. Tak boleh nak nafikan lagi, nature diri saya dan dia membuatkan saya sangat-sangat manja dengan suami. Dan dia pun sangat-sangat manjakan saya. Tiada salahnya, semua isteri pun manja dengan suami kan. Dan tiada suami yang tak suka manjakan isteri. Cuma dalam kes ini, keadaan bertambah sulit disebabkan faktor berjauhan. Bukan setakat jauh 338km antara Penang dan Bentong. Tapi jarak yang ini sungguh kejam, hampir 13 856km. Eh betul ke? Entah, saya tak ingat betul-betul angkanya. Nanti balik malaysia tahun ni saya tengok lagi sekali di skrin flight ya.

6. Disebabkan terlalu lama berkurung dengan emosi yang remuk redam, mata juga bengkak-bengkak menangis tapi tiada yang membelai, kepala lagilah bertambah sakit sebab banyak menangis, saya tiada pilihan lain. Mahu teruskan begini dan memulakan hari esok dan minggu baru dengan disaster, atau dengan tegasnya menjerit kepada diri sendiri, stop it lah you budak manja mengada-ngada!! Enough!!!!!

7. Mandi air panas dengan kepanasan yang hampir maksimum, ambil wudhuk, buka tingkap ambil angin sejuk di luar, dan solat. Alhamdulillah. Subhanallah, tiada ketenangan lain yang dapat menandingi damainya hati yang Allah janjikan bila tunaikan solat dengan baik. Sumpah sangat-sangat tenang, seperti air lautan yang tiada riak gelombang.


8. Hari yang telah terbazir berkurung dalam bilik takkan saya sia-siakan berakhir dengan kosong semata-mata. Sudahlah banyak masa terbuang. Kalau diganti dengan hobi saya yakni membaca kamus, pasti dah 1/10 kamus boleh saya khatam dalam tempoh itu. Alhamdulillah, Allah tunjuk jalan. Allah tunjuk sebab, kenapa saya jadi macamni.


9. Tak lain tak bukan, sebab saya lebih bergantung pada suami, daripada bergantung pada Allah. Dan saya lebih cinta suami, daripada cinta Allah. See Nini? Apa kau dapat sekarang? Kecewa kan, kecewa nak mati. Kita pasti selalu dengar, kata-kata hikmah banyak melaungkan, cintalah Allah melebihi cinta pada manusia. Selalu dengar, tapi susah nak buat. Jadi kita end up tak terbuat. Sebab susah.


10. Tapi effectnya cukup besar. Secinta-cinta kita pada suami, atau isteri, walaupun dengan hati yang tulus mulus, dalam kerangka mulia yakni pernikahan, tapi kalau tak didasari dengan cinta Allah sebagai fondasi, alamatnya, hancur. Kecewa. Cinta manusia, bagaimana kuat sekalipun, pasti mengecewakan bila dilanda tribulasi. Tapi kalau cinta Allah yang mengikat cinta kita dengan suami, sedahsyat mana ombak melambung kita, pasti bahtera dapat bertahan dan kukuh di sebalik ombak yang menggila, dan kita terus melayari bahtera dengan segunung keyakinan di hati. Allah ada, Allah pasti bantu. Allah ada, minta saja pada Allah.


11. Persoalan, bagaimana mahu Allah ikat cinta kita dengan dia? Mestilah dengan cinta Allah dengan kuat-kuat. Okey, jawapan cliché. Tak sukalah. Saya tiada jawapan spesifik, kerana saya sendiri budak baru belajar. Cuma secara praktikalnya, mungkin boleh lihat bagaimana kita menyempurnakan hak suami, dan hak Allah. Dan bagaimana reaksi kita bila dipanggil untuk respon kepada panggilan Allah, dan panggilan suami. Selalunya, pasti suami yang mendahului kan? Itu kalau sayalah, mengaku saja. Sekarang, bila keadaan mengecewakan, baru mahu kembali kepada Allah. Mujur Tuhan kita tak pernah merajuk, tak pernah menolak siapa-siapa yang mahu kembali, walaupun berjuta lemon kali buat kesalahan yang sama, walau kau rasa kaulah manusia paling berkarat dengan daki dosa. Allah Ar-Rahman, selagi, kau tak sekutukan Dia.


