31 December 2010

Janji yang tak ditepati. My bad.

Mula-mula cuti, cakap nak update sekerap mungkin. Tapi bila cuti dah berbaki 2 hari, baru teringat, rupa-rupanya cakap kosong saja yea Nini.

Eh, sekurang-kurangnya ada 2 entry di blog dapur saya, kira okeylah kan? Walaupun sebenarnya, ada banyak lagi update-update masakan yang mahu ditulis di situ. Tapi lately, sangat kurang peaceful time untuk saya seorang-seorang. Agak banyak perkara yang tergendala. Hurm.

Saya letak gambar-gambarnya di sini dululah ya. Nanti bila dah siap tulis resepi, baru akan dipost di KISS. Itupun rasanya macam kurang perlu saja resepinya.

Nasi lemak untuk tetamu 8 orang



Ayam goreng berempah - first trip gorengan


Kari ayam tanpa santan - saya tak suka santan.
Untuk menjamu 11 orang. Tapi periuk tak cukup besar.


Bihun goreng ayam sedulang.
Comot macam ape. Ish3.

Hari tu kan saya dah warning awal-awal yang saya tak pandai masak sikit-sikit?
Inilah buktinya. Kalau tak percaya lagi tak tahulah.

Eh, perlu ke tulis resepi untuk masakan-masakan di atas ni?
Macam kelakar je. Sangat simple rasanya.

Tapi of course, masing-masing bila memasak, akan ada tips-tips rahsia yang digunapakai. Rasanya tips-tips ini yang sepatutnya dikongsi.

Contohnya, bihun goreng. Saya mula masak bihun goreng sejak awal-awal datang France, umur 19 tahun. Tapi waktu tu jarang sungguh nak menjadi. Taktahulah kenapa.

Tapi sekarang, selepas practise banyak kali dan discover sendiri, akhirnya memang ada caranya untuk dapatkan rasa bihun goreng sesedap masakan emak. Tak susah pun. Hehe

Tengoklah, kalau ada yang minta resepi, saya kongsikan di KISS. Kalau tiada, tak perlulah ya.
Nak tulis resepi itu pun perlu masa juga. Satu sebab dalam english, satu lagi, sebab saya memang tulis sendiri. Tak main copypaste ni. Hehe.

***************************************************

Sejak akhir-akhir ni, makin kerap berlaku coincidence hati antara saya dan suami.

Sedang saya tiba-tiba terfikir tentang dia, waktu itulah telefon berbunyi di sebelah, panggilan dari dia.

Bila tiba-tiba saya rindu dan tergerak untuk belek gambar dia dalam handphone, waktu itulah masuk message BBM di handphone, dengan panggilan-panggilan romantis, as usual. Hehe.

Dan siang tadi, saya ke ruang tamu untuk ambil telefon yang sedang dicaj. Niat saya memang untuk telefon suami. Beberapa inci saja lagi tangan hampir mencapai telefon, waktu itulah telefon berbunyi. Terkejut saya, sudahlah volumenya saya letak maksima, hampir-hampir nak terlompat. Dan seperti yang dijangka, nama 'abgmas' tertera di skrin.

Dan saya ceritakan padanya semua coincidence-coincidence yang asyik berlaku itu.
Dengan tenang suami menjawab ;

"Sebab kita dah terikat kuat di langit sayang."

*Senyum*

Aisshh Abgmas ni. Selalu saja jawapan-jawapan dia buat saya terkejut dan tak terjangka.

Dan yang penting, luahan hati dan kata-katanya tak pernah cliché seperti ayat-ayat yang biasa didengar. Ini memang saya suka.

Memang, dia lebih pandai berbahasa dari saya. Dia lebih indah membungakan kata-kata dari saya. Cumanya dia kekurangan masa saja.

Another passion shared.
Alhamdulillah.

p/s : Terima kasih untuk Mak Bapak atas kiriman dari Malaysia. Nini dah selamat terima. Terima kasih juga adinda Fatin yang sudi memenuhkan beg sepanjang flight dengan barang-barang akak yang tak kurang banyaknya. May Allah bless you Fatin! Bolehlah buat banana chocolate cake pulak lepas ni. Dah cukup semua bahan! :)

26 December 2010

Kolestrol

Bacaan Bismillah mengiringi jari jemari ke keyboard jenama 'Clicker'.

1. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam yang mengurniakan kudrat untuk saya kembali menulis di sini. Kekok, rasa formal. Sejak balik dari Perancis, saya biarkan isteri saja yang 'conquer' blog kami. Hmm..silap ayat ni. Bukan saya yang biarkan, cuma saya yang agak sempit. Masa yang sempit. Pendek kata, setiap hari hatta hujung minggu sekali pun boleh diistilahkan 'keluar gelap balik gelap'. Semua demi berkhidmat untuk negara tercinta, Malaysia. Dengan niat yang betul, insyaAllah setiap pekerjaan mendapat pahala.

2. Lama-kelamaan, rasa cemburu tengok kerakusan isteri saya menulis. Bukan setakat menulis, tapi siap buka blog masakan yang baru! Kalau dalam perlumbaan 400 meter, saya ditinggalkan jauh oleh si Nini. Bukan saya pancit, tapi ada orang mintak autograf di selekoh 100 meter pertama (macam Usain Bolt tengah lari pecut ada orang mintak sign, kena berhentilah nanti dikata sombong), Nini terus memecut di selekoh 100 meter yang kedua. Sekarang baru saya nak sambung pecutan, jadi Nini jaga-jagalah, abang kejar kat belakang. (Ape bende mengarut nih)


3. Untuk sambungan pecutan ni, memang berhajat untuk mengarut saja. Tapi dalam karutan, diharap ada juga manfaat untuk pembaca. Minggu yang lepas terdapat dua perkhabaran yang sedih untuk saya dan keluarga. Untuk memenuhi tuntutan tugas, saya telah menjalani pemeriksaan perubatan menyeluruh di Hospital Angkatan Tentera. Menyangkakan keputusannya baik, maka saya menjadi diri saya yang normal iaitu sukakan makan. Saya rasa isteri saya sangat mudah untuk menggembirakan perut saya sebab tidak ada apa yang saya tidak makan. Tetapi itu ada mudaratnya.

"Awak umur berapa??!" Doktor bertanya kepada saya, sebaik pintu biliknya dikuak. Garang nadanya.

"Er..er..rahsia. Doktor, Assalamualaikum!Boleh saya duduk dulu?" Sempat lagi saya melawak. Tapi kepala dah ligat memikirkan mesti ada yang tak kena dengan keputusan ujian darah.

"Awak suka sangat makan apa?" Doktor tambah lagi kepedihan di hati.

"Ye, hobi saya makan, Doktor" jawab saya ringkas.

Tak perlulah saya ceritakan keseluruhan dialog saya dan Puan Doktor atas nama kerahsiaan maklumat pesakit. Mesejnya jelas seperti berikut;

a) Penyakit berpunca daripada makanan, ataupun input ke dalam badan.

b) Bersedialah menerima berita buruk dengan hati yang terbuka, jika anda seorang yang banyak input dan kurang output.


4. Paras kolestrol saya jauh melebihi paras normal. Tambahan pula dengan usia saya yang boleh dianggap muda. (auwww..) Tompokan lemak di dalam pembuluh darah inilah yang merupakan penyebab dan pembunuh no. 1 rakyat Malaysia, Heart Attack. Sedih, tapi kehidupan mesti diteruskan. Terima kasih kepada isteri tercinta yang sentiasa memberikan kata-kata semangat dan dorongan untuk mengurangkan kadar kolestrol pada tahap yang normal dalam masa 1 bulan dari sekarang. (Minta tolong buatkan ruangan makanan sihat kat blog Keep it Simple ye!) Strateginya bukanlah semudah itu, saya akan menggantikan sarapan pagi dan makan malam kepada makanan yang berasaskan fiber dan kaya dengan omega, seperti ikan, oat, roti wholemeal, minyak zaitun, dan bijirin gandum.

5. Ye, makanan yang tidak murah. Tapi inilah prinsip input manusia oleh masyarakat di barat untuk makanan otak. Mereka mendahulukan sumber makanan yang sihat sebagai staple food mereka, dan mengkesampingkan makanan yang berlemak, berminyak, bersantan, dan sebagainya. Jadi, selamat tinggal Nasi Lemak Os, Nasi Briyani Ismail, Maggi Goreng Mubeen, Kari Kambing Mahboob, Nasi Kandar Pelita! Saya akan kembali dalam masa satu bulan. :D (Big Smile)

6. Dalam pada itu, satu lagi khabar yang sedih ialah bapa mertua kakak saya, iaitu Tuan Haji Tasrip telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat, 24 Disember 2010 jam 2.00 pagi di Hospital Temerloh. Allayarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Purun pada hari Sabtu selepas solat zohor. Saya pohon agar kita sama-sama mendoakan kesejahteraan beliau di alam akhirat yang mana kita semua pasti dan mesti akan menyusul. Itu janji Allah.

Al-Fatihah.

-Did-
Bentong, 10.15am

17 December 2010

Ilham dari hati yang keliru.

Mulai saat ini mungkin Destiny akan di'update' lebih kerap. Dengan sangat kerap mungkin?

Esok sudah mula cuti! Uwayy!
Walaupun hati melompat-lompat keseronokan sepulangnya dari kelas tadi, tapi agak terbeban juga memikirkan exam-exam berderet menanti lagi 2 minggu, sebaik buka sekolah.

Cuti ala kadar saja. Cuti daripada pergi sekolah. Hakikatnya kepala dan badan tetap tak boleh bercuti sangat. Tapi sikit-sikit, boleh kot ye? Kasi can.

Dan semestinya, selain revision, homework, dan lab report yang setia menanti di atas meja, dalam kepala saya ini sudah berlapis-lapis wishlist resepi untuk dilangsaikan di dapur.

Macam-macam. Sampai terlopong sekejap sewaktu membayar bil di pasaraya semalam. 40euro, hanya untuk bahan-bahan memasak. Itu belum masuk kisah barang-barang kehendak dan keperluan yang lain ; syampoo, jus oren, plastik sampah, biskut, coklat, etc.

Alhamdulillah, pagi ini, selesai satu resepi. Untuk hari pertama, walaupun belum betul-betul cuti. Gelojoh punya hati. Ish.

Nasi tomato


Ayam rempah bermadu

Tapi saya ada satu handicap dalam memasak.
Saya sangatlah tak pandai masak sikit-sikit. Serious.

Kalau nasi goreng, mesti sekurang-kurangnya sekuali besar saya masakkan. Apa-apa lauk ayam, sekurang²nya separuh ekor saya kerjakan. Masak maggi pun sekurang-kurangnya 3 peket terkorban. Walaupun dalam rumah ini hanya ada 2 orang yang mahu makan.

Taktahu lah kenapa ye. Mungkin sebab dah terbiasa adik-beradik ramai.

Eheh, macamlah di rumah dahulu saya suka memasak untuk keluarga. Jauh sekali! Bila difikir-fikir semula, macam tak percaya. Walaupun usia dah cecah 21 tahun waktu itu, dah bertunang, tapi mahu hidupkan api pun saya terpaksa panggil mak untuk tolong. Mahu pecahkan telur pun minta tolong mak. Kalau saya yang pecahkan nanti mesti bersepai dengan kulit-kulit telur saya goreng sekali. Uwek.

Tapi ada kena-mengena juga adik beradik ramai dengan handicap saya ini. Sebab saya tak biasa tengok lauk-lauk yang dimasak sedikit. Setakat 3-4 ketul ayam sekali masak, ish ruginya ruginya! Buang masa, penat-penat memasak, dapat sikit saja.

Disebabkan handicap ini, maka terpaksalah saya memanggil jiran tetangga sekeliling di sini untuk menjamu selera. Tambah pula, housemate saya ini tak banyak makannya. Dia makan ciputt saja. Saya mungkin 3 kali ganda lebih daripada dia. Mujurlah ada adik-adik satu malaysia yang selalu saja sudi menghulurkan perut untuk masakan-masakan amatur tahap sekolah rendah saya ni. Bak kata mereka, biarpun ribut salji di luar, demi Kak Nini, tetap kami datang!

Cayalah korang!