12. Entri ini tak sepatutnya ditulis berpoints, sebab cerita yang sama saja. Tapi saya mahu tulis juga. Coollah kononnya.

21 January 2011

Saya sangat selesa begini

Comel tak comel tak? Tolonglah cakap comel. Tolonglah please please please. Merayu ni.

Okey, belum apa-apa lagi dah merepek.

Jujurnya, terasa lebih tenang selepas saya decide untuk tidak lagi publish entri terbaru di fb. Rasa lebih privasi di sini. Rasa saya menulis lebih untuk diri sendiri, bukan untuk dibaca dan ditatap oleh orang lain.

Ingatkan tiada orang akan datang menjenguk bila tiada lagi update di facebook, rupanya ada juga teman-teman rapat yang sudi datang. Walaupun tak ramai, seorang dua. Tiba-tiba saja tadi dalam usrah ada orang usik, "Nini, sebut lori nini." Sambil senyum senyum merenyeh.

Memang nak kena pulas hidung. Lepas tu kepit dengan pengepit baju. :p

Sekadar updates. Saya tulis dalam points ya, tiru cara Abgmas. Harapnya lebih mengekang diri daripada tulis berjela.


1 - Saya telah berjaya menjunamkan hargadiri facebook dalam segenap ruang hidup saya. Setakat ini, tak lebih 10 minit saya buka facebook, dalam sehari. Awak macamana? Masih taksub facebook? Selamat bermujahadah melawan diri daripada membuang masa di situ ya. Dan instead, saya lebih banyak menghabiskan masa di blog-blog saya, Destiny, KISS, dan Amoureuse. Ya, masa yang terselamat daripada cengkaman facebook tetap tak terlepas daripada belenggu internet. Masih perlu saya duduk menghadap komputer. Tapi percayalah, saya terasa lebih fruitful berada di blog. Sebab saya tulis bukan untuk saja-saja. Untuk misi jangka panjang saya. Walaupun kadang-kadang tidak dinafikan, memang merepek saja. Mea culpa!


2. Dalam seminggu ini, saya dapat 2 hadiah daripada Allah. Pertama, saya sudah dapat passion baru. Atau mungkin lebih sesuai saya guna perkataan addiction. Tapi jangan risau, memasak masih kekal sebagai passion pelik saya. Saya tetap suka memasak, unless masa yang agak menghimpit di semester kedua ni. Addiction kedua ini ada kena mengena dengan minat saya dalam bidang penulisan. Nantilah saya cerita. Hehe. Banyak sungguh rahsia.


3. Hadiah ketiga, semalam di library, ada seorang pelajar berdiri di pintu perpustakaan sambil memegang kertas, berdiri di tepi poster, tegur saya. Dengan sopan santunnya dia bertanya; "Awak berminat tak nak belajar bahasa asing?" Wah, dalam hati saya, awak memang langsung tak tersalah orang ni! Terus selebar-lebar alam saya mengukir senyum sambil menjawab "sure!". Dia tunjukkan saya poster yang ditampal di sebelahnya, ada 4 kelas bahasa di waktu malam, sekali dalam seminggu. Saya mahu sangat ambil spanish, sebab agak sukar untuk belajar sendiri-sendiri kerana kesuntukan masa. Tapi disebabkan kelas spanish yang dijadualkan bertembung dengan kelas arab saya sekarang, maka saya terus saja register dalam kelas bahasa german. InsyaAllah bermula minggu depan, hari sekolah saya akan tamat pukul 7-8 malam setiap isnin dan selasa, demi misi saya yang satu ini. Rahsia lagi. Hehe.