Jadi, tolonglah jangan salah faham. Kalau-kalau saya selalu menjemput tetamu makan apa yang saya masak, bukanlah untuk menagih kata-kata manis dan pujian, "sedapnya kak nini masak..." Nehi nehi nehi! Saya malah lebih prefer orang makan diam-diam daripada banyak puji-puji. Bahaya. Kalau saya terpesong niat ada orang mahu tanggung dosa saya?

Percayalah. Kalaulah membazir itu amalan mulia dan menjanjikan syurga, nescaya saya akan masak masak masak, makan dan tak habis terus buang saja! Lepas tu masak lagi resepi seterusnya. Dan buang lagi.

PELIK

Sebenarnya, saya pun tak tahu dari mana lahirnya minat yang mendalam ni. Yang pasti, baru dalam sebulan ini.

Nak kata selepas berkahwin, kurang tepat juga. Sebab selepas kahwin saya masih lagi liat-liat memasak. Kepala ligat berputar mencari seribu satu alasan. Bahan tak cukup, tak biasa dapur orang, takut tak kena selera dan macam-macam lagilah!

Uhh, tension pula memikirkan saya yang banyak benar berdalih waktu itu.
Cakap sajalah, saya malas.
Full stop. Tak perlu explanation.

Dan sebenarnya, sejak bertahun-tahun dulu, semenjak keberadaan saya di bumi asing ini, saya sering menjadi pembaca-setia-tetapi-senyap bermacam-macam blog masakan di internet. Kalau tak percaya, boleh tengok bookmark saya.

Cuma sebelum ini, saya tak minat memasak.
Tapi saya sangatlah minat memakan. Dulu kini dan selamanya, kan abang? Hee. You know me.

Tapi terdetik juga, sampai bila hanya tahu makan. Suka itu suka ini, tapi tak pandai buat sendiri.
Dan kehidupan di oversea ini memang melatih saya sikit demi sedikit untuk belajar memasak. Kalau tak, memang merana diri sendiri menahan kempunan dan rindu masakan emak. Sampai boleh menangis kadang-kadang, hanya kerana mengidam laksa atau nasi lemak!

Dan setiap gambar-gambar masakan yang terpapar baik di blog, facebook, atau mana-mana saja laman yang boleh dicapai, tak pernah gagal menjadi sumber inspirasi dan motivasi saya. "Satu hari nanti, aku mesti boleh buat jugak.", getus hati saya setiap kali meleleh air liur melihat gambar-gambar yang masyaAllah sungguh tempting.

Tapi hari ini, entah di mana turning pointnya, saya yang kepelikan dengan diri sendiri.

Setiap hari tangan rasa gatal-gatal kalau tak memasak.
Kalau ke kedai, pasti saya berlama-lama di bahagian rempah ratus. Ambil sepeket, letak di hidung, bau dan cium, ooo, ini jintan putih, ooo ini ketumbar, haaa inilah biji pelaga..., bisik saya seorang diri

Sambil menunggu bas, sempat browse berpuluh-puluh resepi di internet handphone. Google, dan add bookmark.
Sampai satu hari tu, elok saja bas berlalu depan saya yang sedang ralit membaca resepi. Terpaksalah tunggu 20 minit seterusnya. Ambik kau.

Memang pelik sangat-sangat. Tak pernah terjadi di mana-mana zaman dalam hidup saya.

Atau, adakah ini tanda-tanda saya nak mati?

Masayarakat kita kan selalu saja bila ada kematian, terus disoal tanda-tanda pelik sebelum si mati meninggal. Walaupun hakikatnya tak pernah termaktub di mana-mana kitab atau hadis mengiyakan hakikat itu. Entahlah.

Ni ni saya tengah menunjukkan tanda-tanda pelik yang ketara amat sangat ni. Tolong ingat ya semua. Mana tahu kalau-kalau ada orang tanya kamu lepas ni, apa perubahan arwah Marini sebelum dia meninggal?

Allahuakbar. Tiba-tiba meremang bulu roma. Takut.

MATI

Perbualan bersama suami 3 minggu lepas, sedang dia memandu ke tempat kerja dan saya bersiap-sedia di pembaringan mahu terlena. Rutin biasa hari-hari.

"Abang, macamana kalau Nini takde..?"

-"Nini takde ape?"

"Macamana kalau Nini takde..?"

-"Takde ape Nini?"

"Macamana kalau satu hari nanti Nini takde dengan abang..?"

-"Mana boleh. Nini mesti ada. Nini kena ada dengan abang sampai bila-bila."

"Tapi abang, satu hari nanti, mesti Nini takde jugak kan..?"

*Suami diam. Lama.*

-"Macamana kalau abang pula tak ada?"

*Saya diam sekejap.*

"Kalau abang tak ada, Nini janji akan hidup baik-baik kat dunia, tak buat dosa, supaya nanti kat syurga Nini boleh jumpa abang semula.."

"Tapi abang janji kena tunggu dekat syurga ya.."


Oh, bolehlah. Saya yang tanya soalan, pasti saya ada skema jawapan.

Ini hanyalah satu perbualan yang agak luar biasa dari yang biasa-biasa. Yang biasa-biasa mungkin dah terlalu kerap diperdengarkan di sana sini, antara suami isteri, antara ayah dan anak. Dalam kereta, dalam rumah, di tempat kerja.

Topiknya pula menjurus kepada hal-hal keluarga, perancangan masa depan bersama, masalah sekolah anak-anak, perihal teman sekerja yang menjengkelkan, masalah study yang merumitkan, and the list goes on.....

Tapi bila menyentuh soal kematian, yang mana semua orang tak kira agama meyakini ia sebagai satu ketetapan, terus saja hati tak mahu memperpanjangkan bicara. Terasa ish, kenapa cakap pasal ni?

Perasan tak?
Kalau tak perasan, cuba test dialog ini dengan orang-orang yang kamu sayang. Ayah kamu misalnya;

"Abah, saya rasa macam dah nak dekat matilah."

Dan cuba lihat apa reaksi mereka;

"Hoissshhh kamu ni! Buang tebiat ke apa cakap macamtu?"

"Hey apa cakap macamtu?"


Saya rasa sungguh ironik. Kita akui dan imani (benarkah?) hakikat kematian, tapi isu kematian ini dibiarkan bisu sebisu bisunya dari mana-mana penjuru kehidupan. Seperti satu taboo.

Seolah-olah, biarlah kematian itu datang senyap-senyap dan tiba-tiba mengambil kita atau mencuri orang-orang yang kita sayang. Tak perlulah kita fikir-fikirkan tentangnya. Pahit. Sakit.

Tapi kalau berfikir tentangnya pun kita sanggahi, bagaimana mahu katakan kita bersedia menghadapi?

Atau sememangnya kita tak perlu bersedia ke arah kematian? Tapi kita yakin, ia tetap akan datang, menjemput kita menemui Tuhan.

Ish, peliklah. Kelirulah. Kan?
Persoalan tentang mati, betul-betul mati dalam hati.
Macamana boleh jadi macamni?

Dan kerana itu, saya hanya mampu menangis bercucuran airmata tanpa sepatah kata, tatkala emak kesayangan saya meninggalkan pesanan-pesanan pelik sebelum berangkat ke tanah suci sebulan yang lalu,

"Nini, kalau apa-apa jadi kat mak bapak, barang kemas mak tu semuanya mak tinggalkan untuk Nini. Tak banyak, tapi cukuplah untuk anak perempuan kesayangan mak seorang ni. Baju-baju mak, walaupun tak cantik, janganlah buang. Simpan buat ingatan Nini pada mak nanti.."

*Aduh, kan dah menangis. Hati dan akal saya amat sensitif sekarang. Teringat saja pada Mak dan Bapak, mata terus kehujanan mencurah-curah.*

Saya tiba-tiba kebuntuan akal di sini. Dan langsung mati kata-kata.

p/s : Sorry, saya pun tak tahu macamana boleh terdeviate topik begini sekali. Daripada hal dunia terus kepada hal akhirat. Cetusan hati yang buntu. Boleh rujuk dua entri lepas.


10 December 2010

Selamat ulang-bulan sayang.

Alhamdulillah, hari ini genap 5 bulan usia pernikahan saya dan suami.

Dalam Facebook, ada beberapa teman menghantar mesej, bertanya tentang gambar perkahwinan kami. Kenapa tak upload? Nak tengok..

Ya, saya akui, laman Facebook saya sangat ketandusan gambar-gambar perkahwinan. Seperti yang saya pernah tuliskan satu masa dahulu, saya amat-amat skeptikal dengan tahap keselamatan di internet. Mahu meletak sesuatu gambar, pasti akan saya belek dan telek puas-puas dahulu. Tak boleh banyak sangat, tak boleh menarik sangat, tak boleh nampak aurat walaupun hanya pergelangan tangan, tak boleh gambar penuh satu badan, tak boleh itu, tak boleh ini.

Dan kerana itu juga suami memberikan kepercayaan penuh pada saya dalam memilih gambar untuk dikongsi di alam maya. Kerana dia sudah tahu benar, saya amat cerewet dan skeptikal. Sangat menepati piawannya yang amat menjaga ruang privasi dan kisah peribadi.

Tapi hari ini, ingin saya kongsikan satu gambar yang paling saya sayang dalam banyak-banyak yang tersimpan. Kata orang perancis, un vrai coup de coeur!

10 Julai 2010

"Abang buat apa ya dalam gambar ni? Abang cium kepala nini ye?"

"Abang baca doa sayang."

"Doa ape abang?"

"Masa kursus nikah peringkat final tu, Pakcik Kamil ada bagitahu abang. Supaya lebih berkat, saat pertama nak sentuh isteri, pegang kepala isteri, baca doa di ubun-ubun. Tiupkan dan cium."

Sangat simbolik. Penuh makna.
Ini doanya.

"Ya Allah, aku memohon kepadaMU kebaikan yang telah Engkau selubungi ke isteriku, dan aku berlindung dari keburukan isteriku dan keburukan yeng telah Engkau selubungi ke atasnya."

KIRIMAN DARI TUHAN

5 bulan pernikahan, tetapi hakikatnya hanya baru 3 bulan kami sempat bersama.

Selepas 5 tahun terbiasa dalam keadaan berjauhan terpisah benua, alhamdulillah, kami tak mengambil masa yang lama untuk memulihkan kekuatan dan semangat selepas terpaksa berpisah jasad 2 bulan lalu. Selepas 2 minggu, kekuatan kembali meresap dalam hati, beserta keyakinan bahawa takdir Allah ini pasti menjanjikan kemanisan buat kami.

Malah kedua orang tua kami juga tenang melihat anak-anaknya yang tidak keterlaluan bersedih hingga melarat. Saya tahu, mak dan ayah saya misalnya, menjangkakan yang lebih dahsyat. Penangan orang baru berkahwin, ujian berpisah pasti dirasakan paling berat.

Percaturan hidup yang bermacam rencah ini membuatkan saya semakin celik. Benar, beriman dengan Allah tidak cukup dengan menghafal sebagai salah satu rukun iman. Tidak pernah sempurna jika hanya dibiarkan basah di lisan. Tetapi menagih segunung keyakinan di hati, bertunjang kuat mendasari fikiran.

Kalau kita yakin Allah itu Maha Penyayang, yakinlah juga Allah itu Maha Adil. Dan seterusnya akan membawa kita kepada keyakinan, Allah itu tahu semuanya, Maha Mengetahui. Dalam atau luar, kecil mahupun besar, terang atau samar.

Jadi, bilamana sesuatu ujian tertakdir, berat mahupun ringan, menangislah. Kerana kita takkan mampu terpisah dengan fitrah. Tetapi tenanglah, bangkitlah, yakinlah, tiada ujian yang turun tanpa kekuatan dari Tuhan. Pasti akan kita temui bekalan kekuatan yang tak pernah kita rasakan.

Mungkin sekali, Allah campakkan benih kekuatan itu untuk dicambahkan dalam hati, buat menghadapi ujian yang lebih besar satu hari nanti. Who knows, kan.

Wallahu'alam. Tetapi sekurang-kurangnya, itulah yang saya rasakan, bila diri terheret melalui jalan yang bukan mudah.

SEDETIK INI

Setegar mana ketabahan mengulit, hati tetap akan tercuit.

Di saat kekuatannya melemah, sayalah yang perlu jadi sang gagah. Menggenggam erat tanggannya, ayuh sayang, kita terus melangkah. Kita kan ada Allah..