4. Alhamdulillah, alhamdulillah. Ini bukan poyo-poyo mahu nampak baik sebut alhamdulillah. Tapi sejujurnya, saya sangat-sangatlah bersyukur, kerana di usia baru ini, saya merasa semakin kuat dan besar. Saya rasa Allah makin kuatkan saya. Naluri hati yang mudah tersentuh kadang-kadang tetap mengusik saraf-saraf mata untuk menggugurkan sebutir dua airmata. Tapi memang setakat sebutir dua. Selepas itu terus mengering sendiri. Kalau dulu, kalau kamu kenal saya, memang berbaldi-baldi. Sampai bengkak-bengkak mata. Tapi harapnya Allah takkan keringkan terus airmata saya. Kalau kering, itu tanda hati yang kering.


5. Minggu ini emosi sentimental sedikit terdera. Abangmas kini jauh di ulu Pahang, sedang ikuti kem Askar Wataniah sebagai salah satu tuntutan baru dalam kerjayanya. Maka aktiviti gayut-menggayut di telefon terpaksa dicatu. Hanya berbalas khabar di BBM beserta beberapa keping gambar. Tapi itupun sudah cukup baik kan? Ada isteri yang berhari berminggu terpaksa menguatkan diri menunggu masa untuk dengar manis butir bicara suami. Dan saya tak dapat nafikan, mereka memang memercikkan inspirasi dan kekuatan pada saya. Contohnya, Kak Nani. Seorang isteri manja yang cukup tabah, berjauhan dengan suami berbulan-bulan terpisah oleh lautan, terpaksa membesarkan anak seorang diri. Semoga Allah terus kuatkan akak ya. Dan sudi-sudilah pinjamkan kekuatan pada Nini lagi ya.


Terima kasih Abang sebab hantar gambar yang sangat blur.
Gambar-gambar blur sangat sesuai untuk dimasukkan dalam blog.
Ada tak software untuk blurrkan gambar?


Dua keping cukuplah ya.
Sekadar menghias entri ini

6. Cool rupanya tulis ikut points macamni. Walaupun tetap tak kurang juga panjangnya.

19 January 2011

Sorry naik lori

Semalam dalam kelas bahasa Arab, cikgu minta kami menyebut perkataan-perkataan yang ditulisnya di papan putih. Ayat pendek, 3 perkataan. Basic-basic saja, macam, Abu main bola.

Bila tiba giliran saya, saya sebut dengan lancar. Oh, apa nak hairan. Kita semua pun boleh baca bahasa arab sejak kecil lagi. Tak macam classmate saya yang lagi 5 orang itu, warga perancis, agak berusia pula. Semestinya, menyebut perkataan bahasa asing, apatah lagi bahasa arab yang sangat kaya dengan sebutan yang 'tajam', bukan mudah.

Kasihan bercampur kelakar juga saya lihat mereka terkial-kial 'meneran' untuk sebut sesuatu huruf. Contohnya, Tho'. Ooh, bukan begitu ejaannya. Tapi saya tak pandai guna virtual arabic keyboard lah. Bayangkan sendiri boleh ya?

Tapi semalam, sesuatu telah membuatkan mata saya terbeliak sebulat-bulatnya. Bilamana cikgu memuji saya. Begini katanya;


"Awak, awak sebut huruf 'ro' dengan sangat baik. Macamana awak boleh sebut dengan baik?"

Waktu tu, semua makcik, pakcik, dan kakak perancis dalam kelas yang sama memandang saya, menunggu jawapan. Tapi mata saya masih terbeliak. Dan tak terkeluar apa-apa jawapan, hanya menggeleng-geleng kepala.

"Awak tak tahu?" Soal cikgu.

"Je.. je.. je ne sais pas." Menggagap juga mahu jawab 'saya tak tahu' dalam french ini.

"Sebabnya... cuba awak tengok balik bahasa ibunda awak. Mesti ada huruf R kan? Dan awak sebut R mesti bergetar kan? Tak macam bahasa perancis."


Saya angguk-angguk kepala sambil senyum. Hehe, lucu. Cikgu tanya, tapi cikgu yang jawab sendiri. Dengan yakin pula tu. Nasib baik betul.