Dan di masa-masa kebanyakan, saya pula yang jatuh. Dan di ketika itu, dia tak pernah gagal menjadi peneguh. Genggaman tangan tidak sesaat dilepaskan, malah semakin erat dan kukuh. Bangun sayang, jangan biar impian kita rapuh. Syurga masih lagi jauh..

"Sekeping hati abang ada pada Nini. Jangan pulangkan.
Simpan sampai kita jumpa di syurga." (10 Dec 2010)

9 December 2010

Dan ia pun pergi...(belated entry)

Awal minggu lalu, tetamu istimewa penghujung tahun berkunjung lebih awal dari biasa. Tak disangka-sangka awalnya. Maka terbitlah senyuman riang dan jeritan girang penghuni-penghuni bumi, terharu menyambut kedatangan tetamu alam bernama salji. Potret kesucian, dari Yang Maha Suci.

Pandangan dari tingkap bilik.
Saat-saat awal ketibaannya di bumi.

Oh Tuhan, aku melihat seluruh penduduk alam gembira menyaksikan temasya alam terindah ini. Masing-masing berteleku di balik jendela, telapak tangan dihulur keluar, menyambut butir-butir halus yang lebat berjatuhan. Manik-manik salju digenggam. Dan bibir seolah-seolah belum letih melakar senyum. Mungkin terlalu dalam rindu yang menguntum.

Menapak ke sekolah.

Lewat hari berganti, seluruh kawasanku memutih diliputi salji. Adakalanya salji turun, namun berhenti selepas beberapa jam. Kadang-kadang hingga berselang hari. Dan termaktub dalam ketetapan alam, meskipun fitrahnya tercipta dari molekul-molekul air semata, tapi Allah menciptakan salji sempurna berstruktur. Hinggapannya di bumi mampu kekal berhari-hari. Meskipun terus dipijak oleh jutaan tapak kasut yang menapak. Ia tetap mampu bertahan di situ.

Dan perlu kamu tahu, ia sangat-sangat licin. Tak mampu aku jelaskan bagaimana.

Lalu pemandangan pun berubah. Hilang sudah wajah-wajah indah. Kelihatan riak-riak marah. Malah ada yang menyumpah seranah.

Bukan sedikit aku melihat manusia terjatuh, tergelincir, terjelupuk di hadapanku. Walaupun mereka tidak berlari, hanya berjalan dengan langkah yang biasa. Dan salah seorangnya, aku sendiri.

Dulu semasa kecil, aku suka menonton filem Home Alone. Oh, siapalah yang tidak gemarkan kisah komedi yang comel ini. Malah hingga hari ini, sudah dewasa dan besar panjang, tetap mudah pandanganku dicuri setiap kali tersiar filem ini di televisyen. Dan antara babak yang aku ingat, bilamana si perompak terjatuh berguling-guling akibat memijak tangga yang diselaputi ais berair.

Babak itu sepatutnya melucukan. Tetapi aku tak suka adegan yang dipaksa menjadi lucu. Kerana ketawa sepatutnya spontan, bukan paksaan. Dalam banyak-banyak sedutan, bahagian ini yang aku rasa keterlaluan. Bagaimana boleh jatuh begitu sekali? Oh, sangat exagerrate pengarahnya, fikirku dahulu. Tak logiklah. Dan bila tak logik, automatik sinonimnya tak kelakar.

Tapi hari ini aku sudah faham. Memang logik saja.

Sampai menangis-nangis aku cuba bangun selepas terjatuh di atas jalan tempoh hari. Menangis kerana terjatuh berturut-turut 2 kali. Mujur saja aku tak tersembam. Tapi aku aku tetap geram. Kenapa boleh terjatuh? Kenapa licin sangat ni? Ya Allah, tension. Sedaya upaya aku cuba neutralkan rasa geramku, takut-takut terarah pada Tuhan yang menjadikan salji dan mentakdirkan aku terjatuh. Lama aku berdiri di situ, cuba memerhati manusia sekelilingku melangkah dan bertahan. Walau macamanapun, tetap perlu melangkah. Walau hakikatnya, mahu kedepan, licin. Mahu ke belakang juga licin.

Dan hujung minggu yang baru berlalu ini, aku sekali lagi merasakan maha hebatnya kasih sayang Tuhan melalui alam ciptaanNya. Hujan turun mencurah-curah sejak pagi Ahad, mencairkan mendapan-mendapan salji yang mendatari setiap jalan dan laluan. Alhamdulillah, hatiku lega menerima 'hadiah' ini. Dek kesibukan di meja studi, aku terlupa mengintai suasana alam di luar. Cuma yang pasti, memang Allah turunkan hujan sepanjang hari.

Sehinggalah pagi isnin menjelang, bilamana mataku terbeliak melihat ini.



MasyaAllah.
Bersih-sebersih bersihnya Allah 'menyapu keluar' segala mendapan putih yang membahayakan hamba-hambaNya, yang mengundang caci dan cerca dari hati-hati yang buta.

Dan hati sesak dengan beraneka rasa. Syukur, kerana sangat cantik Allah hadiahkan ini untuk memulakan minggu baru. Pasti ramai yang tersenyum dan gembira, tetapi kali ini dengan pemergian salji. Tak perlu berhati-hati mengatur langkah memerhatikan jalan, tak perlu mengikis salji yang menebal di tetingkap kereta, tak perlu khuatirkan bas yang mungkin terlambat akibat tersangkut di mana-mana, dan yang pasti, aku tak perlu lagi bimbang untuk kembali berlari mengejar bas!

Dan setinggi-tinggi syukur aku langsungkan, kerana Dia masih sudi mengizinkan hatiku berinteraksi denganNya, merakam setiap dan sekecil-kecil perjalanan alam menerusi lensa hati.

5 December 2010

Satu atau dua? Atau satu setengah?

Rasa macam baru semalam kita ucapkan selamat datang Disember. Tapi hari ni sedar-sedar sudah masuk hari ke-6. Hampir sempurna seperlima bulan.

Ush, cepat sungguh masa berlalu ya.
Oh, saya sungguh tak suka ayat-ayat klise. Terlalu ramai orang guna, hingga tak berbisa di hati. Sedangkan ucapan-ucapan yang biasa didengari seperti Selamat Hari Raya, atau Selamat Hari Lahir juga seboleh-bolehnya saya ubah bilamana saya perlu mengucapkannya.

Tapi rasanya tiada ayat lain yang lebih tepat untuk ini. Memang, masa sangat cepat berlari.
Hanya kita yang masih terkedek-kedek dengan diri yang lama, tetap di titik yang sama.
Tidak juga berganjak, dan masih teragak-agak.

Lagi 24 jam waktu France, masa akan terus terbang ke dimensi baru. 1 Muharram.
Ada apa dengan 1 Muharram? Haa. Jum nyanyi lagu favourite saya.

1 Muharram detik permulaan
Perkiraan tahun islam hijrah
Perpindahan nabi dan umat islam
Dari kota mekah ke kota madinah

Boleh terus sambung nyanyi kalau larat ya. Saya tak larat nak tulis lirik sepenuhnya.
Tapi hati masih terus menyanyi.

Ya, hijrah. Amat besar pengertian, yang menuntut segunung pemahaman, untuk diterjemahkan dengan amalan.
Mahu saja saya tulis sesuatu tentang hijrah ini. Tapi malulah.
Nanti kalau Allah pinjamkan kekuatan, saya kongsikan, ya.

SEMBUNYI

Kecewa saya dengan Destiny.
Bukan kerana tak cukup pembaca, kerana saya menulis bukan untuk dibaca. Sungguh ni.
Jauh sekali kerana tak cukup komen diterima, kerana komen-komen hanyalah bonus bagi saya.
Langsung tak termasuk dalam sebab dan tujuan.

Tapi kerana tak cukup berisi. Sedangkan itu tujuan saya menulis di sini.
Untuk dicurahkan setiap lintasan hati.
Ruang ekspresi. Tak lebih dari itu.

Sebabnya, saya punya blog satu lagi. Blog ini, setiap masa saya update. Sangat berisi sampai kadangkala tepu pula.
Cuma sayangnya, blog ini tulisannya tak kekal. Sekejap saja sudah terpadam. Malah langsung tak dapat diakses oleh sesiapa.

Blog dalam hati. Ya, inilah Destiny versi peribadi.
Sangat banyak luahan, rintihan, keluhan, muhasabah, yang saya tuliskan hampir setiap masa.

Paling kerap, sebelum tidur. Ini adalah masa paling favourite untuk saya merenung diri, menyelak semula episod hidup hari-hari, mengintai hikmah di sebalik setiap langkah.

Allahuakbar, kesannya cukup besar. Sampai basah-basah bantal tidur saya hampir setiap malam. Dalam kegelapan total, hati memanggil-manggil Tuhan.

Kalaulah Destiny dalam hati itu boleh dihubungkan di sini, alangkah baik.
Tulis dalam hati, tekan butang 'publish post', dan terus tersemat di sini.

KARMA?

Ramai orang cakap, hidup ini memang mengikut hukum karma.
Saya tak tahu dari sumber mana diceduk pemahaman ini. Dan kerana itu, saya tak berani berkata apa-apa.
Cuma sefaham saya, karma ini seperti hukum alam yang berputar bak roda. What goes around comes around. Gitu ya karma?

Disebabkan saya tak tahu dari mana asal-usulnya, maka lebih baik untuk saya berpegang pada yang saya yakini sumbernya.

Kitab qalam, dari Tuhan pemilik alam.

Sejak akhir-akhir ini, saya sering dihadapkan dengan dua situasi yang bertentangan.
Antara kiri dan kanan.
Antara putih dan hitam.

Alah, semua orang pasti melalui situasi ini hampir hari-hari juga bukan.
Tapi, berhadapan dengan dua situasi distinct ini membuatkan saya resah.

Nak pilih yang mana ni? Dua-dua macam best.
Lantas, hati yang berpenyakit ini cenderung mengatakan, pilih saja tengah-tengah. Selamat beb.

Tapi betul ke selamat?

Contoh ya.
Di saat ini, Allah buatkan saya rasa indahnya hidup di dunia. Oh, sedap betul. Memang sedaplah. Bak kata orang-orang sekarang, like, seriously.. Eheh.

Macamana tak indah.
Di sekolah dikelilingi cikgu-cikgu yang baik-baik belaka.
Ditambah dengan saya seorang sahaja perempuan bersama 28 teman sekelas lelaki yang lain. Semuanya bersikap baik dan nice pada saya.

Pulang ke rumah penat-penat, melihat rumah tersusun kemas dengan perabot-perabot second hand yang gigih dibeli bulan lepas.
Masuk pula ke bilik, semua barang tersusun dan ada di tempatnya. Tiada apa yang terkurang.
Cukup lengkap semuanya.

Bila hati terasa seperti jambu, boleh berchatting dengan free dan halal bersama lelaki idaman yang dicintai. Tak perlu on komputer, hanya di hujung jari.
Dan bila-bila saja boleh mendengar suaranya. Cakap lama-lama.

Sampaikan, bila melihat bekas perkakas sekolah yang dipenuhi pen-pen berwarna-warni juga membuatkan saya rasa, oh bestnya dunia! Boleh tulis nota cantik-cantik, baru ada semangat mahu study.

Sampai begitu sekali.

Tapi, disebalik rasa keseronokan dunia, pandangan hati direntap kuat dengan keyakinan melangit yang menunjangi hati, bahawa kalau kau pilih dunia, kau tak dapat apa-apa dekat akhirat!

Bukan aku yang cakap beb. Allah yang cakap ni.

Setiap kali merenung makna ayat-ayat Al-Quran yang saya baca, pasti akan stumble across ayat-ayat peringatan beserta ancaman terhadap manusia yang memilih dunia dan manusia yang memilih akhirat.

Antara ayat yang paling memberi tamparan paannngggg di hati.

Barangsiapa menghendaki kehidupan sekarang (duniawi),
maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang kami kehendaki bagi orang yang kami kehendaki dan Kami tentukan baginya neraka jahannam; ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir.

Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik.

Ayat ini ada dalam surah ke-17, surah Al-Israa', ayat 18-19.
Kalau tak percaya boleh check sendiri. Tolonglah buka dan check. Moga-moga tak dibiarkan berhabuk lagi kitab paling berharga itu.

Ini baru satu. Ada banyak lagi ayat serupa ini, dengan makna yang sama.

Perkara pertama yang terlintas di hati; Oh Allah, macamana ni? Aku nak akhirat. Tapi aku nak dunia jugak. Dunia ni macam bestlah. First time rasa dunia best macamni.

Boleh tak pilih dua-dua? Eh serious boleh ke tak pilih dua-dua?

Nak sambung esok boleh tak?
Tiba-tiba rasa mengantuk.

Macam best pulak tulis separuh-separuh macamni.

23 November 2010

Cinta? Wa tak caya sama lu!

MAIN-MAIN CINTA

Bukan aku tak percaya cinta.
Eceh, macam lirik lagu yang entah apa-apa tapi tetap boleh jadi hot juga.

Mana mungkin tak percaya, malah aku sendiri sedang enak dilamun cinta saat ini.
Cinta yang halal berpahala. Cinta yang kalau betul-betul dijaga, memang boleh menjanjikan syurga!

Mana mungkin aku tak percaya cinta, sedang aku amat-amat yakin dan percaya pada si Pencipta cinta itu sendiri. Dia yang Maha Pencinta.

Tapi aku sama sekali tak percaya pada kebanyakan si pemegang cinta. Si penjanji cinta. Atau lebih layak aku gelar sebagai si pemain cinta!
Mungkin kamu. Mungkin juga aku.

Tolong jawab soalan aku ya.

Kamu pernah tak rasa cinta yang amat sangat? Bukan cinta biasa-biasa. Ish, lirik lagu lagi.
Tapi aku maksudkan ni, cinta yang amat sangat sangat sangat sangat.
Kamu pernah rasa tak?



Kalau kamu pernah rasa, atau sedang rasa, boleh kamu kongsikan bagaimana rasa cinta yang amat sangat sangat sangat sangat itu?

Boleh tak ceritakan? Tolong.

Oh pelis, aku tak mahu dengar ayat-ayat klise yang sudah jelak aku dengar dalam lirik-lirik lagu cinta masa kini.

Demi cintaku padamu
Akan kurenangi lautan samudera

Akan kudaki banjaran tinggi
Akan kuredah lautan api
Akan kubentangkan permaidani ke syurga
Bulan madu di awan biru.

Ceit poodah!


OH, I LIKE!!

Bercakap tentang cinta, semua orang pasti suka. Malah rasanya, itulah topik paling hangat, yang mampu menarik jutaan mata untuk menatap dan hati untuk memahami.

Lihat sajalah, lagu-lagu yang dimainkan sekarang. Pasti terasa janggal tak sempurna tanpa satu pun perkataan cinta dalam senikatanya.

Jangan salah sangka. Bukan aku tak suka lagu cinta. Cuma aku amat kesal dengan pencipta-pencipta lagu sekarang. Kosong tak berisi. Sudahlah tak membawa aku menginsafi diri dengan hakikat kehambaan, malah dari segi susunan bahasanya juga sangat kosong! Bak kata Saravani lagi, yilekk polingge!

Sebagai pencinta bahasa tak kiralah bahasa apa pun, sekurang-kurangnya, aku suka untuk hayati lirik dan penggunaan kosa katanya, untuk aku tambah dalam gedung bahasaku lantas meningkatkan penguasaan aku sendiri.

Itu cara aku. Malah sampai sekarang pun bila dengar apa-apa lagu, aku akan perhatikan liriknya dahulu sebelum melodi.

Dan ternyata, percayalah, sangat banyak yang aku belajar daripada bahasa puitis yang tersulam di bait-bait lagu.

Tapi cara ini mungkin sudah kurang relevan sekarang. Sebab lagu-lagu sekarang memang tiada apa-apa faedah, baik dari segi keagamaan mahupun seni bahasa.

Aku cinta padamu.
Aku rindu padamu.

Oh sungguh aku sayang padamu.

Kau cinta padaku.


Very poor indeed.
Kasihan.

Eh, tadi rasanya aku cakap tentang lain kan? Kembali kepada topik ya.

Malah pasti kau sedar, antara nasyid juga perlu mengalunkan irama cinta, supaya mudah diterima dan laku di kalangan pendengar.

Novel-novel cerita kini, rata-rata topiknya tentang cinta. Walaupun aku yakin, kebanyakan penulis bertitik-tolak dari niat untuk berdakwah, membawa manusia kepada Allah. Tapi nampaknya, tetap perlu menjadikan 'cinta manusia' sebagai umpan, yang insyaAllah diharap berjaya membawa kepada cinta Allah.

Memang, selalunya berjaya. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya dakwah itu berjaya kan?
Hati yang lalai di alam cinta direntap, membawa langkah ke dimensi cinta yang sebenar.

Cuma sayanglah kan, sepatutnya mengenal cinta kepada Allah yang membawa kita menjejaki cinta manusia. Supaya pencarian cinta itu sentiasa dalam rangka kemuliaan.

Tapi sekarang, sudah terbalik. Apa-apa perlu bermula dengan cinta.
Dan cinta itu bermaksud, cinta kepada manusia, kekasih, suami, etc.

Macamana yea? Terasa sedikit ralat di sini. Seolah-olah cinta Allah itu terlalu jauh dari kita.

Kenapa mesti melalui cinta manusia untuk sampai kepada cinta Allah? Kenapa tak boleh the other way around?

Nak buat macamana kan, dah memang kita sudah mabuk diracuni dengan cinta manusia.
Endoktrininisasi yang amat berkesan. Eh betul ke aku eja ni.

Bersambunglah.

21 November 2010

Bangun cepat!

Macamni lah jadinya bila lama tak menulis.
Blank. Taktahu dari mana patut mula.

Alah, bukan menulis je. Apa-apa pun, kalau tak konsisten bergerak, mesti akan hilang rentak.
Perlahan-lahan. Dan akhirnya berhenti.

Jangan tak tahu. Nak tulis mukaddimah entri ini, berapa kali aku tulis, padam. Tulis, padam.
Ada-ada saja yang tak kena.

Tapi aku tetap kena tulis. Sebab dalam hati ni, ada sesuatu yang sedang membuak-buak untuk dilimpahkan keluar.
Kalau aku tahan, sakit. Sebab benda ni dah sangat lama aku fikir.
Dan memang perlu dikongsi.

Aku memang biasa begini. Walaupun masa sekolah dulu, subjek kegemaran aku adalah Penulisan Bahasa Melayu, setiap kali dapat soalan peperiksaan, aku mesti blank beberapa minit dulu.

Bukan tak ada idea. Bukan tak cukup membaca. Rasanya berjilid-jilid naskhah Dewan Masyarakat aku khatam setiap bulan.
Hah, skema kan. Baca Dewan Masyarakat.

Anggaplah apa yang aku sedang mengarut ini adalah pemanasan enjin semata-mata. Tiada apa-apa input berguna. Buang masa kamu saja.

Aku ibaratkan macam sebuah gear yang besar dan berat.
In case ada yang tak tahu atau terlupa bagaimana rupanya 'menatang' yang dipanggil GEAR, sila²lah tengok gambar di bawah.

Oloh, keciklah pulak.
Takpe, bayangkan ia besar dan berat.
Kalau nak gerakkan gear yang besar dan berat ni, pasti memerlukan daya yang sangat besar di awal-awalnya. Kena pegang kemas-kemas, dan sehabis tenaga pulas ke bawah.

So terpusinglah gear ni, sikit-sikit.
Tapi perasan tak, bila dah start berpusing, makin ringan. Semakin kecil daya yang kau perlukan untuk maintain gear ni agar terus berpusing.

Semakin ligat berpusing, semakin laju.
Sampai satu tahap, kau boleh jentik dengan jari saja untuk pastikan gear terus pusing dan pusing.

Tapi kadang-kadang, kau penat, tertidur. Kau terlupa memantau pergerakan gear kau.
Semakin perlahanlah dia, sikit-sikit.

Tapi kalau kau tiba-tiba terbangun, dan dia masih berpusing walaupun perlahan, tak susah untuk lajukan semula. Tekan ke bawah sikit je.

Tapi kalau kau sedap terlajak tidur dan bangun-bangun tengok gear dah berhenti statik, maka bersiap-sedialah dengan kekuatan extrraaa untuk memusingkannya semula.
Of course, satu tangan takkan mencukupi. Jangan berangan dan buat-buat kuat. Malah mungkin kau perlukan tangan orang lain membantu.

Kan ke leceh tu?

Kuncinya, apa-apa pun kau lakukan, make sure butang merah sentiasa tersedia untuk menyala memberi isyarat bilamana rentak semakin perlahan. Supaya kau sentiasa on the go, dan tak membazir tenaga untuk setiap kali bermula dari telur ayam. Kosong.

Nak rehat, boleh. Tapi jangan sampai berhenti.
Kalau orang yang tengah berlari, tiba-tiba berhenti, boleh jadi fatal kan?
So jalan-jalan santai sudah cukup. Nanti dah hilang penat, boleh berlari semula dengan mudah.

Samalah macam menulis ni kan?
Siapa suruh lama sangat berhenti, kan sendiri yang seksa nak start semula.
Padan muka.

Tengoklah, baru mukaddimah, tapi dah sampai sini.

Yeah, dah dapat semula rentak serta iramaku. Bestnye bestnye..

Tapi tiba-tiba rasa penat pulak nak tulis panjang-panjang apa yang aku nak tulis awal-awal tadi.
Tengok, stamina pun di tahap paling menyedihkan! Ceitt.

Will be back. Will be back.
Kena kumpul stamina banyak-banyak sekejap. Nak marathon lama lepas ni!

3 November 2010

Entry tak berilmiah. Baca atas risiko sendiri.

ALAHAI SUAMIKU

Kadang-kadang, yang paling menyakitkan bila berjauhan sebegini bukan kerana cengkaman rindu. Tapi kerana dalamnya kerisauan yang mendasari akal, hampir setiap masa.

Si suami akan sering tertanya-tanya, gusar.

"Macamanalah isteri aku pergi-balik kelas setiap hari? Selamat ke?"
"Apelah agaknya isteri aku tengah buat sekarang. Call berkali-kali tak berjawab. Takkan kelas lama sangat."
"Cukup ke tak agaknya duit belanja dia kat sana.."

Si isteri juga tak terlepas dari belenggu yang sama. Cuma mungkin bentuknya berbeza.

"Hurm, apa agaknya abang makan hari ni ya. Balik kerja dah malam. Larat ke suami aku ni nak masak.."
"Macamanalah agaknya baju-baju abg ye? Berbasuh, berjemur, bergosok ke tidak.."

Di saat-saat begini, ombak kerinduan mungkin tak lagi ganas menghempas hati. Tetap ia tetap ada, pasti.

Tell me. Isteri mana yang sampai hati mendengar perkhabaran sebegini dari suaminya;

"Abang dah makan? Abang makan apa malam ni?"
-"Abang makan maggi je.. Tak larat nak masak.. Baru je balik.. Tadi sejam dalam jammed."
"Laa.. Kenapa maggi je? Makanlah proper sikit abang. Pegi beli mee goreng ke, nasi lemak ke kat kedai mamak tu kejap ye."
-"Abang tak lalu nak makan luar la sekarang.."

*Segala gelaran-gelaran manja adalah tertakluk kepada imaginasi sendiri ya.*

Itu hari pertama. Tetapi perbualan yang hampir sama bentuknya untuk hari kedua, ketiga, keempat, mahupun kelima. Cukup seminggu. Maggi.

Sampai satu tahap, terpaksa saya sembunyikan menu-menu masakan saya di sini. Daging masak cili, nasi goreng, ayam masak merah, kari ayam, semuanya terpaksa saya lindungkan di sebalik 'bohong sunat'. Langsung tak tergamak mahu menyebutnya. Kerana di sana, si pemilik cinta sedang menyantap maggi saja. Itulah yang paling-paling hebat untuk dia yang kepenatan balik kerja, dan mati selera pada makanan luar. Atau lebih teruk, cornflakes dan susu saja sebagai menu makan malamnya.

Ya Allah, tak tahu bagaimana menterjemahkan perasaan diri dalam bentuk kata-kata. Sedih, tapi tak mahu menangis. Takut keterlaluan direndam emosi. Mungkin kamu yang telah berkeluarga, dapat lebih menyelami ke dasar hati saya ketika ini.

"Nini, baju abang yang bergosok semua dah habis pakaila.."