Saya bukan malu-malu kucing kerana dipuji tak semena-mena. Tapi sepanjang 24 tahun saya hidup, inilah pertama kali orang puji saya sebut huruf R dengan baik. Puji 2 kali, depan orang pula tu.

Sebab kalau nak tahu, saya dari kecil tak pandai sebut huruf R. Dulu kecil-kecil, mak selalu ajak saya praktis sebut R sambil panggil ayam. Krrruuuuu, krruuuuuu.

Tapi yang berbunyi dari mulut saya, keghuuuu, keghuuuuu.

Bila masuk sekolah rendah, masih dengan 'kecacatan' yang sama. Mak masih tak putus asa mahu saya praktis sebut R. Tapi saya dah malas mahu panggil ayam setiap kali. Tak cool la mak panggil-panggil ayam. Main game Mario nini nak lah.

Saya ingat lagi, sewaktu darjah 3, pada suatu hari yang tenang, dalam kelas bahasa Melayu.

Waktu tu, saya kena baca karangan dalam buku teks. Baca kuat-kuat. Oh, saya sangat suka saja bila kena baca kuat-kuat. Suka tayang suara. Entah kenapa, taktahulah. Padahal tak ubah macam suara itik.

Sedap-sedap feeling tengah baca, tiba-tiba cikgu suruh berhenti. Dan cikgu cakap,

"Marini, cuba sebut ni. Lori."

"Loli". Pelat seperti orang india sedikit. Saya jawab sambil takde mood. Dah agak, mesti cikgu sedar saya tak pandai sebut R ni. Potong stim lah cikgu ni.

"Bukan macamtu. Lagi sekali, loori."

"Loolri". Hah, pandai-pandai sebut sendiri. Waktu ni, suara dah makin perlahan.

"Macam ni. Ikut cikgu sebut. Loo..?"

"Loo." Saya ikut. Layan sajalah cikgu ni.

"Ri!" Cikgu menanti saya balas.

Diam. Kepala dah tunduk. Perasaan malu tak usah cakap. Tiba-tiba saja di tengah kelas darjah 3, cikgu buat tuisyen special untuk saya, macam mengajar budak 5 tahun menyebut lori. Arghh.

"Marini...?"

"Huuwaaaaa!! Umak....... " Saya menangis semahu-mahunya, mata terpejam mulut ternganga. Sambil panggil emak pula tu. Memang macam budak 5 tahun.

Hehe.
Kenangan yang memang tak dapat dipadamkan sampai bila-bila. Sampai sekarang saya masih ingat setiap detail. Walaupun sudah berlalu 24-9=15 tahun. Kalau berpeluang pergi semula ke sekolah itu, saya masih boleh ingat di meja mana saya duduk, dan di posisi mana cikgu berdiri.

Cuma hanya kenangan sajalah yang kekal.
Cikgu yang mahu mengajar saya sebut lori itu, hari ini, sudah tiada di dunia.
Baru bulan lepas saya terima berita kepergiaannya, menerusi facebook. Arwah cikgu masih muda, seingat saya.

Bila lihat saja namanya tertera selepas perkataan Arwah, terus ingatan menyusup laju ke peristiwa 'Lori', pada tahun 1996 di SK Jawi ini.

Al-fatihah buat cikgu Rusdi. Terima kasih untuk segala ilmu cikgu sampailah saya berjaya jadi budak skema yang pandai. Eh, budak pandai yang skema. Termasuklah perkataan lori yang cikgu bersungguh-sungguh nak saya sebut betul-betul.

Sekarang dah faham kan, kenapa saya terkedu beberapa ketika bila cikgu bahasa Arab puji saya semalam. Teringat Cikgu Rusdi, teringat lori.

Kalaulah arwah cikgu masih ada, mesti arwah akan bangga dengan saya kan? Tak ada lagi loli.

Lori lori lori lori lori lori lorrrrrrrrriiii.
Nah amik.