"Nini, tak ada ke mesin basuh yang dapat keringkan baju, lepas tu tolong sidai sekali. Lepas tu tolong gosok sekali, pastu gantung terus kat hanger. Kenape takde engineer terpikir nak buat mesin macamtu..?"

Ooh.
Keluhan yang menyentuh, dan menggelikan hati.

Tiba-tiba terbakar pula semangat mendengar keluhan si suami. Tambah pula pengajian saya kini memang dalam bidang Elektronik & Automatik. Macam tak mustahil juga.

"Tunggu ye abang. Nanti project final year Nini reka robot yang boleh buat semua benda tu. Bukan setakat iron baju, gantung, siap dia jugak yang pakai baju tu. Lepas tu dia bawakkan kereta, pergi kerja, buat semua kerja-kerja abg kat ofis. Abang tak payah susah². Duduk je dengan Nini kat France."

Hiburan di celah-celah ketidak-terdayaan masing-masing untuk berbuat apa-apa .
Itu sajalah yang mampu diucapkan, buat memujuk hati saya, dan menguatkan hati dia.
Walaupun hakikatnya, tak kelakar ye Nini. Tak kelakar.


KALAU LAPAR BUAT APA?

Hari ini terasa sangat-sangat panjang. Tapi puas.

Panjang kerana balik-balik sekolah, pukul 6 petang. Tapi hari sudah gelap. Bukan senja, tapi
malam. Hampir masuk isyak pun. Perubahan waktu yang tunduk kepada sunnah Alam di musim sejuk.

Pulang dari sekolah, dengan perut yang sangat-sangat lapar. Macam harimau. Tak pernah saya rasa selapar ini. Turun bas pun sambil berlari-lari. Dalam kepala dah nampak apa yang ingin dicapai. Lain macam betul semangat hari ini.

Sampai rumah, baling beg sekolah, dan campak tudung atas katil. *Tabiat buruk jangan ditiru yea.*
Buka peti sejuk, capai Kitkat, dan segelas air mineral.

"Allahumma la kasumtu wa bika amantu......."

Alhamdulillah, selesai puasa satu hari. Walaupun terlewatkan berbuka selama sejam 15 minit. Terlepas pahala sunat.

Masuk ke dapur. Ambil periuk, masukkan minyak, panaskan. Sambil-sambil tu, basuh pinggan mangkuk yang bertimbun dari semalam. *Duduk berdua pun boleh bertimbun yea.*

Okey, sink dah clear. Bersih dan putih.
Potong bawang, defrost ikan, potong sayur.

*Tung tang tung tang tung tang.*

Satu periuk, tumis bawang, goreng sambal. Satu periuk lagi, tumis bawang, campak sayur.

*Tung tang tung tang tung tang*

Mula-mula masuk dapur, start dengan basuh pinggan semalam, jam pukul 6.50 pm. Selesai semuanya, siap masak nasi dan basuh pinggan trip kedua (sudu, mangkuk dan periuk semasa proses memasak), tengok jam, 7.45 pm.

Wow! Tiba-tiba terjerit sendiri seraya kaki terlompat sedikit ke udara.
*Biasalah, orang kalau tak pandai sangat memasak, memang begini tahap kejakunannya.*

Alhamdulillah. Selesai 2 lauk.

Asam pedas ikan patin


Sayur goreng cendawan

Alahai, masakan 'bodo-bodo' aje.
Kalau mama tahu ni, mesti senyum simpul tengok gelagat menantunya.

Ini bukan mahu membangga-bangga diri sendiri ya.
Tetapi like seriously, sangat puas dapat masak 2 lauk, tak sampai sejam.
Seolah-olah ada keberkatan yang Allah selitkan di sela-sela masa itu.

Ooh, mungkin kerana berkat berpuasa hari ini! *Walaupun hanya puasa ganti. Uhuh.*

Mungkin kerana hari ini mencatat sejarah sebagai hari terpaling-paling lapar.
Dengan kelas selama 9 jam sejak pagi.
Ditambah dengan 2 paper exam pagi tadi. Otak jadi penat. *Susah amat pulak tu. Ceitt.*
Ditambah pula dengan amali di makmal elektronik selama 3 jam. Badan pula penat.

Ditambah-tambah dengan puasa dan tangguh berbuka.
Terlupa mahu ambil Kitkat atau sebotol air masak sebelum ke kelas pagi ni.
Terpaksalah berbuka hanya dengan niat semata-mata dalam makmal tadi. Tiada apa boleh disuap ke dalam mulut untuk melengkapkan sunat berbuka awal waktu.

Di depan mata, penuh dengan perintang tetap, perintang boleh ubah, diod, osiloskop, dan komponen-komponen elektronik lain yang saya dah tak ingat sebutannya dalam bahasa melayu, serta wayar-wayar yang berserabut.

Cuma, aneh pula.
Lepas siap memasak dengan rasa puas dan syukur tadi, saya solat dahulu.
Dan kemudian, tahu apa?

Tertidur 2 jam setengah.

Ini baru terbangunlah ni. Terus tiba-tiba rindu Destiny.

Dan yang peliknya, penat-penat memasak tung tang tung tang, tiba-tiba bangun tidur dah tak rasa lapar.

Ohh la la!
Maka selepas ini, kalau anda rasa lapar sangat-sangat, silalah pergi masak dengan bersungguh-sungguh ya.
Dan kemudian tidur.

Boleh masukkan sebagai tips diet sihat anda ya. Terbukti berkesan hari ini.

Maka jawapan untuk soalan di atas. Kalau lapar buat apa..?
Bukan makan.
Tapi masak! Dan tidur.

Kecil tapi BESAR!

Tak banyak yang hendak dikongsi.

Cuma selepas tarbiyyah perasaan dari Allah hari ini, saya sangat-sangat dapat membayangkan dengan kuatnya, bagaimana riangnya rasa hati si suami yang disambut dengan masakan isteri sepulangnya dari kerja.

Tadi saya pulang keletihan 9 jam mengadap buku dan cikgu.
Malah mungkin pulang dari bekerja lebih azab lelahnya.

Dan di saat-saat begitu, tiada apa yang lebih membahagiakan selain memasuki rumah, telah tersedia makanan di atas meja. Itulah bayangan-bayangan saya petang tadi.

Ooh, tapi saya tidaklah mengharapkan housemate saya nak menyambut mesra kepulangan saya di muka pintu, lantas menjinjing masuk beg sekolah saya seraya mengiringi saya dengan penuh kasih sayang ke meja makan, lagak seorang seorang isteri menyambut suaminya.

Gilo ko apo.
Dia pun sama busynya dengan saya.

Cuma itulah.
Kebanyakan kita banyak pandang ringan soal air tangan. Apatah lagi jika sudah bergelar isteri, tapi tidak terasa terdorong untuk berpenat-lelah mengisi perut suami dengan air tangan kasih sayang sendiri.

Lebih malang lagi, bila laparnya perut suami dikenyangkan dengan air tangan orang gaji.
*Uuuh, mintak simpang ya Allah!*

Hari ini saya sudah nampak betapa BESAR kesannya.
Walaupun hal ini nampak remeh-temeh saja.

"Erk aloh, sekarang ni isteri pun kerja. Mana larat nak masak-masak untuk suami. Dengan anak-anak lagi. Suami pun dah lebih understanding sekarang ni. Makan luar pun dah ok. Takyah bising-bising air tanganla ape la."

Terpulang. Ini pilihan masing-masing kan.

Saya masih ingat, pesanan 'special' ayah saya, di saat-saat menghampiri alam perkahwinan dulu. *Eceh. Macam la dah lame sangat kawin.*

"Ingat pesan bapak ni sampai bila-bila. Bapak bercakap dari kacamata lelaki dan suami. Kalau you sayang suami you, jangan abaikan 2 benda ni."

Apa 2 benda tu?
Rahsialah!
Namanya pun pesanan 'special' kan?

LAGI SEKALI

Kan dah cakap, ini bukan entry ilmiah.
Malah Destiny juga jauh sekali dari kalangan blog-blog ilmiah.
Jauh tu.

Maka janganlah letak expectation yang tinggi setiap kali masuk ke sini.
Saya tidak bertanggungjawab ya.

Dan maaf juga, setiap kali menulis pun memang akan terselit tentang suami. Huhu.
Harap tidak menimbulkan rasa menyampah siapa-siapa.

Satu perkara yang kamu WAJIB tahu tentang penulis Destiny.
Dia sangatlah reserved bila bercakap berdepan.
Tapi dia sangat ekspresif dalam menulis.
Begini Allah menciptakan dia. Terimalah seadanya ya.

p/s : Sekarang ni makin kencang ya pukulan topik-topik kahwin dan jodoh di facebook. Macam virus pula. Entah mana datangnya yea? (^^)"

28 October 2010

Macam hanya sesuai dibace oleh perempuan saje

THE GIFT

Selepas bergelar isteri, saya seperti diserang 2 penyakit yang datang secara tiba-tiba, tanpa disangka-sangka.

Pertama, teramat gemar dengan baby.
Hah, Nini minat baby? Sungguh kelakar jenaka ini buat yang benar-benar mengenali saya.
Kamu tahu, dulu-dulu, terdengar bunyi rengekan baby pun boleh buat saya naik darah. Rasa nak marah. Rimas.

Dan kalau ada baby depan mata, sekelumit pun tak terasa ingin bermain-main dengannya. Entah, tak pandai mungkin.
Terasa seperti membodohkan diri sendiri, bilamana akhirnya baby-baby itu hanya pandang 'slack' pada saya.

Oh, mungkin baby juga tak suka pada saya. Dan barangkali mereka ada sixth sense yang boleh mengesan manusia-manusia yang juga tak gemarkan mereka.

Tapi hari ini, saya sudah insaf.
Dan sejak beberapa bulan ini, saya sering menjengah ke blog ibu-ibu muda. The proud mummys, yang saban hari mempertontonkan keletah anak-anak kecil mereka.

Terhibur. Terubat rindu pada suami. *Oh, ada kaitankah? Ada ada.*

Dan hampir menjadi kewajipan untuk saya belek archive di blog mereka, mencari entry yang mereka tulis tentang pengalaman sulung mereka melahirkan zuriat dengan kudrat sendiri.

Setiap kali itu, pasti akan ada manik-manik jernih meluncur laju di pipi.
Terharu yang amat sangat. Membayangkan diri berada di tempat yang getir itu.

Ini baru sekadar membaca, belum betul² merasa, kan?
Hurm, tiba-tiba rasa tak sabar pula.

Oooh! Tukar topik please!

Genap sepurnama tak menyentuh tanganmu.

CINTA DUNIAKAH INI?

Penyakit kedua, saya semakin suka melihat dan membeli perabot.
Demi Allah, ini juga sama kroniknya dengan penyakit pertama.

Suami juga tersedar tentang perubahan diri saya yang satu ini. Mata menjadi ralit bila ada naskhah-naskhah katalog dari kedai-kedai perabot seperti IKEA, Conforama, dan apa-apa saja.

Walaupun tak dibeli, namun dapat menatap dan berangan-angan seorang diri pun sudah cukup buat saya happy tak terperi! Astaghfirullah, mengucap Nini.

Setiap hari, pasti saya akan singgah ke laman web LeBonCoin, di mana perabot-perabot second hand dijual dengan murah.

Dan sudah pasti, ada saja yang berkenan di mata, apatah lagi dalam keadaan baru berpindah rumah. Semangat untuk menata-hias rumah amat membara-bara. Wohh.

Maka bermujahadahlah saya menulis emel untuk tawar-menawar, membuat janji temu dan sebagainya.
Alhamdulillah, hari ini, kebanyakan perabot yang saya beli semuanya sudah sampai di rumah.

Moga-moga teman serumah yang kini sedang bercuti tak 'terkejut beruk' melihat rumah kami nanti. *Matilah saya. Huhu*

Ooh, bunyinya macam banyak saja bukan?

Jangan risau.
Walaupun sedang kronik sakit dan gila perabot, tapi saya masih berjaya diwaraskan oleh suami.
Setiap kali sebelum membeli, saya akan usulkan dahulu kepadanya.

Walaupun setiap kali, butir yang pertama keluar dari mulutnya adalah, "Ya Allah, tak habis-habis lagi isteri abang ni?"
Dan disusuli ketawa berpanjangan. Tidak percaya, dan masih dalam proses belajar pe'el manusia kaum hawa yang menjadi teman hidupnya kini.

Oh, tak bolehlah. Tak boleh tak boleh.

Alangkan sebelum kahwin pun saya sangat 'pantang' melihat barang tak tersusun. Inikan pula selepas menggalas tanggungjawab sebagai isteri. Naluri keibuan mula merasuk sikit-sikit. *Ceeeeeeeeeeewah, yelah tu.*

Tapi ini serious. Kalau melihat barang bersepah, normalnya kamu mungkin sakit mata. Tapi saya boleh sakit jiwa.

Kalau tak percaya, boleh tanya pada emak saya. Kalau tiba-tiba melihat bilik disepahkan oleh adik-adik pun boleh buat saya tension sampai menangis.

Dan saya pernah menangis geram seorang diri hanya kerana seorang tetamu rumah saya terlupa lap air yang memercik di lantai selepas mengambil wudhuk di sinki.

Kronik kan?

Kalau masih tak percaya juga, boleh datang dan cuba sepahkan rumah saya.
Kita lihat apa yang akan jadi nanti.
*Haha, better janganlah!*

Cuma tolong doakan, moga-moga saya tak terlalu berlebih-lebihan dalam hal ini, hingga menyusahkan orang lain pula nanti. InsyaAllah, saya sendiri sedang berusaha memberi sedikit ruang untuk kompromi dan memahami.

WOW! CANTIKNYE!!

Hakikatnya saya kini sedang cuba mencungkil rahsia-rahsia dan misteri yang Allah selitkan dalam naluri seorang wanita

Pembaca-pembaca Destiny ini rata-ratanya perempuan kan?
Maka mari tolong saya temui kekunci rahsia ini.

Disclaimer : Apa yang akan saya tulis selepas ini adalah pengalaman sendiri semata-mata. Maka sewajarnya, tidak perlu sesiapa terasa ya.

Sewaktu usia menginjak ke pengakhiran belasan tahun, saya melalui satu fasa kritikal, yang mungkin biasa dilalui oleh siapa-siapa yang sedang mencari jati diri.

Fasa aktif berfriendster.
Fasa suka ambil gambar depan cermin dengan gaya yang masyaAllah, perasannye!
Fasa suka letak gambar banyak-banyak dalam friendster.
Fasa tak hiraukan kata-kata nasihat.

Macam-macam lagilah kalau nak dinyatakan. Kamu boleh bayangkan sendiri.
Dan buat siapa-siapa yang pernah menjadi kenalan di friendster saya dahulu, pasti kamu masih ingat kan?

Penuh gambar. Macam-macam gaya, yang memualkan mungkin.
Gambar En Mas pun ada.
Dan yang pasti, setiap kali meletak gambar-gambar terbaru saya di situ, akan muncul perasaan puas dan bangga.
Sambil ternanti-nanti komen-komen yang memuji dan memuja.

Cakaplah apa saja! Saya rasa bahagia tau, kamu apa tahu.
Bila saya sering letak gambar-gambar seperti itu, maka automatik saya dikelilingi kawan-kawan yang cantik, walaupun hanya dalam ruang maya.
Kenalan-kenalan cantik, yang buat saya semakin bersemangat untuk menjadi lebih cantik, dan post gambar-gambar yang cantik dan menawan.

Tak kisahlah. Walaupun waktu itu, bakal suami sendiri sering menasihati, suruh berhenti.
Kurangkan gambar-gambar, banyak mata yang memandang free-free katanya.

Tapi semua nasihat itu tak berjaya mendapat tempat dalam hati, walaupun saya dengar sepenuh-penuh hati.

Saya masih 19-20 tahun waktu itu. Maka pastinya kamu boleh bayangkan bagaimana naluri keremajaan saya yang sedang merajai diri kan.

Hurm. Hurm.
Kalau ditanya, kenapa saya terdorong untuk buat begitu dahulu? Maka ini jawapan saya.

Pertama-tama sekali, sebab saya rasa saya comel. Dululah. *Allahuakbar, mengucap panjang.*

Atau dalam erti kata yang selayaknya, perasan comel. *Hah, ini baru betul!*

Keduanya, sebab saya nampak perempuan lain semuanya cantik. So saya jadi sedikit jealous dan tercabar di situ. Maka saya pun berusaha untuk tampil cantik.

*Biasalah kan, perempuan kan memang kuat jealousnya!*

Berhabisan juga membeli lipstik, blusher, foundation, pelentik bulu mata, maskara.
Dan yang paling-paling penting, kamera!
Kamera pula mestilah yang dapat menghasilkan imej yang paling fotogenik.
Baru berbaloi ok.

Maka, bila gambar ditempek sebanyak-banyaknya di page sendiri, dan dipublish untuk tontonan umum, komen dari lelaki dan perempuan pula berduyun-duyun masuk,
Di saat itu, tiada lain yang lebih membahagiakan!

Percayalah.

**********************

Walaupun waktu itu kamu mungkin nampak saya teruk, sedang dalam kesesatan dan jahiliah yang memekat, tiada prinsip dan pegangan diri, tapi saya tetap minat dengar nasyid tau. Huhu.

Sekurang-kurangnya, adalah juga satu ruang yang dapat menyalurkan kebaikan dalam hati yang tengah 'sakit' dan 'tenat' itu. Nak diharap pada bacaan Al-Quran dan memahami rahsia-rahsia hidup di sebalik ayat Allah, mungkin sangat jauh, waktu itu.

Maka, hampir 2 tahun juga saya tenggelam dan asyik dalam lautan 'syok sendiri' dan 'perasan cantik', hingga satu hari, saya terdengar satu lagu ini.

Nak tahu? Tekan sini. Dengar baik-baik ya.

TITIK ITU

Kali pertama dengar, dengan tak semena-mena, airmata mengalir laju-selajunya. Hati bagai direntap-rentap. Kuat sangat.

Saya masih ingat, banyak saya menangis hari itu. Saya tak ingat tarikhnya, tapi yang pasti, bulan Oktober 2007.

Pendek cerita, itulah dia, turning point yang pertama Allah hadirkan.
Sedikit-sedikit, saya delete gambar-gambar yang saya rasa keterlaluan dan tak berpatutan ditayangkan.
Lagu yang Allah hadirkan sebagai penghantar hidayahNya itu, membawa saya mengenali seribu erti tentang makhluk Allah bernama wanita.

Hebat. Sangat tinggi dan mulia kedudukan seorang wanita.
Hingga Allah melarang dia dipertontonkan pada sebarangan mata.

Dan alhamdulillah, selepas itu, menyusul satu persatu turning point yang lain, yang Allah hadirkan dengan bermurah hati.
Hingga akhirnya bersih page friendster saya dari gambar yang tak sepatutnya.
Dan hingga kemuncaknya, saya dipertemukan pada satu dunia yang terpaling indah di atas dunia yang fana ini.
Dunia tarbiyyah.

VIRUS

Bohonglah, kalau saya bisa memadamkan sehabisnya secebis naluri kewanitaan yang terselit sejak azali lagi.

Cantik.
Tiada siapa akan menolak kecantikan. Jangan hanya memandang wanita, tetapi lelaki juga serupa.
Kerana Allah juga amat sukakan kecantikan.

Hingga kini, setiap kali saya melihat kenalan-kenalan di facebook yang sedang melalui fasa kritikal itu, saya sendiri terasa terpanggil-panggil semula.

Terasa teringinnya untuk jadi cantik seperti mereka.
Ya Allah, cantiknya mereka. Bidadarikah mereka ini? Sungguh cantik dipandang mata.
Kalau saya yang juga hawa pun boleh kelabu mata, bagaimanalah agaknya di mata lelaki ya?
Pasti terlalu sempurna.

Dan kadang-kadang, memang hampir terjatuh semula ke dalam lembah yang dahulu itu.

Oh, dunia ini sangat menggoda!

Apa yang boleh saya katakan, 'penyakit' ini sangat cepat berjangkit. Seakan-akan virus yang cukup merbahaya.

Masakan tidak, lihat saja kenalan-kenalan perempuan di laman sosialmu.
Ramai sekali yang terkena penyakit ini.
Baik yang masih sekolah, sedang menuntut di universiti, sudah berkerjaya, seorang isteri, mahupun seorang ibu.

Dan penyakit ini juga tak mengenal profesionmu.
Baik kamu seorang pelajar.
Baik kamu seorang guru yang memikul amanah dan tanggungjawab besar.
Baik kamu seorang selebriti.
Baik kamu seorang yang biasa-biasa saja.

Asal lahirmu sebagai wanita, dan dikurniakan rupa paras yang menarik.
Awas, kamu memang target utama penyakit ini.

Penyakit menunjuk-nunjuk cantik. Walau hakikatnya kamu memang cantik tertarik debomm debomm. Heh.
Hingga yang melihat turut kagum dan tertawan, saban hari melihat dan mendekatimu,
Dan akhirnya terjangkit!

RAHSIA

Bermacam-macam rasa. Tapi yang pasti, saya langsung tidak mengeji mereka.
Apatah lagi memandang jijik atau hina.

Kerana saya pernah melalui rasa 'bahagia' dengan penyakit itu.
Dan memang bukan mudah untuk tinggalkan, saya tahu.

Kalau bukan kerana pengasihnya Allah yang mencampakkan hidayah melalui lagu itu, rasanya mungkin hari ini saya masih seperti dulu.

Saya mohon maaf, kalau ada yang terasa. Sesungguhnya demi Allah, itu bukan sama sekali niat saya.
Maafkanlah kata-kata saya, dan anggaplah itu cuitan hati dari Tuhanmu.

Dan saya bukanlah orang yang layak untuk mengatakan ini betul, ini salah.
Cukuplah kamu rujuki kembali kata-kata Allah dan Rasulullah.
Moga-moga kamu beroleh sinar hidayah.

Dan saya akan turut berdoa
Setiap kali saya menyinggah masuk page mereka yang terkena, saya takkan lupa melangsungkan doa.
Moga-moga ia melangkaui langit dunia kepada yang Esa.
Ameen.

LASTLY

Lagi satu bedtime story yang inspirational, yang pernah dikongsi oleh suami satu masa dulu.

Saya hadiahkan buat kamu yang membaca hari ini.
Untuk renungan, refleksi diri, dan pemula langkah baru untuk bulan November ini.

Pernah dengar cerita tentang Christian The Lion?

Nah. Lihat video ini. Selami dan hayati betul-betul ya.
Rugi besar kalau kamu miss walau sesaat.

Lagi sekali, ini kisah benar.




Ia hanya seekor singa, tercipta dengan fitrah yang ganas dan liar.
Tapi berjaya dijinakkan sedemikian rupa.

Bagaimana dengan nafsu kita? Mampukah dijinakkan?
Pastinya ada jalannya.

**********************************************

Kalaulah perlu dihantar tulisan entry saya ini untuk disemak, pastinya akan dikoyak-koyak.
Panjang, dan tak berfokus.

Maaf ya. Inilah hasilnya bila terlalu banyak untuk dicerita, tetapi tidak sama banyaknya masa yang tersedia.

Terima kasih kepada yang sudi habiskan membaca.
Memang kamu sungguh mujahadah.

Salam sayang,
Nini The Lion?

Kau rasa kau dah cukup baik untuk ini?

CERITA SATU

Beberapa minggu lepas, saya dan housemate baru membeli mesin basuh first hand di kedai perabot terkemuka, Conforama.

Cuma masalahnya, tiada cara untuk membawa angkut pulang ke rumah. Mahu ambil servis penghantaran, perlu menunggu lama. Hampir 2 minggu baru sampai giliran kami.

Maka dibiarkan saja dulu mesin basuh itu bermalam di Conforama. Bermalam-malam jugalah, sementara saya dan Ana mencari penyelesaian.

Plan kedua, mahu menyewa kereta.
Maka bersungguh-sungguhlah saya membuat tempahan di FordRent, untuk lori kecil, berharga 65euro sehari.
Tapi Allah tak izinkan. Macam-macam pula songeh mereka, tak mahu menerima lesen Malaysia. Mahu lesen Europe saja. *Ceiss*

Tertangguh lagi.
Dan di satu petang Jumaat, semasa di kelas, saya terima satu SMS dari Ana.

"Nini, dah dapat lori! Pinjam kat pakcik kebab. Ni tengah otw nak amik mesin basuh."

Alhamdulillah. *Dapatlah basuh baju hari ni.*
Saya terus call Ana, excited nak tahu cerita detail, bagaimana semudah itu Allah temukan solusi buat kami yang hampir give-up.