5 January 2011

Inilah namanya penyakit rajin tak kena tempat.

mApa mimpi tulis blog tiap-tiap hari ni? Waktu senang lenang tanpa exam tinggalkan saja Destiny. Sekarang tengah exam mengada-ngada pula. Huh.

Urm. Urm. Apa nak jawab ya.

Hurm. Rasanya saya memang selalu begini. Bila tengah kesempitan masa, baru terasa efisien mahu melakukan apa-apa. Kalau tengok dalam diari sebelah bantal saya, dah penuh satu mukasurat saya senaraikan resepi-resepi yang saya mahu masak sehabis exam nanti. Tengok tangan ni, dah terketar-ketar mahu ketung-ketang-ketung-ketang di dapur.

Disebabkan saya terpaksa menahan diri daripada rasukan dapur, baik saya tulis-tulis di sini saja. Kan?

Uhh. Entah apalah yang baiknya. Tulis pun merapu-merapu.
Sikit-sikit abangmas. Sikit-sikit cerita suami.
Lama-lama jadi banyak sangat!

Yaaaa! Hari ini juga saya mahu tulis tentang dia!

Sesiapa yang tak suka, masih sempat lagi untuk kamu keluar ya. Cepat cepat, keluar. Nanti terbakar dengan api cinta yang menyala-nyala di sini, saya tak mahu ambil tahu ya. Pandai-pandai sendiri.






Haa. Siapa suruh lambat keluar. Kan dah terpaksa tengok gambar-gambar ini.

Sekali sekala mengimbau kenangan. Lagipun ada request daripada saudara-saudara yang minta nak tengok gambar. CD sepenuhnya pula ada pada saya, tak sempat mahu copy bagi orang malaysia satu.

Tapi 3 dulu cukuplah ya. Sumpah tak larat nak tunggu blogger ni loading gambar.

~ooOOoo~

Semalam puas saya pusing kanan, pusing kiri, bergolek-golek di atas katil mahu tidur. Tapi nampaknya mata sungguh degil. Mungkin kerana sepanjang cuti lepas, saya sudah terbiasa tidur melebihi pukul 12. Bangun pagi juga kadang-kadang terbabas. Oops. Jangan cerita part itu. Ish.

Kerana banyaknya masa terbuang kerana bergolek-golek semata, saya pun mengadu pada suami di BBM.

"Ngek ngek ngek (siren rengekan), Nini tak dapat tidur... Abang dodoikan please.."

"Okey okey, abang call ye."


Selang 3 saat telefon berbunyi. Okey, sebaik terdengar suara suami, mata semakin kuyu. Eh, mengantuk la pulak. Eh mengadalah kau ni mata.

"Abang bacakan qur'an ye. Nini tidur tau."

"Okey abang....."
Mengantuk.

Tipulah saya mahu tidur. Saya tak pernah melepaskan peluang untuk dengar dia baca Qur'an. Saya admire sangat-sangat alunan bacaannya. Maka saya pun pura-pura tidur. Pejam mata sambil menghayati bacaan suami.

Selepas habis bacaan;

"Nini? Nini?"

"Aa? Aaa?"
Pura-pura terjaga. Bab berlakon memang kelass.

"Nini tidur ye...?"

"Urm, baru tertidur. Abang! Nini nak teka!!" Terus suara bersemangat. Nampak sangat penipu.

"Haa. Teka-teka." Abangmas sudah faham benar, setiap kali dia baca Qur'an, saya selalu mahu teka surah yang dibacanya. Dan setakat ini, dah beberapa kali, tak pernah lagi tersilap. Hehe.

"Tadi abang baca surah 43 yea?"

"Urmm, okey.. Surah apa?"


"Surah Az-Zukhruf, kan?"


"Huwaaaaaaa! Macamana adik boleh tahu ni? Pandainya! Adik ni hafal qur'an ke apa?"