Dan memang, semudah itu saja. Digerakkan hati Ana melangkah ke kedai kebab untuk bertanya hanya by chance. Tertakdir pakcik kebab memiliki lori kecil, dan digerakkan hatinya untuk meminjamkan pada kami tanpa sebarang syarat!

Mudah saja.
Bilamana Allah ingin permudahkan, sekelip mata jadi lancar, dan sekali lagi, mudah!

CERITA DUA

Semalam mendapat bed-time story yang sungguh inspirational daripada suami. Cerita benar yang dibacanya dalam sebuah blog, dikisahkan semula kepada saya, sambil-sambil memandu ke tempat kerja.

Suatu hari, ada seorang hamba Allah ini, katakan namanya Ahmad, memandu dalam keadaan yang sungguh sesak. Jammed merata-rata.

Dan kamu-kamu yang sering memandu, terutamanya di ibu kota, pasti sudah faham benar dengan kerenah manusia yang bermacam-macam di atas jalan.

Maka hamba Allah ini hanya mengalah saja hari itu. Malas untuk bertekak seorang diri dalam kereta menambahkan tension. Setiap kereta yang ingin mencelah di hadapan, diberi saja laluan. Kereta yang dari lane lain tapi tiba-tiba menyibuk masuk ke lanenya, turut diberi peluang.

Biarlah, biarlah. Masuklah, masuklah. Tiada apa yang rugi. Alah, setakat beberapa saat mereka mendahului, apalah sangat. Balik-balik tersekat dalam jammed juga. Mengalahlah.

Setelah berjaya meloloskan diri dari jammed, maka dia memandu seperti biasa di atas highway. Masih mengekalkan kesabaran dan formula yang sama; Nak potong, potonglah. Nak lalu dulu, silakanlah. Nak masuk lane, masuklah.

Tiba-tiba, ditakdirkan, Ahmad terlepas exit highway yang sepatutnya diambil. "Alamak! Kalau terus lagi mahunya jauh lagi baru dapat masuk balik exit ni."

Serta-merta dia memperlahankan kenderaannya ke lorong kecemasan di sebelah kiri, sambil menukar gear ke arah reverse.

Reverse. Di atas highway. Sambil kenderaan lain meluncur laju ke arah bertentangan.
Memang satu kerja gila. Bahaya.

Dengan kehendak Allah, tiba-tiba dia terlihat satu kereta berhenti agak jauh di belakangnya. Dan pemandu kereta itu pun keluar. "Ya Allah, ada apa ni? Janganlah orang jahat."

Kamu tahu apa yang berlaku?

Pemandu kereta di belakang itu tiba-tiba bertindak seperti polis trafik. Diberi signal kepada Ahmad supaya terus reverse dan reverse, sambil dia memberi signal dengan satu tangan lagi kepada pemandu-pemandu lain supaya memberikan laluan kepada Ahmad.

Dan akhirnya, Ahmad berjaya memasuki semula lorong exit yang terlepas itu dengan selamat.

******************************************

Sewaktu mendengar cerita ini dari suami, airmata saya bergenang. Bukan kerana powernya kuasa cerita ini, bukan kerana feelingnya En Mas bercerita. Tapi kerana kisah pendek ini membawa saya ke satu alam lain, memberi laluan kepada hati berinteraksi dengan Tuhan. Alam muhasabah dan refleksi.

Lihat. Kebaikan yang dibuat oleh Ahmad, kalau dilihat dengan skala mata manusia, hanya kecil sekali. Cuma mengizinkan beberapa saatnya dicuri oleh pemandu-pemandu lain yang mungkin lebih urgent daripadanya. Mungkin mereka lebih memerlukan saat-saat yang bernilai itu. Berkorban untuk orang lain, sedikit sahaja. Apalah sangat yang dirugikan.

Tapi cuba kamu lihat bagaimana Allah membalas? Allah bayar cash, di hari yang sama juga. Dan dengan jumlah yang lebih berkali-kali ganda besar.

Kalau kamu tak pernah hadapi situasi sesukar itu, apatah lagi kalau tak pernah memandu di highway seperti saya, mungkin kamu tak dapat bayangkan besarnya bantuan yang Allah hadirkan itu.

Dan mungkin ada yang tertanya-tanya, masih ada ya pemandu sebaik itu? Tiada kena-mengena tapi sanggup berhenti untuk membantu. Siap keluar dari kereta lagi. Biar betul?

Tak perlu susah-susah fikir tentang itu. Ini semua kan 'kerja Tuhan'. Tak mustahil juga kalau hamba Allah itu bukan manusia, cuma utusan Allah untuk menyampaikan ganjaran dunia ini kepada Ahmad. Tak mustahil kan?

*Woh, tiba-tiba meremang bulu roma sendiri.*

CERITA HARI INI

Demi Allah yang nyawaku di tangannya, hari ini sungguh fenomenal buat saya.

Kalau mahu diceritakan detail satu-persatu perjalanan hari ini, akan menjadi terlalu berjela entry ini. Cukuplah saya garap kesimpulannya untuk dikongsi bersama.

Hari ini, saya menerima kebaikan yang terlalu banyak dari manusia di sekeliling saya. Walaupun manusia itu tak pernah saya kenali, tak pernah pun hadir dalam hidup saya. Cuma yang menyatukan kami, dia adalah saudara seakidah saya.

Seorang saudara ini, anak kepada pemilik kedai di belakang rumah saya. Saya datang ke kedainya semalam, bertanya, "Awak tahu tak siapa-siapa yang ada lori kecil di sini?"

"Ada, saya." Katanya sambil tersenyum.

"Saya perlu bantuan sekarang. Saya ada reserve satu almari di internet. Tapi tuannya tinggal di bandar, dan dia minta saya ambil sendiri. Tapi saya tak ada kereta, dan tak boleh drive di sini. Awak boleh tolong saya?"

"InsyaAllah boleh boleh. Apa alamatnya?"

*Terkejut. Terus minta alamat? Cepatnya.

"Err, saya tak ada lagi alamatnya, sebab belum confirm dengan tuan almari. Tapi kalau awak setuju, saya bagi alamat esok boleh?"

"InsyaAllah, boleh boleh. Esok lepas tutup kedai, saya pergi ambil."

"Pukul berapa ya? Nanti saya bawak seorang lagi teman."

"Eh tak payah. Awak tunggu saja di rumah. Saya akan carikan almari awak tu. Boleh?"


MasyaAllah, mudahnya? Biar betul, mudahnya dia bersetuju untuk tolong saya? Bukan sikit ni saya minta tolong. Banyak! Tolong drive ke bandar. Tolong ambil almari, berat tau. Dan dia hanya suruh saya tunggu di rumah?

Dan kata itu dikota. Tadi selepas maghrib, saya menyaksikan sendiri saudara itu bersusah payah angkat almari dari van, hingga masuk ke dalam rumah. Tak lepas almari itu di tangannya, hinggalah diletakkan betul-betul di tempat yang saya inginkan.

Saya hulurkan sekeping duit sebagai upah. Namun ditolak. Rupanya hanya ucapan 'barakallahu feek' yang dia lebih hargai, sambil tersenyum dan ucapkan, "Assalamualaikum my sister". Seraya berlalu.

Allahuakbar.

APAKAH?

Lama saya terduduk. Mata tertumpu ke satu arah. Hati tak berhenti beristighfar sambil memuji Allah. Bagai mimpi, hal yang saya fikirkan sejak minggu lepas ini, sekelip mata sempurna terlaksana.

Mahu meneruskan study, tak dapat fokus. Hati bergetar dengan dahsyat. Saya rasa hati sedang menangis sekarang. Maka saya buka komputer, buka Destiny. Saya hanya ingin mahsyurkan pada satu dunia, apa yang Allah beri saya rasa malam ini.

And here i am. Tudung juga masih bersarung di kepala. Masih fresh dengan peristiwa tadi.

Ligat kotak fikiran memutar kembali jalan-jalan kehidupan yang saya lalui baru-baru ini. Ya Allah, kebaikan apa yang saya telah buat, hingga Engkau membalas sebesar ini?? Apa layaknya aku terima kebaikan sehebat ini dari seorang hambaMu?

Fikir dan fikir lagi.
Adakah kerana 50 sen yang pernah aku hulurkan pada pakcik peminta sedekah di tepi supermarket minggu lepas?

Tapi itu hanya 50 sen! Sedangkan di tanganku ada berkali-kali ganda lagi. Aku hanya berikan 50 sen saja. Ooh!

Adakah kerana baju-baju dan tudung-tudung lama yang aku berikan kepada adik-adik junior beberapa minggu lepas? Oh Tuhan, aku sedekahkan barang-barang lama kepunyaanku. Barang yang aku sendiri tak mahu memakainya, maka aku beri pada orang. Sedekah kononnya!

Allahuakbar. Serasanya, hanya itu saja kebaikan yang aku pernah lakukan. Itupun malu untuk aku claim sebagai kebaikan. Bila difikir sekarang, dan dibandingkan dengan kebaikan yang aku terima, terasa amat malu dengan 'kebaikan' yang aku lakukan itu.

BERILAH KEPADA DIRI

Masa untuk membuka mata hatimu seluas-luasnya.

Mungkin kebaikan yang saya terima ini bukan sebagai ganjaran kepada kebaikan saya. Kerana kebaikan saya amat-amat sedikit sekali.

Mungkin Allah berikan kebaikan ini sebagai sindiran, sebagai pembuka hijab di pandangan, betapa manusia lain terlalu ringan menghulurkan kebaikan, sedangkan saya terlalu kedekut untuk memberi bantuan.

Kedekut. Takut. Rugi.

Come on lah.

Kalau begini bentuknya sebagai sindiran Allah, maka saya cukup bertuah. Kerana sindiranNya penuh kasih sayang, bukti zatNya yang Maha Penyayang. Indah dan nyaman menyisir hati.

Kalau ia hadir sebagai balasan kebaikan, maka tiadalah lagi daya untuk saya nafikan.

Di mata manusia, kebaikan kita terlalu kecil. Tetapi di pandangan Allah, tiada siapa tahu betapa besar skalanya. Lihat saja balasan kebaikan yang Allah beri semula. Itu baru di dunia. Belum lihat gedung pahalamu yang Allah tambahkan berganda. Belum lihat kantung dosamu yang Allah buang isi-isi kotornya begitu saja.

Yet. Manusia masih terasa berat untuk memberi kebaikan.
Walaupun di saat itu, hanya kau yang dapat hulurkan bantuan.
Hati tetap berkira-kira menghitung kerugian.

Tiada yang peliknya. Kalau dimensi pandanganmu hanya terbatas pada dunia, maka kerugianlah yang nampak di mata.

Ruginya. Ruginya. Kalau kedekut memberi.

Sedangkan apabila kita memberi kepada manusia, sebenarnya kita memberi kepada diri sendiri.
Memberi kepada diri dengan begitu banyaknya. Langsung tidak dirugikan, walau sedikit pun.

Mudah saja. Kalau kau sentiasa bermurah hati untuk memberi, maka kau sedang bermurah hati dengan dirimu sendiri. Dan jika kau kedekut, bererti kau kedekut dengan diri sendiri.

Sekali lagi yakinlah, kau tak akan pernah terkurang dengan memberi kepada manusia.
Sebaliknya, inilah formula untuk kau kaya. Kaya jiwa di dunia, kaya pahala kelak di sana.

Berilah. Apa-apa saja kebaikan yang kau ada. Berilah, jangan berkira apa-apa. Kau tahu, Tuhan yang kau sedang melihat pemberian dan pengorbananmu itu sungguh amat adil, pemurah, kaya, penyayang.

Boleh kau bayangkan bagaimana kehidupan ini kalau setiap manusia punya mindset untuk memberi?

Saya tak mampu menancapkan keyakinan dalam hati kamu yang membaca, bahawa gelombang hidup di dunia ini sentiasa memerlukan kamu untuk memberi semampu yang ada.

Maafkan aku Tuhan, kemampuanku menulis amat terbatas, dan ilmu bahasaku tidak meluas.

Maka sudilah terima hidangan kata-kata Dia ini, mudah-mudahan kamu semakin yakin.

"Sungguh, Allah tidak akan menzalimi seseorang walaupun sebesar zarrah, dan jika ada kebaikan (sekecil zarrah), niscaya Allah akan melipatgandakannya dan memberikan pahala yang besar di sisinya." (An-Nisa : 40)

Hitung kesyukuranmu, bukan kesukaranmu.