"Mane adela abang. Adik hafal ayat-ayat favourite adik je. Kan abang pernah tengok Qur'an adik, penuh dengan tanda-tanda warna warni. Itu semua ayat favourite adiklah. Kalau adik suka, adik cuba hafal. Bila adik hafal, mestilah adik tahu kedudukan dia kat mana dalam Qur'an. Hehe."

"Terrorlah adik abang ni. Memang kejuruterroran. Mana adik dapat semua ni?"


"Dalam usrah la abang. Kan adik ada usrah setiap minggu.. Hehehe."


Oh yea. Memang itu panggilan untuk saya. Kadang-kadang Nini, kadang-kadang Adik.


Inilah rupanya. Warna-warni.
Baby pun suka belek-belek macamni.
Itu yang sampai dah terkoyak tu.
Tak apa, demi baby, koyaklah apa saja.


**************************************************************

Selepas didodoi dengan bacaan suami tadi, tiba-tiba hati dirundung sayu, mengenangkan Al-Quran buruk saya yang terhilang beberapa hari. Runsing hati puas memikir, ke manalah perginya.

Adik-adik rumah bawah pun dah berusaha mencari satu rumah, tapi tetap gagal. Saya juga dah penat tawaf satu rumah ini. Dapur, bilik air, toilet, walaupun tak logik dan macam entah apa-apa, tetap saya usaha segenap inci rumah.

Tapi semalam tiba-tiba terdetik di hati. Hurm, macam belum cari lagi kat satu tempat ini.

Apa lagi, saya yang sedang terbaring di atas katil, pesongkan badan menunduk ke bawah, lalu memasukkan kepala ke bawah katil.

"Hiyaaaaaa!!! Alhamdulillahhh!!!!!!!!!!!"

Di situ rupanya. Bersembunyi, merajukkah?

Peluk-peluk saya dengan Qur'an buruk saya. Ooooh, dia memang tiada pengganti. Walaupun sudah terkoyak rabak, sarungnya telah tertanggal completely, tapi saya masih belum bersedia untuk ganti dengan yang baru. Terlalu banyak dia menemani saya sepanjang 4 tahun ini.

Canggih. Tak jumpa di mana-mana.

p/s : Saya sudah off lagu autoplay di bawah. Menyemak pula lama-lama rasa. Suka tak suka tak?:)

4 January 2011

Aku cinta, aku rindu

Okey, sempena minggu exam ini, saya mahu update blog laju-laju saja tiap hari. Sementara jam belum berbunyi menandakan pukul 9 malam. Selepas waktu itu, tiada siapa dibenarkan mengganggu okeh.

Kecuali abgmas, mak, bapak, mama, baba. Of course.

Terima kasih cinta.

Semalam hari yang sangat sangat happy. Mana tidaknya, tengok sajalah gambar di atas ni. Kiriman cinta daripada suami, melalui seorang adik di sini, Aqma(separuh nama sebenar) yang pulang ke Malaysia baru-baru ini. Gigih abangmas ke Banting semata-mata nak pass barang ini pada Aqma.

Oh, terima kasih banyak-banyak ye Aqma. Sungguh akak benar-benar terharu dengan kesanggupanmu menyumbat barang-barang akak yang agak berat dalam bagasimu. Bukan ringan. Coklat saja dah 6 keping. Saiz paling besar pula tu.

Oh, terima kasih untuk suami dah ucap awal-awal lagi semalam. So tak payah tulis lagi di sini. Lagipun tak best nak buat ucapan untuk suami di sini. Kena cover kata-kata. Tak best tak best.

Sampai habis coklat Blackforest di 7eleven yang ada di atas rak. Terpaksa minta brother di kaunter tu ambil lagi top-up dalam stor. Sampai brother tu pun pelik kenapa Abangmas beli banyak sangat.

"Aiie bang, banyaknya beli."

"Hehe, isteri mengidam. Dia duk oversea, dah lama tak makan coklat favourite dia ni."


Saya minta 3-4 keping saja, tapi dapat 6 keping. Dah agak dah, abgmas memang tak pandai bagi sikit-sikit. Dan rupanya ada simbolik juga kenapa 6 keping tu.