Itulah kata-kata idola penulisan saya, yang tak pernah putus menyampaikan inspirasi dari Allah menerusi tintanya, Ustaz Pahrol.

Setelah sehari sarat dengan pelajaran yang kau lalui, setelah sehari berlimpahan kebaikan kau perolehi, apakah kau masih ingin bersedih dan lemah dengan kesusahan yang kau diuji?

Soalan untuk pemilik hati yang sedang menulis maya. Dan baru ingin menoktahkan kata.
Di rumahnya, Hujurat, Besancon.
Jam 1.18 pagi.

Jawablah.

-Nini-

25 October 2010

Ini entry emo. Jangan baca kalau tak suka.

Setiap malam rasa nak tulis something kat sini. Entah, sunyi mungkin. Tak, takde mungkin-mungkin. Memang sunyi sangat-sangat. Setiap malam sangat menyeksakan sebenarnya, terutama tengah² cuti begini. Nak melalui saat² di waktu malam, sambil tunggu masanya suami bangun dari tidur. Ah, benci rasanya perbezaan waktu yang memisahkan kami 6 jam ini.

Tadi pukul 11 pm sini, bersamaan 5am sana.
Tiba-tiba ringtone BBM berbunyi. Terus terlompat dari katil untuk capai BB yang tengah dicaj. Abg!! Ya Allah, dia terasa mungkin saya tengah sungguh tak tenang begini.

Selang beberapa saat, telefon rumah berdering. Terpampang namanya. Tak sempat saya biarkan deringan kali kedua, terus saya angkat. Dan succumb di situ. Menangis. Lagi.




********************************************************

TERSERAH PADAMU

Harapnya pembaca tak terasa bosan bila setiap kali saya menulis, mesti ada terselit juga tentang henyakan perasaan terhadap suami yang jauh.

Sikit² je ni. Dah cukup bertapis saya rasa. Bukan nak menjadikan blog ini sebagai tempat meluahkan rasa rindu-rinduan itu, tapi somehow, at one point, ada kelegaan yang menyelinap masuk di ruang hati seraya menendang keluar kuat-kuat *dush dush dush* rasa sedih, setiap kali selepas menghamburkan rasa di sini.

Mungkin sebab itu saya rasa terpanggil untuk menulis setiap malam. Sebab malam adalah sinonim kepada sedih dan sakit untuk saya sekarang. Tak dapat berinteraksi dengan suami selama 6 jam ketidurannya.

Mungkin ada yang terasa menyampah dan bosan. Entah, taktahulah. Yang memandang mungkin akan terlintas di hati,

"Ek eleh... Dah kahwin pun nak lemah² lagi. Come on la, at least u dah kahwin. Bersyukurlah sikit. Jangan ikut sangat rasa sedih tu.. Keccoww aa minah ni."

Jangan risau, ini sekadar imaginasi saya semata². Saya yakin di kalangan pembaca saya tak ada yang sezalim ini tergamak menghadiahkan saya kata-kata sebegini.

Malam ni taknak menulis skema² macam semalam. Dan semalam semalam.

Saya minta ampun banyak² pada Allah, sebab kadang² memang tak mampu nak lawan rasa sedih. Menjelang sabtu ni, genap 28 hari saya terpisah dari suami. Dah sebulan. Tapi masih susah nak overcome ya. Hurm.

Memang betullah cakap orang, berpisah selepas kahwin lainn sangat rasanya dari sebelum kahwin.

Mak cakap, lepas kahwin ni, kawan² yang dulu rapat akan jauh sikit dari kita. Urm, macam ada betulnya cakap Mak. Adalah juga rasa macamtu. Seolah² tak ramai yang mempedulikan. Tak macam dulu lagi.

Eh ke saya yang lari dari orang? Ke saya yang tak pedulikan orang macam dulu?
Mungkin.

Sebab itulah, saya akan ingat sampai bila² satu persatu manusia bergelar sahabat yang tetap sudi menegur dan bertanya khabar saya. Walau hanya sekadar 2 patah, "Nini ok?"

Bagi saya, apa yang mereka lakukan itu sudah cukup besar mujahadahnya. Iyalah, dalam keadaan macamni, saya jadi kurang fikir tentang orang lain. Kurang nak berjumpa orang lain. Automatik tersisihkan diri. Jadi bila mereka yang memulakan langkah menegur dan membasahkan semula ukhuwwah, saya jadi sangat delighted sebenarnya. Of course, bukan saya seorang saja yang suka, Allah lagi² suka. Sebab Allah suka pada orang yang memulakan langkah dalam berukhuwwah.

Terima kasih kerana masih ada saya dalam hati kamu. Saya akan ingat kamu² yang sudi tegur saya dan tanya khabar. Di emel, call, chatting, facebook..
Tak ramai. Memang tak ramai. Boleh kira dengan jari tangan sahaja. Sebab tu saya akan ingat sampai bila².

Yang lain², siapalah saya untuk mengharap huluran tangan manusia. Dalam keadaan sekarang yang terlalu overwhelming, saya jadi tak berdaya nak bangkit menegur manusia yang lalu di hadapan saya. Hanya terduduk meluku.

Selfish? I don't think so. InsyaAllah.

Siapa yang hulurkan tangan, saya sambut dengan terharu dan bersyukur. Yang tidak sudi, saya pun hanya dapat memerhatikan mereka berlalu saja. Dan kemudian menundukkan semula muka yang penuh hina ini.

Lebih mengharukan, ada huluran tangan dari jauh. Memang jauh merentas benua. Dari tangan yang saya tak sangka² pula tu, kerana rasanya hanya baru beberapa kali tangan kami bersalaman.

Orangnya JAUH, tapi ukhuwwahnya JAUH lebih hebat. Subhanallah. Moga Allah merahmatimu sahabat² dan adik²ku.

Tak apalah, sekurang²nya apa yang berlaku ini membuka mata saya tentang nilai ukhuwwah. Samada benar² dilestarikan atau hanya laung-laungan semata-mata.

Things are always easier said right?

SUSAHNYA!!

Wahai yang memegang hati,
Terangkanlah hati ini,
Seterang mentarimu menyimbah bumi..

Saya takut menjadi manusia yang tak bersyukur. Atau kurang bersyukur. Atau selalu terlupa bersyukur.

Yang pasti, memang tak pernah cukup bersyukur. Kalau banyak bersyukur, mesti semua gundah akan lebur.

Bila diputar kembali jarum kenangan lama, mengimbas kembali detik² perkenalan hingga pernikahan, terlalu banyak sebenarnya nikmat dari Allah yang berlimpahan. Terlalu banyak yang dipermudahkan.

Saya sepatutnya bersyukur, kerana at the first place, Allah telah mengabulkan permintaan hati saya, yang saya simpan sejak menginjak usia remaja.

No couple-couple masa sekolah. (Lagipun tak ada siapa yang nak.) Dan ternyata masa sekolah saya kategori budak nerd dan skema. Terutama ketika 17 tahun, menjelang SPM. Berkepit buku 24 jam. Sebelum tidur setiap malam, akan diselak kamus bahasa Perancis sampai tertidur. Baca kamus ok, memang sah skema. (Bahasa perancis memang passion saya ya, sampai sekarang.)

Saya simpan dalam hati, selalu doa. Minta pada Allah, moga lelaki pertama yang akan memiliki hati saya, adalah bakal suami saya. Bukan kekasih yang tak tahu hala tuju.

Dan permintaan itulah yang Allah kabulkan, waktu saya masuk ke MMU. Masih sangat mentah lagi waktu itu, baru 18 tahun. Slip result SPM pun masih hangat lagi.

Tapi kan tapi kan, ini memang betul ya. Saya ingat lagi, masa hari pendaftaran tu, waktu kereta yang dipandu Bapak baru nak masuk pagar MMU, tiba-tiba terdetik kuat di hati saya,

"Rasanya macam akan jumpa bakal suami kat sinilah."

Hoho. Awal² dah pasang niat macam tu eh? Demi Allah, itu bukan memasang niat, tapi tiba² hati terdetik terlintas begitu.

Jeng jeng jeng. As it is destined, tak sempat habis minggu orientasi, tiba² terjumpa seorang abg fasilitator final year ini. Oooh!

Bagaimana bermula, cinta pandang keberapa, itu biarlah tersimpan rapi dalam lipatan rahsia kami ya. Kurang sesuai diceritakan secara terbuka di sini. Ada kawan² rapat yang tahu tu, tahulah.

Lagipun bukan itu motif saya menulis malam ini.

Dan saya patut² lagi bersyukur, kerana tak sampai 2 minggu berkenalan tanpa berjumpa, saya telah firm di hati saya lantas berdoa, "ya Allah, izinkanlah dia menjadi suamiku."

Dan saya patut bersyukur, bila kali pertama dia meluahkan rasa sayang dan cintanya, adalah melalui ibu saya di telefon. Mak yang mengandung dan melahirkan saya. Mak yang tahu dahulu semuanya.

Dan saya patut bersyukur, kerana setahun selepas itu, saya dipertemukan dengan kedua orang tuanya yang tercinta. Bertemulah dua keluarga, memberi izin dan restu.

Semuanya telah sempurna di situ. Dan detik² selepas itu, hanyalah dalam perjalanan mencari keredhaan Allah untuk melangsungkan pernikahan.

Dan jarak inilah yang ditakdirkan Allah menjadi ujian utama. Di bahagian lain dipermudahkan, namun di sebelah ini ternyata banyak kesukaran!

4 tahun puas berusaha bermacam-macam cara, tapi telah tertulis, hanya di tahun kelima baru Dia mengizinkan pernikahan kami.

Namun manusia tetap manusia. Dicipta dengan fitrah untuk mengeluh dan tak pernah merasa cukup. Maka ujian yang sebesar ini lebih diingati daripada nikmat dan kesenangan besar yang Allah sentiasa beri tanpa berkira, tanpa minta dibayar dan dibalas. Hanya syukur dan terima kasih yang diharapkan. Tapi itupun, susahnya!!

PANDANG DIRIMU

Inilah DESTINY untuk kami. Inilah yang tertulis sejak sebelum bumi diciptakan lagi, bahawa saya yang bernama Marini dan dia yang bernama Mas Aidiff, akan melalui perjalanan kehidupan sebegini.

Ya, kami redha. But again, things are easily said.

Masing² ada suratan perjalanannya di atas bumi Allah ini. Ada yang merasa bertuah, kerana terjaga daripada fitnah² dunia akibat cinta sebelum pernikahan. Tertakdir melalui jalan yang penuh syariat dan redha hingga ke gerbang pernikahan. Alhamdulillah.

Ada yang merasa kurang bertuah kerana hingga kini masih belum bertemu siapa-siapa sebagai pendamping dunia akhiratnya. Rasa kecewa, helpless dengan lemahnya diri dan betapa hebatnya kuasa Allah yang merancang dan menentukan. Segala-galanya dalam percaturan kalimah Kun fayakun. MasyaAllah.

Tapi tolong, jangan membanding² takdir dirimu dengan sesiapa. Itu akan lebih melunturkan syukur.

Kami bukanlah pasangan yang layak menjadi contoh dalam melakar cinta berpaksikan keredhaan Allah. Mungkin lebih banyak yang patut dijadikan sempadan daripada tauladan.

Jalan-jalan yang dilalui sepanjang lima tahun itu ada titik-titik hitamnya. Biarlah hanya kami dan Allah yang tahu. Dan kini kami dalam pecutan mengejar keampunan dan keredhaan, takut² titik-titik hitam itu tak sempat dipadamkan habis-habisan.

Namun, walau di landasan manapun takdir hidupmu dihamparkan, pasti Allah turut menyediakan 'track' yang sesuai untukmu berlari mendapatkan Dia. Saya yakin.

Lain orang, lain 'track' yang dilalui. Tapi semua orang boleh berlari. Itu pasti.

Dan tak penting siapa lambat siapa ke hadapan, yang penting kau sentiasa dalam perlarian.

"Sungguh, ini adalah peringatan. Maka barangsiapa mengkehendaki (kebaikan untuk dirinya), tentu dia mengambil jalan menuju Tuhannya." (Al-Insan : 29)

Pilihan ada dalam tangan.
Genggamlah atau lepaskan.

-Nini, again-