"6 keping tu untuk lagi 6 minggu adik nak jumpa abang k. Seminggu makan satu bar je tau."

- "Ehhh, yela abang! Lagi 6 minggu nak jumpa abang!! Tapi sedihla adik nanti, makin minggu makin sikit tinggal Blackforest ni."

"Tak payahla sedih pasal Blackforest. Nanti abang datang abang bawak lagi 10 bar, cukup?"

Hurm, cukup ke tak cukup eh?
Takpa, ada masa lagi untuk buat bajet dengan teliti sampai hujung tahun ni. Heheh.

*****************************************

Tadi turun bas, ternampak dua junior sebandar dalam bas di belakang saya. Bukan main diorang tersenyum dan melambai. Saya juga bukan main lagi membalas lambaian sambil tergelak-gelak riang. Tak perasan diri menjadi perhatian sebentar di bus-stop itu.

Hehe. Macam dah tak berjumpa sebulan. Padahal baru seminggu lepas kita makan sama-samakan? Nak jumpa setiap hari pun boleh. Bukan jauh mana, naik bus 10minit saja.

Tapi lambaian bersungguh-sungguh itulah yang membuatkan hari saya hari ini. Membuatkan hari saya? Macam tak kena je. Baik guna english, make my day. Haa.

Walaupun tadi dah pukul 7 malam, baru balik kelas selepas exam amali yang macam, erm, no comment.

In case kalau mereka terbaca, terima kasih ya adik-adikku. Terasa sungguh ikhlas senyuman lebar dan lambaian ceriamu. Akak terus jadi bersemangat malam ni.

Kadang-kadang kita selalu meremehkan kebaikan-kebaikan kecil. Walaupun hakikatnya bukan kecil, cuma nampak tidaklah sebesar mana. Memaniskan muka dengan senyuman ikhlas, tegur dan tanya khabar tanpa buat-buat, meluahkan rasa rinduuuunya pada kawan-kawan, selalu saja kita terlepas pandang kan. Sedangkan kita mungkin terlupa, yang 'kecil-kecil' itulah sebenarnya yang meninggalkan kesan indah di hati si penerima. Dan mungkin takkan terlupa sampai bila-bila.

Seperti seorang adik ini, yang saya terserempak beberapa hari lepas ketika shopping barang-barang dapur di kedai Pnomh Penh, beberapa kangkang kera dari rumah saya.

"Eh kak nini! Kak nini, orang rindu sangat kat kak nini tak tahu kenapa. Rasa lama sangat tak jumpa."

Huiii. Berbekas okey, berbekas. Kuat pula tu mencucuk-mencucuk masuk dalam hati.
Ikhlas atau tidak itu bukan urusan saya kan. Saya pun tak mahu ambil tahu.
Tapi kalau ucapan yang nampak biasa itu sangat meresap dalam hati sampai bisa buatkan saya tersenyum sampai sekarang, saya yakin, pasti ia lahir dari hati yang ikhlas juga. InsyaAllah.

p/s : Akak pun dah rindu awaklah, Nena. :p

Hurm, patutlah Rasulullah ada pesan, kalau rasa sayang pada mana-mana sahabat, pergi nyatakan pada dia. Jangan simpan-simpan. Rindu, cinta, sayang, bukan perasaan untuk disimpan-simpan ya, boleh terseksa hati. Tapi luahkanlah, sampaikanlah. Hebat kesannya, kita tak mungkin terbayangkan.

Oh dah pukul 9 malam!

Tadi dinner ini di kedai kebab belakang rumah. Akibat rindu pada kambing yang tiba-tiba menjengah di tengah-tengah exam tadi.
Tapi tak bestnya makan kambing tanpa Abangmas.
Tak ada orang nak potong kambing jadi kecil-kecil macam abangmas selalu buat.
Liat daging dia tadi abang, sakit tangan nini..

Okey, dia buat dah, dia buat dah.
Jangan layan.